Parti Baru Dr M Perlu Akar Umbi Untuk Jadi Kuasa Ketiga Kata Penganalisis

Pembentukan parti berasaskan Melayu dan Pribumi oleh Dr Mahathir  Mohamad dilihat masih terlalu awal untuk menjadi kuasa penentu atau  kuasa ketiga dalam politik tanah air.
Penganalisis politik  berpendapat, parti yang akan diasaskan anggota parlimen Langkawi itu  masih memerlukan sokongan akar umbi yang kuat sebelum boleh menjadi  kuasa ketiga yang akan menentukan blok mana yang akan memenangi pilihan  raya umum akan datang.
"Untuk bergelar sebagai kuasa ketiga dalam  senario politik tempatan, ia bergantung sama ada parti baru Tun M  berjaya membawa ahli Bersatu berhijrah ke parti beliau.  
"Parti  politik di Malaysia hidup matinya amat bergantung kepada sokongan akar  umbi iaitu parti tersebut memerlukan sokongan ahli," kata pensyarah  Geostrategi Universiti Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan.
Bagaimanapun,  beliau berpendapat adalah sukar bagi Dr Mahathir untuk mengerakkan  ahlinya memandangkan masa yang singkat menjelang PRU15.  
"Perlu diingat, Bersatu juga tidak mempunyai struktur sokongan akar umbi yang kukuh.
"Sebab itu juga saya berpendapat tidak akan berlaku pernghijrahan secara besar-besaran oleh ahli Bersatu sedia ada.
"Kesannya ialah parti baru Tun M ini tidak akan memainkan peranan berkesan dalam senario politik negara," tambahnya.
Prof  Madya Dr Azmi berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Dr  Mahathir untuk menubuhkan sebuah parti baru bersama lebih 300  penyokongnya hari ini.
Dr Mahathir berkata parti tersebut "akan  berasaskan kepada pejuangan untuk orang Melayu dan peribumi" sebagaimana  Bersatu yang diasaskannya sebelum ini.
Parti bebas yang belum  dinamakan itu bagaimanapun tidak akan terikat kepada mana-mana blok sama  ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

Dr  Azmi berpendapat tawaran parti berasaskan Melayu yang hampir serupa  dengan Umno dan Bersatu dilihat kurang menarik, sekali gus menyukarkan  Dr Mahathir untuk menarik sokongan ahli baru dalam parti berkenaan.
"Agak  kurang menarik tawaran parti Tun M kerana visinya serupa dengan Bersatu  dan juga Umno iaitu untuk orang Melayu dan tiada sesuatu yang baru  sebenarnya.
"Sebab itu untuk menarik simpati selain dari ahli Bersatu saya melihat agak sukar sekali," katanya.
Perlu ada gabungan
Sementara  itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS Prof  Madya Dr Lee Kuok Tiung pula berkata parti baru Dr Mahathir tidak mampu  bertahan jika bergerak bebas secara bersendirian.
Menurutnya, senario politik di Semenanjung Malaysia adalah berbeza dengan Sabah dan Sarawak yang memiliki banyak parti politik.
"Di Sabah dan Sarawak ada banyak parti. Maka pengundi berpecah. Tapi di semenanjung ada cuma dua kuasa besar iaitu PH dan PN.
"Jika hendak memenuhi agenda, parti baru itu perlu menyertai dalam gabungan," katanya.

Justeru  katanya, meskipun Dr Mahathir masih belum bersedia untuk mengalah dalam  politik, sukar untuk parti tersebut bergerak sendirian.
"Sangat sukar untuk bertahan tanpa mempunyai gabungan yang kuat," katanya.
Bersatu  merupakan parti politik ditubuhkan oleh Dr Mahathir pada tahun 2016  bersama presidennya Muhyiddin Yassin selepas kedua-duanya menentang  kerajaan pimpinan bekas perdana menteri Najib Razak yang terpalit dengan  skandal 1MDB.
Bersatu kemudian bergabung dengan Pakatan  Harapan dan memenangi pilihan raya umum dan Mahathir dilantik sekali  lagi sebagai perdana menteri.
Bagaimanapun, krisis  politik pada Feb lalu menyaksikan Mahathir meletakkan jawatan sebagai  perdana menteri dan tempatnya digantikan Muhyiddin Yassin yang  menubuhkan gabungan politik baru bersama Umno, PAS dan beberapa parti  lain.
Mahathir juga hilang penguasaannya dalam Bersatu yang dipimpin oleh Muhyiddin selaku presidennya.
Pada  masa ini, kem Dr Mahathir yang turut terdiri daripada enam anggota  parlimen menggelarkan diri mereka sebagai Bersatu Blackout dan bergabung  secara tidak rasmi dengan PH dan Warisan.
Namun gabungan  itu menemui jalan buntu untuk mengambil alih semula kerajaan berikutan  pertikaian mengenai soal calon perdana menteri antara Mahathir dan  Presiden PKR,  Anwar Ibrahim. 

Dr M masih mampu jadi kuasa ketiga
Bagi  pemerhati politik tanah air, Anbumani Balan pula yakin penubuhan parti  baru yang akan diasaskan Mahathir mampu memecahkan pimpinan Bersatu yang  tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti.
"Saya  ramal, Bersatu akan berpecah kerana parti baru ini. Sebab, ada  segelintir dalam Bersatu masih tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan  parti," jelasnya kepada Malaysiakini.
Anbumani juga berkata Mahathir perlukan satu platform yang kukuh untuk meneruskan perjuangan politiknya.
"Saya  melihat Tun (Dr Mahathir) mungkin mempunyai alasan yang kukuh untuk  menubuhkan parti baru. Buat masa ini beliau tidak mempunyai parti. 
"Dia  perlu satu kenderaan kembali ke politik nasional. Ini kerana dia masih  mempunyai banyak penyokong dan pengikutnya," katanya.
Tambahnya, beliau yakin Dr Mahathir masih mampu menjadi kuasa ketiga dalam PRU15 nanti walaupun tidak menyertai PH.
"Kaum Melayu mengikuti suasana semasa politik negara dengan dekat. 
"Walaupun  PH tidak menerima parti Dr Mahathir, beliau masih mampu menjadi kuasa  ketiga. Ini kerana beliau ada penyokong yang kuat," katanya.
MR : Boleh juga menjadi jerangkap untuk PH    
 Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


  ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] 
   
  


 
 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://mindarakyat.blogspot.com/2020/08/parti-baru-dr-m-perlu-akar-umbi-untuk.html