Pas Kata Perlembagaan Persekutuan Kafir Di Mana Kafirnya
Sejak 4 dekad lalu modal kempen Pas ke atas orang Melayu adalah mengkafirkan Perlembagaan Persekutuan yang dikatakan ditulis oleh penjajah British.
Namun adakah orang Melayu pernah bertanya di manakah kafirnya Perlembagaan tersebut atau mengapakah Pas tidak pernah menyuarakan untuk mengubah Perlembagaan ketika 3 tahun memerintah Malaysia dari 2020 – 2022.
Bagi Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob, pelbagai penelitian telah dibuat mengenai ‘unsur kafir’ Perlembagaan tersebut namun fakta yang betul masih tidak ditemui.
“Sudah hampir puluhan tahun pimpinan Pas mengatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan bersifat jahiliyah, sekular dan kafir melalui doktrin dan dogma mereka
“Namun begitu apabila kita menyoroti secara serius dan bersifat kritikal terhadap dogma ini, tidak ada satu jawapan yang tuntas boleh diberikan oleh pimpinan Pas
“Jawapan standard selama ini hanya berkisar tiada hukum hudud dimasukkan ke dalam Perlembagaan dan di dalam Perlembagaan tidak menyebut sumber perundangan adalah daripada al Quran dan hadis.
“Inilah sebenarnya punca ketidakfahaman pimpinan Pas dan pengikut mereka mengenai hakikat Perlembagaan yang sebenarnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Ahmad Nadhir, tidak dinafikan Perlembagaan yang dibentuk sekarang adalah legasi daripada Suruhanjaya Reid.
Namun, katanya, Perlembagaan itu sebagai peraturan ditetapkan manusia perlu unsur yang lebih ekstrem untuk dianggap sebagai kafir. Sama ada memaksa orang Islam melakukan hal hal syirik atau sebagainya.
“Ramai pengikut Pas bermudah mudah menggunakan nas sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka dia adalah kafir.
“Hukum Allah intipatinya adalah keadilan, justeru itu jika Perlembagaan yang tidak ada satu ayat al-Quran pun di dalamnya tetapi bersifat adil, adakah tidak islamik Perlembagaan itu?” tanya beliau.
Pengarah Komunikasi KEADILAN Kemaman itu turut mengimbau pengenalan undang undang Islam di Pakistan oleh jeneral Zia Ul Haq pada 1980an lalu.
Katanya, tanpa mendalami hukum Islam, pengenalan undang undang yang bersifat populis itu kemudian menyaksikan Pakistan terhumban ke dalam masalah politik dan ekonomi yang tidak berkesudahan berdekad dekad lamanya akibat islamisasi yang sangat sempit dan menyaksikan pertembungan idealogi yang meragut ribuan nyawa.
“Ini adalah hasil daripada pemahaman separuh masak ditambah dengan manipulasi agama yang sangat kotor dan hodoh.
“Penyokong Pas juga berhujah undang-undang adalah zalim jika tidak melaksanakan hudud, tetapi hakikat yang sebenar hudud adalah perkara yang terakhir yang dilaksanakan setelah segala sistem yang lain dibebaskan daripada ketidakadilan.
“Tidak boleh dilaksanakan hudud dalam situasi ekonomi yang tidak adil dan menindas. Penyokong Pas begitu mudah mengkafirkan pada sesiapa yang menolak hudud versi mereka namun apabila ditanya apakah hudud versi mereka dapat menjamin keadilan kepada semua, mereka gagal untuk memberi jawapan.
“Ternyata pimpinan Pas dan penyokong mereka jahil dan tidak mengetahui apa yang mereka perkatakan dan perjuangkan. Inilah ruwaibidah moden yang merosakkan masyarakat,” katanya lagi.
Tegas Ahmad Nadhir, bermudah mudah mengkafirkan orang kerana Perlembagaan Malaysia tanpa mengetahui ruang lingkup perbahasan yang mendalam adalah ciri-ciri ruwaibadah dan takfiri moden.
Katanya, ubat kepada segala kejahilan politik yang berlaku di dalam negara ini adalah kembali kepada legasi ilmu yang sebenar dan jauh daripada ketaksuban juga pemikiran sempit dan jumud.
Rakyat Malaysia, tegas beliau, mesti bangun menentang segala bentuk pembodohan politik yang membawa kepada kerosakan kepada negara.
The post Pas kata Perlembagaan Persekutuan kafir, di mana kafirnya? first appeared on Suara Pakatan Daily.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suarapakatandaily.com/archives/36675?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=pas-kata-perlembagaan-persekutuan-kafir-di-mana-kafirnya