Latihan Gila Melahirkan Penyelamat Elit
Pasukan khas bomba, STORM, berganding dengan MUST dan K9 dalam operasi mencari dan menyelamat di Batang Kali baru-baru ini.PETALING JAYA: Tragedi tanah runtuh Batang Kali baru-baru ini bukan sahaja membuka mata rakyat kepada kehebatan unit anjing pengesan bomba, tetapi juga dua pasukan penyelamat elit yang dianggotai individu tahan lasak dan berkemahiran tinggi – MUST dan STORM.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mempunyai pelbagai unit khas bagi pelbagai situasi yang amat mencabar. Jika situasi cemas di pedalaman sukar didekati melalui darat, bomba akan menerbangkan Pasukan Multi Skill (MUST) untuk melakukan kerja menyelamat dari helikopter.
Apabila berlaku bencana berskala besar, Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat (STORM) yang terdiri daripada individu paling kental dalam bomba dihantar untuk meredah bahaya.
Untuk menyertai STORM, peserta akan diarah berlari sejauh 7km bawah 45 minit; diikuti ujian kecekapan fizikal (IPPT) seperti lompat jauh dari posisi berdiri, larian jarak jauh, tekan tubi dan pull-up; dan kemudian latihan daya tahan sambil menggalas radas pernafasan atau BA Endurance.
Razi Muttalib berkata kebiasaannya tidak sampai 1/4 daripada 200 pemohon ditauliahkan selepas kursus STORM selesai.“Ada beberapa ujian yang akan kita jalankan…latihan ini tiada rehat,” kata Pegawai Kanan Penguasa Bomba, Mohd Razi Abd Muttalib dari Bahagian Operasi dan Kebombaan JBPM Selangor yang menyambut FMT di Ibu Pejabat JBPM Malaysia, Shah Alam.
Razi berkata ramai peserta yang kecundang dalam BA Endurance. Selepas berlari 7km dan lelah IPPT, peserta perlu melakukan ‘kerja biasa’ bomba misalnya membentang hos, menggulung hos, membawa pemadam kebakaran menaiki tangga, dan menarik pemadam kebakaran ke tingkat tiga…dengan cepat dan sempurna.
“Kita tetapkan di bawah 12 minit untuk dihabiskan,” katanya.
Semua ini dan lain-lain lagi terkandung dalam ujian yang terbuka untuk anggota yang ingin menjadi penyelamat ‘elit’. Kebiasaannya tidak sampai 1/4 daripada 200 pemohon ditauliahkan selepas kursus selesai, kata Razi.
Mereka yang melepasi halangan ini akan layak menjalani latihan satu bulan, yang turut mengandungi ujian tersendiri, seperti membawa beban seberat 100-120kg sambil berjalan kaki, sejauh 18km dalam tempoh tidak lebih daripada empat ke lima jam.
Peserta dibekalkan dengan air dan makanan yang terhad. Mereka boleh berehat tetapi perlu sampai ke pangkalan bersama barang dalam tempoh yang ditetapkan.
“Dekat situlah berbagai reaksi, emosi, kerenah yang akan berlaku sebab kita bermain dengan beban, kita bermain dengan kumpulan, kita bermain dengan emosi kawan-kawan, dekat situ baru kita kenal siapa ‘kawan’ siapa ‘lawan’.”
Bagi MUST pula, yang hampir 25 tahun ditubuhkan bomba, setiap anggota dilatih untuk menjadi pasukan atur gerak cepat melalui pesawat udara.
Sabri Jamaluddin berkata anggota MUST perlu menguasai kemahiran menyelamat di darat dan dari udara.Timbalan Ketua Zon 6 SL, Muhd Sabri Jamaluddin, berkata mereka mesti menguasai kemahiran berkomunikasi, membaca peta, menelusuri hutan, dan mengendali haiwan berbisa. Operasi belantara bermakna anggota MUST itu sendiri ‘terputus’ dari dunia luar kerana kekangan teknologi.
“Ada dalam kalangan anggota MUST juga mempunyai kemahiran ‘combat medic’ (medik tempur) yang tak semua orang boleh dapat kemahiran berkenaan,” katanya.
Pengkhususan yang berbeza tidak bererti pemilihan MUST lebih mudah. Sabri berkata setiap anggota akan menjalani latihan ikhtiar hidup di paya selama seminggu. Kemahiran ini akan membantu anggota MUST melakukan kerja-kerja menyelamat di kawasan berpaya.
Bomba mempunyai pelbagai unit khas untuk pelbagai situasi, yang sedia digerakkan bila-bila masa.“Kita mempersiapkan anggota kita untuk menghadapi sebarang kemungkinan.”
Oleh kerana MUST pasukan khas yang beroperasi dengan pesawat seperti helikopter, semua pegawainya didedahkan dan ditauliahkan dengan latihan penyelamatan taktikal yang melibatkan pesawat jabatan dan agensi yang mempunyai pesawat.
Dicantumkan dengan ilmu hutan, mereka diajar mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk mendarat. Selalunya, ini juga melibatkan kerja-kerja membuat tapak pendaratan.
“Kita perlu tahu juga kawasan mana untuk ia (pesawat) masuk dan untuk keluar, ia perlukan kawasan masuk dan boleh pusing untuk keluar,” katanya.
Dalam tragedi tanah runtuh Batang Kali, pasukan khas STORM, MUST, dan K9 berganding mencari dan menyelamatkan puluhan mangsa yang terperangkap atau terkorban, bersama pasukan dan pihak berkuasa lain.
Razi dan Sabri berkata, walau sesukar manapun latihan dan operasi yang perlu dihadapi, semangat kerjasama dan setiakawan kunci menjayakan amanah yang diberikan.
“Kadang badan rasa dah tak mampu tapi semangat itu datang atas semangat oleh kawan-kawan, sebab itu daripada awal lagi pasukan ini dipupuk supaya bekerja satu kumpulan,” kata Razi. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2023/01/latihan-gila-melahirkan-penyelamat-elit.html