Operasi Terpaksa Dihentikan Ribuan Haiwan Di Zoo Di Indonesia Dilapor Diancam Kebuluran
Ribuan haiwan termasuk spesis terancam; Harimau Sumatra dan Orangutan Borneo di zoo di Indonesia diancam kebuluran ketika pandemik COVID-19 ‘menekan’ operasinya hingga berisiko untuk ‘musnah’.
Memetik laporan Daily Mail. kira-kira 60 taman haiwan merangkumi 70,000 hidupan di sekitar negara kepulauan itu telah ditutup operasinya bermula pertengahan Mac lalu dan difahamkan, stok bekalan makanan haiwan hanya bertahan sehingga pertengahan Mei.
Jurucakap Persatuan Zoo Indonesia, Sulhan Syafi’i berkata, “Kebanyakan kewangan zoo amat bergantung pada pembelian tiket pengunjung, jadi jika ia ditutup maka segalanya akan runtuh,”
“Kami terpaksa mencari kreativiti lain untuk terus bertahan,” jelasnya.
Seekor Harimau Sumatra kelihatan agak kurus kerana kekurangan makanan serta diet pemakanan yang terpaksa diubah. Gambar: Agensi
Korban haiwan untuk haiwan lain hidup
Lebih memeritkan lagi, pada bulan ini pengarah zoo dari Jerman memberi amaran, sekiranya keadaan tersebut berlarutan, maka beberapa haiwan terpaksa akan dikorbankan untuk hidangan kepada haiwan lain agar terus hidup.
Kenyataan itu diakui oleh persatuan tersebut di mana situasinya hampir serupa dengan apa yang dialami zoo di Indonesia kini.
“Jika beberapa bulan akan berlalu tetapi kami masih tidak mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan atau organisasi antarabangsa, maka dengan berat hatinya kami memutuskan..kami terpaksa korbankan haiwan-haiwan herbivor untuk dijadikan hidangan kepada haiwan karnivor.
“Bekalan daging merah untuk harimau dan karnivor lain juga telah dihadkan dan kami terpaksa menambah hidangan berasaskan unggas sebagai makanan tambahan,” katanya lagi.
Jika keadaan berlarutan, maka sebahagian haiwan herbivor akan terpaksa dikorbankan sebagai sumber makanan kepada haiwan karnivor. Gambar: Agensi
Selain itu, Sulhan menambah, di sebalik situasi menekan itu, ada pekerja – yang turut terkesan dengan pengurangan gaji serta waktu bekerja – terpaksa menggunakan ayam belaan mereka sendiri untuk diberi makan kepada haiwan di situ.
“Ianya cukup untuk terus hidup,” katanya.
Bagaimanapun dakwa Sulhan, usaha itu tetap tidak mampu menggantikan sumber pendapatan asal operasi zoo yang selama ini didukung oleh kehadiran kira-kira 50 juta pengunjung.
Sehingga sampai satu tahap, mereka berasakan perlu melakukan langkah drastik dengan mengharapkan sumbangan orang ramai atau bantuan kecemasan daripada kerajaan.
Gambar: Agensi
Terpaksa pertimbangkan yang mana lebih utama
“Kami boleh sahaja ‘mengorbankan’ haiwan-haiwan yang tidak endemik kepada Indonesia.
“Tetapi bagi haiwan endemik seperti Harimau Sumatra, kami terpaksa melakukan apa sahaja demi memastikan ia terus hidup.
“Ianya sangat menyedihkan, tapi dalam keadaan gawat sebegini, kami perlu fikir yang mana lebih utama,” tambahnya lagi.
Indonesia kini mencatatkan kes jangkitan COVID-19 kedua tertinggi di Asia Tenggara dengan lebih 10,000 kes serta kira-kira 700 kematian setakat ini.
Sumber: Daily Mail
The post Operasi Terpaksa Dihentikan, Ribuan Haiwan Di Zoo Di Indonesia Dilapor Diancam Kebuluran appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2020/05/01/operasi-terpaksa-dihentikan-ribuan-haiwan-di-zoo-di-indonesia-dilapor-diancam-kebuluran/