Macau Scam Polis Akan Panggil Artis Ahli Politik Jika Terbabit
Haspaizi Zain
Polis  akan memanggil artis dan ahli politik yang  terbabit dengan kegiatan  sindiket perjudian dalam talian dan penipuan Macau Scam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.
Bagaimanapun setakat ini polis belum mengesan pembabitan ahli politik dalam kegiatan berkenaan.
"Kita akan menyiasat lanjut, sekiranya ada, sekiranya perlu (polis) akan panggil (artis atau ahli politik).
"Berhubung  tangkapan dibuat terhadap tiga lelaki yang ditahan mengikut Akta  Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, polis akan membuat permohonan bagi  meanjutkan reman selama 38 hari," katanya pada sidang media, di Bukit  Aman, hari ini.
Tangkapan berkenaan dibuat semalam.
Dalam  pada itu, mengulas mengenai individu yang melarikan diri selepas  dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Huzir berkata  pihaknya masih mengesan lokasi suspek bersembunyi.
Katanya, suspek yang dikenali sebagai Goh Leong Yeong @ Alvin sedang giat diburu oleh polis ketika ini.
"Kita akan kesan Alvin sehingga dapat," tegas Huzir.
"Semalam  kita (polis) ada membuat tangkapan ke atas seorang lelaki di Lembah  Klang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek yang melarikan diri,"  katanya lagi.
Pada 13 Okt lalu, media melaporkan seorang suspek  utama dalam siasatan kes pengubahan wang haram dilapor melarikan diri  daripada ditahan polis selepas dia dibebaskan SPRM.
Menurut Harian Metro lelaki terbabit - yang dikatakan bergelar Datuk Seri - memanjat pagar  di belalang bangunan SPRM dan melarikan diri ketika anggota polis yang  mahu menahannya bersedia di bahagian depan.
Memetik sumber portal  itu melaporkan lelaki terbabit dikehendaki bagi membantu siasatan  mengenai pusat panggilan yang menjalankan kegiatan judi dalam talian.
Sebelum  itu, SPRM membongkar kegiatan segelintir individu yang disyaki terbabit  dengan kegiatan haram termasuk perjudian sebelum memerangkap segelintir  artis tempatan dengan menawarkan bantuan modal memulakan perniagaan.
Ia  susulan tangkapan lima individu termasuk Datuk dan lelaki bergelar  Datuk Seri palsu pada 3 Oktober lalu oleh SPRM selepas seorang selebriti  terkenal dipanggil untuk dirakam percakapan.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/10/macau-scam-polis-akan-panggil-artis.html