Majlis Raja Raja Melayu Bersidang Esok Petang
Borhan Abu Samah 

 MAJLIS Raja-raja Melayu akan bersidang esok dijangka membincangkan isu semasa.Difahamkan mesyuarat akan berlangsung pada pukul 2.30 petang.
Mesyuarat itu dijangka membincangkan isu kemungkinan pengisytiharan  darurat kesihatan yang dikatakan dibawa oleh Perdana Menteri, Tan Sri  Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin bergegas ke Kuantan, Pahang, semalam bagi menghadap Yang  di-Pertuan Agong selepas mengadakan mesyuarat kabinet pada sebelah pagi.
Kabinet khas semalam walaupun tidak sebulat suara telah memutuskan  untuk melaksanakan darurat kesihatan bagi mengatasi penularan wabak  Covid-19 yang semakin tidak terkawal.
Istana Negara dalam kenyataannya hari ini memaklumkan akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Raja-raja dalam masa terdekat.
Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Dato’ Indera Ahmad Fadil  Shamsuddin Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, KDYMM Seri  Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin  Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in  Billah telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri YAB Tan Sri  Muhyiddin Yassin di Istana Abdul Aziz, Kuantan pada jam 5.00 petang  semalam (23 Oktober, 2020).
Sesi menghadap ini telah dimohon oleh YAB Perdana Menteri susulan  daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang telah dipengerusikan oleh  beliau di Putrajaya pada pagi semalam.
Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam  ini, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat  cadangan-cadangan yang telah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri  tersebut untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda untuk  pelaksanaannya.
Adalah dimaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan  kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19.
Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan  dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini.
Oleh hal yang demikian dan susulan daripada sesi menghadap semalam,  Al-Sultan Abdullah telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan  Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan  dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh YAB Tan  Sri Muhyiddin Yassin.
Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat  supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi  terkini ini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan  tersebut.
Seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang  spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta  menggugatkan ketenteraman negara yang kita cintai bersama ini.
Berhubung dengan kenaikan mendadak kes positif harian COVID-19 dan  kewujudan beberapa kluster baharu yang berterusan di negara ini,  Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat Seri Paduka Baginda kepada  rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin  mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara amalan kebiasaan  baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi COVID-19 demi keselamatan  diri serta masyarakat.
Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri  Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi  dari segala bentuk ancaman serta penularan COVID-19 ini dapat dibanteras  dengan berkesan dan diakhiri dengan segera.
Penularan virus korona itu mencatat rekod terbaharu semalam apabila  terdapat 10 kematian dan merupakan sesuatu yang mengejutkan sejak wabak  itu tular 10 bulan lalu.
Bagaimanapun di pihak pembangkang mereka menyifatkan tindakan  Muhyiddin itu lebih kepada untuk menyelamatkan kedudukannya yang bakal  kehilangan kuasa kerana tidak mempunyai cukup sokongan ahli parlimen.
Muhyiddin yang mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu  membentangkan dan mendapatkan kelulusan belanjawan pada 6 November ini.
Jika ia gagal diluluskan dan diikuti pula dengan undi tidak percaya,  Muhyiddin akan kehilangan kerajaan yang didudukinya selepas Pakatan  Harapan (PH) runtuh setelah pergolakan dalaman.
PN pada masa ini melibatkan komponen UMNO, Bersatu, Pas, GPS dan serpihan PKR.
Bagaimanapun UMNO yang kecewa dengan sikap pemimpin Bersatu  berterusan menekan rakan komponen meletakkan kata dua jika mahu terus  perikatan itu kekal.
Selepas beberapa siri perbincangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.  Ahmad Zahid Hamidi memutuskan untuk melaksanakan gencatan politik bagi  memastikan PN kukuh dan isu semasa ditangani dengan sewajarnya khusus  penularan virus korona dan ekonomi.
Walaupun jaminan diberi oleh Ahmad Zahid namun kebimbangan Parlimen  terbubar tetap ada kerana rundingan di sebalik tabir tidak dapat  dielakkan.
Dikhuatiri jika Parlimen dibubarkan oleh Muhyiddin, situasi akan  menjadi gawat. Berdasarkan kepada pembubaran dewan undangan negeri Sabah  dan terpaksa melaksanakan pilihan raya negeri tempoh hari ia menjadi  punca tercetus gelombang ketiga penularan Covid-19. – SM
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/10/majlis-raja-raja-melayu-bersidang-esok.html