Laporan Menteri Terkejut Peruntukan Jasa Timbalan Kata Nak Bela Bekas Staf
MALAYSIAKINI 
Peruntukan  sebanyak RM85.5 juta untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) seperti  diumumkan kerajaan pada 6 Nov lalu didakwa mengejutkan Menteri  Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah.
Memetik sumber yang tidak dinamakan, portal The Malaysian Insight mendakwa walaupun tahu agensi berkenaan - yang dikenali gigih  menyebarkan propaganda kerajaan BN sebelum ini - akan dihidupkan,  Saifuddin dikatakan tidak tahu jumlah yang disediakan.
“Beliau  terkejut apabila nampak jumlah itu. Beliau tidak pernah minta sebanyak  itu diperuntukkan untuk Jasa,” kata sumber berkenaan.
Ekoran itu,  portal terbabit melaporkan, Saifuddin mengarahkan Ketua Setiausaha  Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Mohammad Mentek untuk  menyiasat.
Untuk  rekod Saifuddin merupakan ahli parlimen Indera Mahkota yang memenangi  kerusi berkenaan atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum  (PRU) lalu.
Dia kemudian menyertai sekumpulan ahli parlimen PKR  untuk berpaling tadah dengan meninggalkan parti berkenaan dan menyertai  Bersatu selepas PH ditumbangkan.
Sementara itu dalam laporan sama,  timbalan Saifuddin, Zahidi Zainul Abidin, mengakui dia adalah orang  yang bertanggungjawab mencadangkan Jasa dihidupkan semula selepas ia  dibubarkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Kata ahli Majlis  Tertinggi Umno itu, dia memaklumkan cadangan tersebut kepada Saifuddin  namun tidak menolak kemungkinan menteri terbabit terlupa kerana terlalu  sibuk. 

“Ya, saya yang cadang hidupkan Jasa, tapi beliau (Saifuddin) tahu… mungkin sebab beliau menteri jadi banyaklah tugasnya.
“Menteri inikan terlalu aktif, terkenal jadi dia sibuk sampai terlupa benda yang dah disampaikan kepada beliau,” katanya.
Mengenai  peruntukan besar dalam Belanjawan 2021 yang mengejutkan ramai orang  serta dikritik pembangkang itu, Zahidi berkata, ia adalah persetujuan  selepas diadakan perbincangan bersama.
Menurut Zahidi antara pihak yang memberikan pandangan berkaitan hal itu ialah pegawai yang menubuhkan Jasa sebelum ini.
Kata  ahli parlimen Padang Besar itu lagi, peruntukan RM85.5 turut melibatkan  kos membela nasib lebih 1,000 kakitangan Jasa yang diberhentikan PH  sebelum ini dengan mengambil mereka bekerja dengan kerajaan semula.
Disebabkan mahu menubuhkan agensi baru, katanya, pelbagai aset baru juga diperlukan.
Pada  masa sama Zahidi menyatakan penghargaannya kepada Perdana Menteri  Muhyiddin Yassin kerana "membela nasib orang Melayu" dalam Jasa.
“Kalau  kata Muhyiddin tak setuju tak boleh juga, sebab takkanlah beliau tidak  kesian dan tidak membela nasib pekerja Jasa,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/laporan-menteri-terkejut-peruntukan.html