Melayu Mengemis Di Negera Sendiri


DALAM satu jurnal peribadi Frank Swettenham, yang berkunjung ke Kuala Lumpur pada bulan Mac 1875 telah mencatatkan anggaran bahawa terdapat kira-kira 1,000 orang Cina dan antara 500 hingga 700 orang Melayu – kebanyakannya pendatang dari Sumatera – di bandar yang baru dibuka itu.

Dalam ‘Old Kuala Lumpur’ pula, J.M. Gullick menyebut, bagaimana empat tahun selepas tarikh yang disebutkan oleh Swettenham itu, harga timah melonjak dan 73 Paun Sterling kepada 96 Paun Sterling bagi setiap satu tan. Ini mengakibatkan jumlah orang-orang Cina di Kuala Lumpur meningkat dengan sangat mendadak, menjadi lebih 4,000 orang dan bilangan orang Melayu pula hanya di sekitar 1,500 orang.
Pada tahun 1891, apabila penduduk Kuala Lumpur dianggarkan berjumlah 20,000 orang, nisbah penduduk Melayu terus bertambah kecil.
Apakah yang tergambar di sebalik kenyataan-kenyataan itu? Mudah. Ianya adalah petunjuk paling jelas tentang bagaimana mudahnya Melayu menjadi kecil di bumi sendiri.
Kemasukan besar-besaran imigran Cina dan India untuk menampung keperluan tenaga buruh di sektor perlombongan dan perladangan pada kurun ke-19 telah mengubah struktur sosio-politik Melayu secara menyeluruh. Ia juga secara langsung telah menyerkupkan selubung baru ke bumi Semenanjung ini.
Sebagai bangsa yang sudah terdedah pada kemasukan pengaruh luar sejak era Srivijaya dan Langkasuka lagi, kemasukan orang-orang asing itu tidak mencetuskan kejutan yang serius pada orang Melayu. Mereka menerimanya dengan segala senang hati. Mereka tidak menganggap kemasukan itu membawa apa-apa ancaman terhadap kehidupan dan masa depan mereka. Mereka percaya, selagi -negeri mereka masih beraja, selagi para pembesar Melayu bebas mengutip cukai, dan selagi rakyat bawahan bebas keluar masuk hutan mencari damar dan rotan serta bebas mengerjakan sawah dan huma, kedudukan mereka langsung tidak tergugat.
Apabila kumpulan imigran itu, yang berketurunan Cina terutamanya, mula berkembang dari sektor perlombongan ke sektor perniagaan lain, orang Melayu masih tidak berasa apa-apa. Sifat bersedia menerima yang tebal di lubuk hati menyebabkan mereka meredhakan kemajuan orang-orang Cina itu tanpa sebarang rasa curiga.
Pada peringkat awal, imigran-imigran Cina itu tidak mempunyai minat untuk mencampuri urusan politik. Mereka lebih menganggap kedatangan mereka ke Tanah Melayu adalah semata-mata untuk mencari makan. Mereka masih terfikir untuk balik ke Tanah Besar apabila telah mendapat segala yang dicari.
Imigran India pun begitu. Hasrat untuk balik ke tanah tumpah darah sendiri setelah tiba masanya nanti menyebabkan golongan pendatang tersebut beranggapan mencampuri urusan politik setempat adalah kerja sia-sia. Mereka tidak akan mendapat faedah daripada campur tangan itu kerana lambat laun bumi ini akan ditinggalkan juga. Jadi, sambil meletakkan nasib mereka di bawah kibaran Union Jack, kumpulan imigran itu menyerahkan urusan pentadbiran dan politik kepada orang Melayu – yang sudah tentulah melakukannya dengan restu, tunjuk ajar dan arahan penjajah Inggeris.
Sikap tidak mencampuri urusan politik tempatan ini banyak membantu memainkan peranan dalam membina keyakinan orang-orang Melayu terhadap kelompok imigran tersebut. Orang-orang Melayu turut percaya pendatang pendatang itu benar-benar datang ke mari untuk mencari makan bukannya untuk mencampuri urusan negeri mereka. Dengan kepercayaan itu hubungan Melayu – imigran terus terpelihara baik. Dan hasilnya, yang betul-betul mengaut keuntungan ialah penjajah Inggeris. Sang penjajah itu sudah tentulah berhak berasa lega kerana tindakan mereka membawa masuk orang-orang luar itu tidak mendapat tentangan daripada anak-anak pribumi. Ini sesungguhnya amat jarang berlaku. Di mana-mana pun kemasukan orang asing, apatah lagi secara besar-besaran, amat jarang disambut baik oleh penduduk asal wilayah yang berkenaan.
Tetapi jangan tersilap. Inggeris sebetulnya tidak pernah bermaksud hendak menyatupadukan antara Melayu dengan bukan-Melayu. Dasar pecah dan perintahnya tidak akan membenarkan perkara begitu berlaku. Untuk itu, dalam bergembira dengan reaksi positif Melayu menerima kedatangan pendatang-pendatang asing tersebut, Inggeris juga berusaha merenggangkan kedua-dua belah pihak. Secara halus mereka dilaga-lagakan. Tujuannya amat jelas, iaitu supaya kedua-dua pihak sama-sama menganggap Inggeris penting.
Kemakmuran yang dikecap di bumi Tanah Melayu ini menyebabkan secara perlahan-lahan kumpulan imigran Cina dan India itu mula melupakan tanah tumpah darah mereka. Mereka lebih seronok mencari makan di sini daripada membawa balik apa yang telah diperolehi dan memulakan penghidupan baru di tempat sendiri. Lebih daripada itu, mereka juga mula menjemput lebih banyak saudara mara supaya bersama-sama datang mencari rezeki di sini.
Bagi penjajah Inggeris semua itu membawa keuntungan yang tidak sedikit. Mereka sendiri malah melakukan berbagai cara untuk menggalakkan kemasukan imigran-imigran asing itu. Mereka tidak hanya menyediakan kapal malah memberikan perlindungan yang secukupnya kepada kumpulan pendatang tersebut. Saudagar-saudagar timah di Negeri-Negeri Selat misalnya, sentiasa bersedia menyalurkan bantuan modal kepada pelombong-pelombong Cina, sementara pentadbir Inggeris pula sentiasa berusaha memastikan agar buruh-buruh Cina dan India mendapat kawasan penempatan yang betul dan sesuai.
Rahmat besar yang diperolehi oleh Inggeris berikutan kemasukan golongan imigran itu bukanlah sahaja kerana mereka itu mempunyai daya saing dan kesanggupan bekerja yang luar biasa, tetapi juga kerana sedikit demi sedikit mereka berperanan membantu mengimbangi pengaruh orang Melayu.
Perlu disebut kembali bahawa perasaan tidak senang orang Melayu terhadap penjajah Inggeris telah bermula sejak tahun 1870-an apabila sistem Residen diperkenalkan di Perak. Bermula dengan pembunuhan J.W.W. Birch, Residen Inggeris yang pertama di Perak, orang Melayu memberi isyarat bahawa, sebarang usaha Inggeris untuk campur tangan dalam hal yang membabitkan adat resam dan agama mereka hanya akan mengundang musibah. Pembunuhan itu juga membawa roh baru dalam jiwa orang Melayu. Mereka tidak lagi melihat Inggeris sebagai tuan besar yang harus diberi tabik atau dicium tangan, tetapi sebaliknya sebagai penjajah yang terang-terang merampas hak warisan mereka.
Gerakan penentangan ke atas Inggeris tidak berhenti setakat di Perak. Ia menular ke Pahang. Satu demi satu wira-wira Melayu bangkit mengangkat senjata. Datuk Bahaman, Tuk Gajah, Mat Kilau, menjadi nama-nama yang menyebabkan Inggeris tidak lelap tidur.
Arus kebangkitan itu sudah tentulah amat tidak menggembirakan Inggeris yang selama ini cukup berjaya mencucuk hidung orang Melayu. Penjajah dari England itu amat khuatir terhadap kemungkinan orang Melayu benar-benar bersatu dan menyuarakan penentangan secara bersama. Selama ini dasar pecah dan perintah mereka telah menyebabkan Melayu saling terpisah. Dasar yang membezakan Melayu bangsawan dengan Melayu marhain, Melayu Makasar dan Melayu jati, Melayu makan gaji dengan Melayu kuli itu telah dengan jayanya menyebabkan Melayu menjadi kelompok-kelompok yang tidak mungkin dapat duduk, apatah lagi berjuang secara bersama.
Bagaimanapun pembunuhan Birch menjadikan Inggeris segera sedar bahawa dalam keadaan tertentu Melayu rupa rupanya boleh bersatu. Peristiwa itu menjadi bukti jelas tentang bagaimana golongan pembesar Melayu boleh melupakan perbezaan pendapat mereka dan kemudian membina pendapat baru secara bersama. Ia juga menjadi bukti bahawa dalam keadaan marah, orang Melayu yang terkenal dengan lemah lembut dan budi bahasanya, boleh bertindak di luar jangkaan.
Bagi membendung kebangkitan Melayu itu, Inggeris memerlukan suntikan-suntikan baru dari luar. Salah satu caranya ialah dengan menggalakkan kemasukan imigran asing. Kemasukan pendatang-pendatang itu secara besar-besaran akan mencetuskan satu suasana baru di Tanah Melayu. Aktiviti ekonomi akan menjadi lebih giat. Struktur sosialnya akan berubah. Orang Melayu akan turut menjadi sibuk, sama ada kerana mahu menyertai aktiviti ekonomi itu atau kerana mahu menjadi pemerhati. Dengan itu mereka tidak mempunyai masa lagi untuk duduk mencari kesalahan Inggeris.
Kejayaan imigran-imigran itu memesatkan kegiatan ekonomi telah menyebabkan Inggeris menjadi bertambah kuat. Pendatang-pendatang itu tidak setakat diberi ruang mencari makan, tetapi digalakkan membina kelompok masyarakatnya sendiri. Kapitan-kapitan Cina dilantik dan diberi tauliah untuk menguasai sesuatu kelompok atau kawasan.
Akhirnya, secara perlahan-lahan, para kapitan ini mula mempunyai peranan sebagaimana pembesar-pembesar Melayu. Mereka mempunyai kuasa untuk membuat keputusan di samping kuasa untuk melakukan tawar menawar. Dengan sendirinya kewujudan mereka mula menjadi batu pengimbang terhadap pengaruh golongan bangsawan Melayu. Inggeris meletakkan kapitan-kapitan itu di suatu tahap, di mana sekiranya berlaku sesuatu yang buruk dalam hubungan mereka dengan orang Melayu, Inggeris akan mendapat bantuan dan sokongan daripada kapitan-kapitan tersebut.
Dalam keghairahan mencari kekayaan di bumi Semenanjung ini kumpulan imigran Cina itu tidak sedar, atau barangkali sengaja enggan menyedari, bahawa mereka sebenarnya telah menjadi alat bagi Inggeris meneruskan cita-cita dan dasar kolonialismenya. Mereka membenarkan diri dijadikan kuda tunggangan Inggeris. Apabila berlaku sengketa antara pembesar-pembesar Melayu hasil dasar adu domba penjajah, kumpulan orang-orang Cina inilah yang disorong oleh Inggeris untuk turut campur tangan. Mereka dijadikan alat untuk tawar menawar dan senjata untuk Inggeris mengekalkan pengaruh.
Inggeris ternyata berjaya. Untuk suatu tempoh, ia mampu mengekang kebangkitan orang-orang Melayu. Semangat Datuk Maharajalela, Datuk Sagor, Datuk Bahaman dan kawan rakan mereka tidak bersambut dalam erti kata yang sebenar untuk jangka waktu yang agak panjang. Untuk sementara waktu, Melayu turut sibuk menumpang kemakmuran yang terhasil daripada kepesatan pembangunan di sektor perlombongan dan perladangan. Walaupun mereka cuma mendapat sisa dan serdak, ia sudah memadai bagi mencetuskan kegembiraan baru di hati nubari orang Melayu.
Sebagai pemilik asal tanah bertuah ini tidaklah sukar bagi orang Melayu untuk menumpang kemakmuran itu. Mereka barangkali tidak mahir bekerja di kebun atau di ladang, namun mereka mempunyai aset lain yang tidak dimiliki, tetapi sangat-sangat diperlukan oleh pendatang-pendatang asing itu. Aset tersebut ialah tanah yang mereka teroka dan mereka usahakan lama sebelum kedatangan orang-orang asing itu.
Dengan memajak atau menjual tanah-tanah mereka kepada gerombolan pendatang tersebut, orang Melayu sudah boleh hidup bergoyang kaki. Mereka tidak mempunyai masalah untuk melakukannya. Ini tanah mereka. Ini kampung halaman mereka. Mereka boleh menjual yang sedia ada, kemudian menyingsing lengan meneroka kawasan baru. Kemudian, apabila ada orang asing berminat dengan kawasan baru itu, mereka boleh menjualnya lagi dan mencari kawasan lain pula untuk dipugar.
Proses ini berlaku dengan pesatnya. Melalui cara inilah orang Melayu memberi laluan kepada imigran-imigran tersebut, khususnya kaum Cina. Mereka meninggalkan pekan-pekan yang mereka buka sejak lama kepada rakan-rakan baru mereka itu. Mereka membiarkan kedai-kedai kecil mereka ditukarkan kepada bangunan-bangunan batu yang lebih mantap.
Banyak kalangan berpendapat, fenomena ini berlaku kerana orang Melayu tidak mempunyai daya saing. Mereka gagal menerima asakan imigran-imigran asing tersebut. Mereka tidak sanggup untuk bersaing mencari rezeki bersama kumpulan imigran itu. Dan sebagai jalan keluar mereka memilih untuk berundur.
Pendapat itu sebenarnya tidaklah seratus peratus benar. Jika orang Melayu tidak mempunyai daya saing sudah pasti sejak lama dahulu mereka menjadi orang—orang bukit. Perlu diingat, sebagaimana dinyatakan dalam bab-bab yang terdahulu, bahawa asakan asing ke atas kehidupan orang Melayu telah berlaku terlalu lama. Bangsa Melayu telah dihimpit sejak zaman Langkasuka dan Srivijaya. Ianya berlanjutan hingga ke zaman kegemilangan Melaka, ke era Portugis, Belanda dan Inggeris. Begitupun sehingga pertengahan kurun ke-19 Melayu masih mampu bertahan di kawasan-kawasan penempatan yang dalam istilah sekarang ini dinamakan bandar dan pekan.
Satu pendapat lain yang tidak kurang popularnya mengaitkan langkah orang Melayu memberi laluan kepada imigran-imigran asing itu dengan sifat baik hati mereka. Kononnya, orang Melayu ini terlalu pemurah, terlalu ‘tidak apa’ dan terlalu pasrah kepada takdir. Bagi orang Melayu tetamu adalah segala-galanya. Mereka tidak akan menjamah makanan sebelum tetamu berbuat demikian. Mereka sanggup tidur di luar kelambu asalkan tetamu tidak digigit nyamuk.
Orang-orang Cina dan India yang datang ke mari tidak hanya dianggap tetamu, tetapi rakan yang membawa kemakmuran. Kerana itu mereka diraikan begitu rupa. Kerana itu orang Melayu sering sanggup menghulurkan pinggan dan menyuakan nasi yang sedang mereka makan.
Tetapi pendapat itu sebenarnya hanyalah jenaka yang tidak perlu diulas. Realitinya orang Melayu tidak sebodoh itu. Apa yang mungkin berlaku sebenarnya ialah orang Melayu tidak cukup bersedia untuk menerima perubahan wajah Tanah Melayu sebagaimana yang berlaku pada kurun ke-19.
Melayu, sebelum ledakan industri perlombongan dan perladangan, merupakan bangsa yang hidup dalam budaya ala-kadar. Tidak ada apa yang perlu mereka kejar dan tidak ada apa yang hendak dibimbangkan. Semuanya dilakukan semata-mata setakat untuk cukup makan.
Menuduh Melayu menjadi demikian kerana sifat malas semulajadi mereka adalah suatu tindakan yang tidak adil. Hakikatnya, mereka tidak mempunyai sebab untuk menjadi rajin. Mana-mana bangsa sekalipun, jika berada dalam situasi orang Melayu di Semenanjung ketika itu, sudah pasti akan mengambil sikap yang serupa. Bumi ini terlalu makmur. Segala yang ada di bumi ini Iebih daripada memadai untuk membolehkan mereka hidup selesa.
Keselesaan hidup menyebabkan orang Melayu tidak berasa perlu untuk menoleh ke belakang dan melihat kejayaan kejayaan yang pernah dicapai oleh nenek moyang mereka. Keselesaan hidup juga menyebabkan mereka tidak terdorong untuk bergerak ke hadapan bagi mencari kejayaan-kejayaan baru. Malah mereka sebenarnya tidak tahu apa-apa tentang kejayaan. Mereka tidak mempunyai kemampuan untuk membandingkan antara yang berjaya dengan yang tidak.
Persekitaran yang ada dalam hidup orang Melayu waktu itu bukan sahaja tidak merangsang mereka untuk berjaya, malah dalam sesetengah keadaan, menghalang mereka daripada berbuat demikian. Kecetekan pemahaman agama misalnya, menyebabkan mereka percaya bahawa segala apa yang dilalui telah tersurat di luh mahfuz. Mereka tidak berupaya mengubahnya. Malah sebagai penganut Islam yang taat mereka tidak mahu mengubahnya. Mereka bukan takut berjaya, tetapi mereka takut berdosa.
Satu perkara lain yang memungkinkan semua itu berlaku ialah sebelum kurun ke-20 konsep ‘bangsa’ di kalangan orang Melayu masih tidak begitu jelas. Di kalangan orang lain pun begitu. Walaupun istilah bangsa mula diperkenal dalam bahasa bahasa Eropah sejak abad ke-16, dan yang pertama melalui buku ‘The Book of Martyrs’ oleh John Foxes, pada tahun 1563, namun konsep pengasingan manusia itu tidak begitu dipedulikan. Sesuatu kelompok biasanya lebih dikenali dengan negeri yang didudukinya dan ketua atau raja yang ditaatinya, bukan bangsa keturunannya.
Sebagaimana disebutkan sebelum in orang Melayu sejak lama membahagi-bahagikan diri mereka mengikut rumpun keturunannya. Mereka tidak berdiri sebagai bangsa Melayu yang besar, tetapi sebaliknya bercempera sebagai bangsa Melayu yang berkelompok. Ibrahim Yaakob, nasionalis Melayu yang terkenal itu, lewat tulisannya dalam ‘Melihat Tanahair’ menyebut bagaimana selepas kejatuhan Melaka orang Melayu tidak tahu apa-apa lagi tentang bangsa mereka. Mereka bertaburan. Ibrahim sendiri, sewaktu bertemu orang-orang Minang, Banjar dan Bawean di Perak pada sekitar tahun 1930-an, mendapati mereka semua tidak menganggap diri masing-masing sebagai Melayu. Mereka, seperti juga Melayu di tempat-tempat lain, hanya setia pada kelompok dan ketuanya sahaja.
Manusia tanpa bangsa, pada bila-bila masa pun, akan menjadi lemah. Ini jugalah yang berlaku pada orang Melayu apabila mereka gagal ‘mengenali’ bangsanya sendiri.
Ditakdirkan orang Melayu mengenali akar umbi bangsanya sejak awal, dilema Melayu tentulah tidak seperti sekarang. Ditakdirkan orang Melayu sedar bahawa nenek moyang mereka dahulu pernah menguasai nusantara, sudah tentulah buku seperti ini tidak perlu ditulis.
Tetapi takdir tidak menjadikannya begitu. Orang Melayu tenggelam dalam kekeliruan dan semasa sedang keliru itulah mereka tiba-tiba menerima tekanan demi tekanan, yang dibawa secara tidak langsung daripada gerakan kemasukan imigran asing. Mereka dikejutkan oleh pembukaan satu demi satu lombong dan sebuah demi sebuah ladang. Hidup mereka yang sebelum itu berkisar pada sungai, huma dan hutan tiba-tiba diserkupi segala sesuatu yang baru. Dan sesuatu itu pula berlaku terlalu pesat dan terlalu mendadak. Akibatnya, tatkala Melayu terpinga-pinga untuk mencari hala tuju, mereka secara perlahan lahan mula dicicirkan.
Apa pun, dalam keadaan orang Melayu terus-menerus keliru itu, aliran kemasukan imigran asing tetap berlaku dengan amat pesat. Dianggarkan antara tahun suku terakhir abad ke-19 hingga awal abad ke-20, lebih dua juta imigran Cina dibawa masuk ke Tanah Melayu. Jumlah imigran India juga tidak lagi kecil.
Kumpulan pendatang itu, mungkin kerana bilangannya yang bertambah besar, tidak setakat tertumpu ke kawasan kawasan perlombongan seperti di Selangor, khususnya Kuala Lumpur atau di Perak. Mereka malah bertebaran ke negeri negeri lain, termasuk Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Di Kedah misalnya, pada tahun 1870, telah ada tauke-tauke Cina dan saudagar-saudagar India masuk mengusahakan ladang serta membuka pekan-pekan kecil.
Di pekan sekecil Kangar, kumpulan orang-orang asing ini tetap muncul dan mencari rezeki dengan selesa. Ketika William Walter Skeat, seorang pegawai kanan Inggeris tiba di Kangar bersama rombongannya pada 3 Januari 1900, dia mendapati pekan itu dikuasai oleh orang-orang Cina. Terdapat 62 buah rumah kedai yang diperbuat daripada batu dan lapan buah kedai yang dibina daripada kayu-kayu hutan dan beratap nipah. Kesemua 62 buah kedai batu itu milik peniaga Cina dan kesemua lapan buah kedai kayu itu milik peniaga Melayu!
Arus kemasukan orang-orang asing itu sesungguhnya tidak pernah berkurangan. Kegiatan ekonomi yang rancak digerakkan oleh imigran-imigran terdahulu menjadi tangan yang sentiasa menggamit kedatangan imigran-imigran baru. Hasilnya, pada tahun 1931, bilangan orang Cina di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Pahang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan) telah mencapai angka 64 peratus daripada jumlah penduduk keseluruhannya. Di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis pula angka itu mencecah 29 peratus.
Enam tahun kemudian, iaitu pada tahun 1937, satu banci rasmi menunjukkan jumlah orang Melayu di Perak ialah 307,245 orang. Orang Cina? Angkanya ialah 376,950 orang!
Dan angka-angka inilah yang menyebabkan orang Melayu ketika menghidapi sindrom kebimbangan baru.


Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

http://gpmsmelaka.blogspot.com/2017/08/melayu-mengemis-di-negera-sendiri.html

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Sos Sengkuang Calit Buat Sendiri Di Rumah Yang Pasti Menjadi

Sos Sengkuang Calit Buat Sendiri Di Rumah Yang Pasti Menjadi

papar berkaitan - pada 16/11/2021 - jumlah : 236 hits
Sengkuang yang sejuk lepastu rangup di letakkan pula sos khas untuk sengkuang calit lepastu tabur kacang pehhh padu sangat Tapi lagi padu kalau kita pandai buat sos sengkuang calit sendiri di rumah Bolehlah makan berulang kali sampai jemu B...
Kenapa Mufti Terkujat Bila Penegasan Terhadap Hukum Yg Mereka Sendiri Takut Untuk Suarakan Secara Umum

Kenapa Mufti Terkujat Bila Penegasan Terhadap Hukum Yg Mereka Sendiri Takut Untuk Suarakan Secara Umum

papar berkaitan - pada 16/11/2021 - jumlah : 281 hits
Apakah Mufti pernah nasihat atau memberi pandangan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang sebelum ini Semua orang Islam patut beri sokongan moral kepada sanusi walau ada sedikit perbezaan pandangan
2 Maut 3 Parah Kereta Terbabas Sendiri

2 Maut 3 Parah Kereta Terbabas Sendiri

papar berkaitan - pada 16/11/2021 - jumlah : 251 hits
Kenderaan Perodua Alza yang dinaiki lima sekeluarga terbabit dipercayai terbabas sendiri Pix ihsan Bomba KINABATANGAN Dua wanita maut manakala tiga lelaki parah selepas kenderaan yang dinaiki tiba tiba terbabas dan merempuh konkrit di tepi ...
Sering Anggap Sebagai Adik Sendiri Perlakuan Manis Nagita Slavina Ke Dimas Ahmad Dipuji

Sering Anggap Sebagai Adik Sendiri Perlakuan Manis Nagita Slavina Ke Dimas Ahmad Dipuji

papar berkaitan - pada 16/11/2021 - jumlah : 227 hits
Bahkan dalam perayaan ulang tahun bos salah satu stasiun TV Nagita memperkenalkan Dimas sebagai adiknya
Nak Kenakan Kucing Sendiri Yang Tercalar Kah3

Nak Kenakan Kucing Sendiri Yang Tercalar Kah3

papar berkaitan - pada 18/11/2021 - jumlah : 176 hits
NAK KENAKAN KUCING SENDIRI YANG TERCALAR KAH3Hai korang TB nak citer something ni korang tengok kat gambar kartun yang lawa kat atas ni dan tengok yang kat bawah ni jugak huhuhu dua dua gambar ni membuatkan TB teringat kes semalam Butang ca...
Hiburan Kalau Dulu Saya Tak Jadi Diri Sendiri Mawi Akui Lebih Selesa Hidup Tanpa Populariti

Hiburan Kalau Dulu Saya Tak Jadi Diri Sendiri Mawi Akui Lebih Selesa Hidup Tanpa Populariti

papar berkaitan - pada 17/11/2021 - jumlah : 254 hits
Walaupun nama penyanyi ini sudah tidak banyak diperkatakan oleh orang ramai seperti dulu namun Mawi selesa dengan kehidupan yang dilaluinya sekarang ini Menurut Mawi dia beranggapan populariti serta kemasyuran yang diraihnya selepas memenan...
How To Plan A Stress Free Family Vacation

Bendung Elemen Politik Perkauman Elak Permusuhan Keganasan

Rajab Keutamaan Amalan Tanggal Berapa 2025

Masya Allah Ribuan Tentera As Masuk Islam Ini Kunci Hamas

Djakarta Warehouse Project Festival Musik Elektronik Terbesar Di Asia Tenggara

Tutup Pintu Belakang Buang Pintu Depan

Y15zr Tukar Fuel Pam Jet Cardinals Racing

Resepi Ayam Cili Padi Bersantan Pedas Lemak Padu Gila


echo '';
Info Dan Sinopsis Drama Berepisod Curang Tanpa Niat Slot Megadrama Astro Ria

5 Insiden Jalan Sesak Yang Berlaku Lebih 24 Jam Durasinya

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 6 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Keputusan Markah Peserta Konsert Minggu 5 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

10 Filem Drama Seram Melayu Berhantu Terbaru 2024 2025 Mesti Tonton


Makan Tengah Hari Di Jeti Nelayan Kesang

Addressing Flaws In Mrt3 S Strategy

Yoursay Will Anything Come Out Of Ayer Keroh Accident Probe

Hiking Gunung Bubu Gerik

Comment On Pengalaman Menginap Di Teluk Bayu Floating Chalet Kota Kuala Muda Kedah By Munirah

Comment On Nasihat Untuk Mereka Yang Ingin Berkunjung Ke Sungai Kedondong Batang Kali Selangor By Zul