Mp Pkr Sokong Hasrat Bersih Anjur Demo Tuntut Reformasi Institusi Disegerakan
Hassan Karim daripada PKR berkata reformasi
dilaksanakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terlalu perlahan dan Bersih wajar
turun ke jalanan menuntut janji.
Ahli Parlimen Pasir Gudang mendakwa,
disebabkan itu rakyat hampa, kecewa, putus asa dan hilang harapan terhadap
kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.
“Jadi memang wajar jika Bersih memutuskan
turun ke jalan raya untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap perubahan yang
sehingga kini gagal dilaksanakan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan perpaduan
pimpinan Anwar,” katanya kepada FMT.
Rabu lalu, Bersih menggesa pentadbiran Anwar
tidak lagi berdalih dan melaksanakan semua agenda reformasi dijanjikan sebelum
menjadi kerajaan atau bersedia berdepan demonstrasi jalanan.
Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz,
berkata rakyat kecewa dan marah berikutan perkembangan mutakhir pelaksanaan agenda
reformasi dalam negara yang indah khabar dari rupa.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi, Fahmi
Fadzil, berkata kerajaan tidak pernah melupakan reformasi institusi kerana ia
antara perkara utama diperjuangkan pentadbiran Anwar.
Sementara itu, Hassan berkata, perjuangan
Bersih untuk pilihan raya bebas dan adil turut meliputi tuntutan reformasi
seperti disuarakan PH dalam manifesto pilihan raya mereka.
Katanya, harapan rakyat terhadap perubahan
yang dicetuskan reformasi sangat besar dan tinggi.
Menurutnya, kerajaan pimpinan bekas perdana
menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini turut gagal melaksanakan reformasi
dijanjikan, dengan menyatakan dokumen manifesto PH bukan kitab suci.
“Jadi apabila tokoh reformasi Anwar Ibrahim
yang melancarkan gerakan reformasi sejak 1998 menjadi perdana menteri, maka
tentu sekali harapan rakyat akan berlaku perubahan seperti dijanjikan.
“Tetapi selepas lebih satu tahun kerajaan
perpaduan pimpinan Anwar mentadbir Malaysia, terlalu perlahan reformasi
dilaksanakan. Rakyat hampa, kecewa, putus asa dan hilang harapan,” katanya.
Bersih sebelum ini menganjurkan demonstrasi
jalanan sejak 2007 sebagai protes terhadap penyelewengan pilihan raya dan untuk
menuntut pilihan raya adil. Pada 2015 dan 2016 Bersih turut mengadakan
demonstrasi berhubung skandal 1MDB.
Sumber –
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/02/09/reformasi-anwar-perlahan-bersih-wajar-turun-ke-jalan-kata-wakil-rakyat-pkr/
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2024/02/mp-pkr-sokong-hasrat-bersih-anjur-demo.html