Pantang Larang Bila Reunion

Baru-baru ini kami mengadakan reunion bekas pelajar Hastings College, St. Leonards-On-Sea, East Sussex, England.
Pada tahun 70-an, kami yang ketika itu masih belasan tahun, dihantar oleh kerajaan selepas MCE (kini SPM) untuk melanjutkan pelajaran A-Levels dan OND di England, sebelum meneruskan pengajian ke universiti-universiti di seluruh England, Scotland dan Wales.
Betapa seronoknya dapat bertemu semula rakan-rakan lama yang kini kebanyakannya sudah bersara dan bergelar warga emas. Dulu, semasa zaman remaja, kami berkawan tanpa syarat - tulus dan jujur.
Namun begitu, ada beberapa pantang larang yang kami pegang agar reunion kekal menjadi medan menyambung silaturahim, bukan medan perpecahan:
1. Jangan bincang hal politik
Setiap orang ada pegangan politik tersendiri, dibentuk oleh pengalaman, pergaulan dan pemikiran mereka.
Perbincangan politik terutama jika berbeza pandangan selalu membawa kepada ketegangan, apatah lagi jika ada yang terlalu taksub.
Adalah pantang besar untuk berbicara soal politik ketika bertemu kawan lama, kecuali anda tahu pendirian kalian serupa.
2. Jangan tanya secara terperinci hal pekerjaan
Ada antara kita mungkin tidak sempat mencapai kerjaya cemerlang seperti yang lain.
Rezeki setiap orang berbeza, dan tahap pelajaran juga tidak sama.
Jangan sesekali membezakan kejayaan kerjaya sekarang dengan memori kita yang dahulu sama-sama duduk di dalam kelas yang sama.
3. Jangan bercerita tentang kejayaan anak-anak
Kejayaan anak-anak juga topik yang sensitif.
Bukan semua bernasib baik dalam bidang akademik atau kerjaya.
Berhati-hatilah apa yang kita anggap sebagai kebanggaan, mungkin menjadi duri dalam hati orang lain.
4. Jangan menunjuk kemewahan
Ada yang hadir reunion dengan kereta Porsche (mungkin dipinjam), memakai jam tangan Audemars Piguet atau Richard Mille, berbaju Burberry, dan wanita membawa tas tangan Versace Fendace La Medusa.
Tiada keperluan untuk menunjuk-nunjuk.
Tujuan kita berreunion adalah menyambung silaturahim, bukan untuk membuat ‘statement’ bahawa anda telah berjaya dalam hidup.
Jadi, apa yang patut kita buat semasa reunion?
✅ Bertanya khabar.
✅ Sembang santai.
✅ Imbau kenangan manis zaman muda bersama.
Itu sahaja.
Itu sudah cukup dan memadai.
Ir. Hj. Zainuddin Bin Hj. Omar
FB: Zainuddin Omar
Dalam gambar: Dari kiri, Mazlan, Ardzi, Zakaria, Zakiyuddin, Illias, Azman, A. Rahim, A. Rahman, yours truly, dan Ghazali.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/06/pantang-larang-bila-reunion.html