Lebih Banyak Sektor Dibenar Kembali Beroperasi
HARAKAH DAILY

PENULARAN wabak COVID-19 telah memberi kesan kepada  kesihatan rakyat dan juga ekonomi negara. Kerajaan telah mengambil  langkah-langkah proaktif khususnya pelaksanaan Perintah Kawalan  Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak ini.
Usaha memerangi  COVID-19 belum berjaya sepenuhnya tetapi kita telah dapat melandaikan  keluk (curve) ke tahap yang terkawal.
Namun, kita tidak  seharusnya alpa dan akan terus berusaha sedaya upaya untuk menjamin  kesihatan dan keselamatan rakyat.
Kerajaan juga bertanggungjawab untuk memulihkan ekonomi termasuk  melindungi mata pencarian rakyat. Usaha ini adalah untuk membina semula  ekonomi yang mampan, berdaya saing, mengembalikan keyakinan pelabur  serta menjamin pekerjaan.
    Pada 23 April 2020, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa  kes-kes COVID-19 telah menurun dengan ketara susulan dari usaha  berterusan pihak Kerajaan membendung penularan wabak COVID-19. Bagi  memastikan pencapaian yang positif ini berterusan, Kerajaan telah  melanjutkan tempoh PKP sehingga 12 Mei 2020.
Dengan pelanjutan ini,  Kerajaan sedang mengkaji kaedah memulihkan ekonomi secara berperingkat.  Ini merangkumi pembukaan beberapa sektor dan sub-sektor ekonomi tambahan  tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ketat bagi memastikan  syarikat terus beroperasi dan pekerja berada dalam persekitaran yang  selamat.
    Sehubungan ini, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang  bersidang semalam (27 April 2020) telah membincangkan kedudukan terkini  ekonomi dan kewangan negara, kelangsungan perniagaan dan kesejahteraan  rakyat. Mesyuarat telah meneliti kajian dan cadangan yang dibentangkan  oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan  Industri (MITI), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Khazanah Nasional.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diwakili oleh Menteri  Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan turut membentangkan pandangan dan  maklum balas di atas perkara yang dibincangkan.
Perbincangan tertumpu  kepada keperluan untuk memulakan semula (restarting and reviving) rantaian bekalan ekonomi secara menyeluruh yang dapat membantu  perniagaan untuk meneruskan operasi sepenuhnya, membina semula stok yang  terjejas serta membolehkan penyampaian perkhidmatan dan barangan yang  efisien kepada pelanggan.
    Keputusan mesyuarat EAC telah dibentangkan dalam mesyuarat Majlis  Keselamatan Negara yang bersidang pada pagi ini (28 April 2020) dan  dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri serta turut dihadiri oleh semua  Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri.
    Menyedari keperluan mendesak untuk menangani krisis ekonomi semasa,  Kerajaan bersetuju supaya sektor-sektor ekonomi yang telah dibenarkan  beroperasi pada PKP Tahap 1, 2 dan 3 meningkatkan kapasiti beroperasi  sepenuhnya dan dibenarkan beroperasi tanpa sekatan masa mengikut  keperluan industri masing-masing.
    Pihak syarikat di dalam sektor yang dibenarkan ini wajib mematuhi  syarat-syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi  sektor masing-masing. Kegagalan syarikat mematuhi SOP akan menyebabkan  kebenaran beroperasi dibatalkan serta merta dan dikenakan tindakan  undang-undang.
    Kebenaran ini berkuatkuasa mulai esok (29 April 2020). Pihak syarikat  yang telah diluluskan untuk beroperasi tidak lagi perlu memohon kepada  MITI untuk mendapatkan kebenaran.
    Inisiatif ini akan memberi anjakan kepada pemulihan sistem rantaian  bekalan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan domestik dan  luar negara. Ini tentunya akan memberi impak positif kepada pendapatan  syarikat khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana.
    Sementara Kerajaan memberikan kelonggaran ini, rakyat dan pemilik  perusahaan perlu memulakan ‘kebiasaan baharu’ dengan mematuhi penjarakan  sosial di tempat kerja, kebersihan diri dan garis panduan kawalan kesihatan.
    YB DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
Menteri Kanan
Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI)
 – HARAKAHDAILY
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/04/lebih-banyak-sektor-dibenar-kembali.html