Pas Kekal Pendirian Berdamai Dengan Umno Dan Bersatu Walau Kedua Dua Beza Haluan
KOTA BHARU - PAS mengekalkan pendirian untuk berdamai dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) walaupun kedua-dua parti itu nekad membawa haluan masing-masing, khususnya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, keputusan itu selaras dengan pendirian Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kerjasama itu lebih membawa manfaat kepada semua.
"Kita ikut pendirian yang ditetapkan presiden, kita tetap lakukan usaha damai sebab berdamai sangat penting untuk kebaikan ummah dan perpaduan.
"Hari ini kita masih terkesan dengan pandemik COVID-19, kita berilah keutamaan selesaikan masalah ini kerana yang lebih penting adalah dapat pulihkan semula ekonomi negara dan kesihatan rakyat," katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau mengulas keputusan UMNO yang enggan bekerjasama dengan BERSATU pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan sokongan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.
Presiden UMNO dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2020 dilaporkan berkata, keputusan UMNO tidak bekerjasama dengan BERSATU pada PRU akan datang adalah muktamad.
UMNO juga katanya menolak pembentukan gabungan politik bersama PN selepas PRU-15.
Terdahulu Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan, merasmikan sambutan Ulang Tahun Hari RTM ke-75 peringkat negeri Kelantan dan menjadi tetamu khas sempena penutup program 75 jam siaran radio tanpa henti secara langsung dari studio mini RTM, di sini.
Dalam temubual itu, Ahmad menyifatkan peranan RTM sebagai platform rasmi kerajaan bersesuaian dalam menyebarkan dasar kerajaan sama ada Persekutuan atau negeri dalam memberi pemahaman berkesan kepada rakyat.
"Menerusi platform rasmi sebegini, rakyat boleh mengetahui dengan tepat mengenai beberapa projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di Kelantan contohnya pembinaan Jambatan Palekbang dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) serta pembangunan di Tok Bali.
"Begitu juga dengan isu gangguan bekalan air yang mana permohonan dibuat untuk pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Mukim Joh, Machang dekat sini bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air," katanya. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://pahangdaily.blogspot.com/2021/04/pas-kekal-pendirian-berdamai-dengan.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+blogspot/LWFdy+(Pahang+Daily+Online)