Pas Umno Bincang Kerjasama Hadapi Prn Johor
SHAH ALAM: PAS akan berbincang dengan UMNO bentuk kerjasama bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor jika ia diadakan dalam masa terdekat.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata selain UMNO, parti itu akan berbincang rakan politik yang lain bagi membentuk kerjasama baik.
"Kita kena lihat dulu sama ada PRN ini jadi atau tidak. Kita akan adakan perbincangan dengan UMNO…komitmen kita sebenarnya dengan UMNO dan dengan parti lain masih berjalan. Kita harap mampu adakan kerjasama dengan baik.
"Masing-masing (parti) bersedia, PAS juga bersedia sebab Johor ini kita sudah biasa masuk bertanding tetapi perbincangan kerjasama kita akan teruskan," katanya pada majlis pelancaran rasmi Malaysia Recycling Alliance (Marea) dan ulangtahun pertama penubuhan pertubuhan itu di Pusat Persidangan Setia Alam di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Mutalib.
Tuan Ibrahim diminta mengulas mengenai reaksi PAS jika PRN Johor akan diadakan.
Media melaporkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad memberi bayangan PRN Johor bakal diadakan dalam masa terdekat.
Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor memberi jaminan PRN tidak akan mengganggu urusan pentadbiran kerajaan negeri jika dilaksanakan tidak lama lagi.
Pembubaran DUN Johor hangat diperkatakan sejak akhir tahun lalu, selepas beberapa siri mesyuarat berlangsung membabitkan Badan Perhubungan Umno negeri bersama Presiden, Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan pusat terutama selepas kematian ADUN Kempas, Osman Sapian, pada 21 Disember lalu.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, beliau berpandangan dalam waktu terdekat PRN tidak sepatutnya diadakan kerana negara baru saja berhadapan banjir besar dan rakyat kini dalam kesusahan.
Katanya, jika boleh PRN ini berjalan serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) kerana kini sudah ada dua negeri yang berbeza pilihan rayanya dengan Persekutuan.
"Saya fikir semua orang mahu kita kurangkan main politik sebab rakyat susah tapi terpulang kepada kerajaan Johor, kalau terbubar kita terpaksa hadapi pilihan raya.
"Sekarang ini, kita sudah ada Sarawak dan Melaka yang mengadakan pilihan raya berasingan dan jika boleh kita tidak mahu banyak sangat pilihan raya yang berbeza tarikh.
"Akhirnya, rakyat akan berada dalam situasi berpolitik sepanjang waktu...kalau ada PRN seperti di Sarawak jentera akan turun...jadi saya fikir kita kena kurangkan politik.
Ditanya mengenai masa depan Muafakat Nasional (MN), Tuan Ibrahim berkata gagasan politik yang terbina antara PAS dan UMNO itu masih berjalan seperti biasa.
"Masih berjalan, kita tidak isytihar bubarkan lagi. Masih ada," katanya. -BH
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://beritasetiap-hari.blogspot.com/2022/01/pas-umno-bincang-kerjasama-hadapi-prn.html