Negara Bakal Buat Perubahan Besar Pengambilan Pekerja Asing
MALAYAIAKINI
Negara  bakal menyaksikan perubahan besar dalam dasar pengambilan pekerja asing  dan kawalan terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pascapandemik  Covid-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail  Sabri Yaakob.
Memperincikan perkara itu, beliau berkata tiba  masanya dasar itu disemak semula susulan warga asing yang dilihat  sebagai antara kumpulan yang menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19,  di negara ini serta beberapa negara lain termasuk Singapura.
"Mungkin  disebabkan Covid-19 ini, akan ada perubahan besar dari segi dasar  pengambilan pekerja asing dan satu lagi menyekat kedatangan warga asing  secara haram. Itulah perkara besar yang akan berlaku daripada Covid-19  ini," katanya dalam temu bual untuk dokumentari mengenai Perintah  Kawalan Pergerakan (PKP) terbitan Bernama TV di Putrajaya.

Menjelas  lebih lanjut, katanya, ekonomi termasuk sektor pelancongan dilihat  sangat terkesan dengan penularan Covid-19, menyaksikan banyak hotel dan  kilang bakal ditutup serta pembuangan pekerja berlaku sekali gus  menyebabkan jumlah pengangguran meningkat.
Sambil menyatakan  pemulihan ekonomi pasca-Covid-19 mungkin agak perlahan, beliau berkata  dasar kerajaan pasti akan mengutamakan rakyat tempatan untuk bekerja  dalam negara berbanding warga asing.
Sebagai menteri yang  diamanahkan mempengerusikan mesyuarat khas menteri-menteri mengenai PKP  sepanjang Covid-19 'membadai' negara serta menyampaikan perkembangannya  setiap hari kepada rakyat, Ismail Sabri, berkata perkara itu akan  dibincangkan dengan kementerian berkaitan bagi melihat semula dasar  pengurangan bilangan pekerja asing di negara ini.
Selain perubahan dasar itu, turut diberi perhatian adalah isu kemasukan PATI ke negara ini yang tidak pernah berkesudahan.
Ahli  Parlimen Bera itu berkata, selepas Covid-19 melanda, satu pasukan khas  bersepadu dianggotai pelbagai agensi berkaitan ditubuhkan bagi  memperkasa pengawalan sempadan negara termasuk di lorong-lorong tikus.

"Special  task force bersepadu yang dipengerusikan oleh Panglima Angkatan Tentera  ini dianggotai oleh agensi penguatkusaaan seperti ATM, PDRM, APMM dan  beberapa lagi agensi, kita tubuhkan semasa Covid-19 untuk digemblengkan  bukan sahaja dari segi anggota bahkan aset yang ada bagi memastikan PATI  yang lolos pulang ke negara asal tidak akan lagi dapat masuk semula ke  negara ini," katanya.
Tegasnya, penguatkuasaan ini akan terus  diperkasa walaupun selepas pandemik Covid-19 pulih bagi memastikan  negara terus bebas daripada sebarang ulangan kes jangkitan import pada  masa depan serta menyelesaikan isu-isu lain berhubung PATI.
Negara  berdepan cabaran baharu dalam memerangi penularan Covid-19 apabila graf  kes harian sebenar merangkumi semua kes Covid-19 di Malaysia  menunjukkan peningkatan ketara, membabitkan kes positif dalam kalangan  bukan warganegara sejak 29 April lalu.

Ia  disebabkan kes import dari luar negara dan penularan wabak dalam  kalangan bukan warganegara di beberapa Depoh Tahanan Imigresen dan juga  dalam kalangan pekerja asing di pelbagai sektor dalam komuniti.
Semalam,  daripada 93 kes baharu yang dilaporkan, 91 kes membabitkan warga asing  di depoh tahanan imigresen, manakala hanya dua sahaja membabitkan warga  tempatan.- Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/negara-bakal-buat-perubahan-besar.html