Nak Malu Buat Apa Pas Pun Lama Peluk Dap Tak Payah Sembang La Mca Dan Gerakan Lagi Ekstrem
UMNO TIDAK PATUT MALU BERKAWAN DENGAN DAP
15 December 2025
UMNO nampaknya masih malu untuk mengakui hubungannya dengan DAP.
UMNO dan DAP kata Ahmad Zahid Hamidi, tiada hubungan secara langsung.
Kenyataan Presiden UMNO itu yang mengatakan hubungan yang terjalin hanyalah antara BN dan PH dan bukan antara UMNO dan DAP bolehlah digambarkan sebagai suatu pendirian yang tidak sepatutnya dikeluarkan.
Bukankah lebih bertanggungjawab jika UMNO boleh bersikap jujur mengakui bahawa bila BN bekerjasama dengan PH, ia juga bermakna UMNO bekerjasama dengan DAP?
Kenapa UMNO harus malu?
Lagi pun, dalam PH, parti yang kuat dan mempunyai jumlah Ahli Parlimen teramai ialah DAP.
Cuba lihat DAP, mereka lebih jujur dan tidak pernah malu untuk mengaku ada hubungan dengan UMNO.
Menteri DAP, Nga Kor Ming ketika berkempen dalam PRK Ayer Kuning tidak lama sebelum ini, dengan ikhlas hati dan bangga melaungkan kata-kata “UMDAP Mantap” beberapa kali.
Pernahkah kita dengar DAP berkata yang mantap itu BN/DAP?
Ertinya, DAP mengakui yang mereka ingin berkawan ialah UMNO, bukan BN.
Ini bermakna DAP, selain ikhlas dan bertanggungjawab, tetapi juga tidak malu mengaku berkawan dengan UMNO.
Jadi, UMNO juga sepatutnya tidak malu berkawan dengan DAP.
Lagi pun, bukankah ketika UMNO menang dalam PRK Pelangai pada Oktober 2023 lalu, beberapa pemimpinnya secara terbuka menyebut kemenangan itu adalah dengan bantuan, kerja keras serta sokongan DAP dalam menarik sokongan pengundi-pengundi Cina?
Apakah UMNO sudah lupa jasa DAP itu?
Hakikatnya, tiada istilah hubungan tidak langsung antara UMNO dan DAP, meskipun dikatakan kerjasama yang yang terjalin ialah antara BN dan PH.
Ini kerana, dalam kerajaan dan ketika mesyuarat kabinet misalnya, pemimpin UMNO dan DAP sentiasa duduk bersama serta membuat keputusan juga secara bersama.
Nak selindung apa lagi?
Sangat tak elok sebenarnya sikap UMNO yang masih enggan mengakui secara terbuka wujud hubungannya dengan DAP itu.
Ingatlah bahawa dalam PRU16 akan datang, UMNO amat memerlukan DAP di banyak kerusi yang ditandinginya.
Di kerusi yang memiliki pengundi Melayu melebihi 80 peratus, UMNO barangkali sukar untuk menang kerana pengundi Melayu, sebagaimana ditunjukkan pada PRU15 lalu, mereka lebih condong kepada PAS dan PN.
Hanya di kerusi yang terdapat pengundi Cina yang agak ramai saja ada harapan untuk UMNO memenanginya, itu pun jika cukup dibantu serta ditolong oleh DAP.
Lantaran itu, UMNO sepatutnya menerima DAP sebagai kawan sejati.
Tambahan lagi, MIC dan MCA lebih cenderung untuk keluar meninggalkan BN berbanding terus kekal dalam gabungan itu.
Selain hanya DAP yang sesuai sebagai pengganti, parti itu juga jauh lebih kuat dan lebih diterima oleh pengundi bukan Melayu berbanding MIC dan MCA.
Biarkanlah MIC dan MCA pergi, sucikanlah hati terima DAP sebagai pengganti. – ShahbudinHusin 15Disember2025.
https://shahbudindotcom.net/2025/12/umno-tidak-patut-malu-berkawan-dengan-dap/I’m
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/12/nak-malu-buat-apa-pas-pun-lama-peluk.html