Kunjungan Pemangku Sultan Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Ukir Ceria Rakyat Di Raub
BENARLAH bahawa pada setiap kali berlakunya sesuatu musibah itu, akan ada hikmah di sebaliknya. Bagi penduduk Raub, kehadiran orang-orang besar atau ternama sudah agak biasa, tetapi tidak begitu keadaannya bagi penduduk Kampung Melayu Sempalit. Walaupun kedudukan jaraknya dari bandar Raub hanya dalam satu kilometer sahaja. Justeru tiada apa apa keistimewaan yang boleh menarik perhatian untuk pembesar datang melawat.
Namun, keadaan berubah dengan kehendak Allah S.W.T banjir yang melanda kampung ini apabila ditakdirkan satu kunjungan Diraja ke Kampung Melayu Sempalit berlaku dan semestinya menjadi sejarah kepada seluruh penduduk. Iaitu pada 4 Januari 2021, di mana masih lagi di ambang tahun baharu 2021, hujan turun tidak henti selama dua hari dua malam. Menjadikan kawasan-kawasan agak rendah telah mula dinaiki air dan berlaku banjir yang agak besar, walaupun di kampung ini tiada sungai berhampiran. Hanya ada pun cuma sebatang parit.
Bagaimanapun kawasan rumah yang terlibat banjir itu bukan semua berhampiran parit berkenaan. Sebanyak enam rumah kediaman terkena banjir sehingga seramai 28 orang terpaksa dipindahkan ke penempatan sementara, di Surau at-Taqwa, Kampung Melayu Sempalit.
Kejadian dan peristiwa ini telah menarik perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Sultan Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Baginda sudi mencemar duli melakukan ziarah mengejut ke sini sebagai lawatan prihatin Baginda terhadap rakyat jelata yang terlibat banjir.
Kunjungan Baginda sekitar dalam setengah jam itu turut diiringi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Salehudin Ishak serta Pegawai Daerah Raub, Dato’ Mohammad Shahid Ismail dan Pengiring Diraja lainnya.
Sementara kunjungan ziarah prihatin tersebut telah disambut seadanya oleh Penghulu Mukim Gali I, Abdullah Zawawi dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Melayu Sempalit, Zazuli Abd Latif serta Pengerusi Penasihat Pusat Pemindahan Sementara, Amin Sidek Abd. Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Surau at-Taqwa Kampung Sempalit, Saadon Ismail.
Seluruh mangsa banjir serta penduduk Kampung Melayu Sempalit Raub sangat bersyukur dan berbesar hati dengan Tengku Hassanal yang benar-benar berjiwa rakyat ini. Kunjungan Baginda ini juga merupakan kunjungan Diraja pertama di kampung ini untuk jangka masa yang begitu lama, melebihi enam puluh tahun berlalu.
Kerana kira-kira dalam tahun 1960-an dahulu Almarhum nenda kepada Al Sultan Abdullah iaitu Almarhum Al Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Muazam Shah, pernah mengadakan kunjungan Diraja ke Kampung Melayu Sempalit ketika itu. Kali ini cicit kepada Almarhum Sultan Tengku Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muazam Shah, mengulangi lawatan nenda-nya.
Dengan kesudian Baginda mencemar duli turun padang menyantuni rakyat yang menjadi mangsa banjir ini, menunjukkan ketinggian perhatian dan keprihatinan Baginda, juga bersifat benar-benar untuk memberi. Kerana kehadirannya bukan minta dirai atau ke tempat keraian atau meminta rakyat datang menyembah sanjungan. Tapi Baginda mencemar duli ke lapangan bencana yang ada kesulitan dan risiko.
Menyamai sikap sama oleh ayahandanya, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah dan juga bondanya, Tuanku Azizah Maimunah Iskandariah yang sangat cepat ke medan setiap kali rakyat ditimpa kesulitan. Begitulah juga rakyat negeri Tok Gajah ini begitu dekat mengenali nendanya, Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah.
Inilah sifat yang sangat tinggi nilai-nya di mata dan hati rakyat jelata membuat rakyat tidak kira tua muda kecil besar berasa kasih dan sangat menghormati Baginda serta keluarga besar Diraja ini.
Bagi rakyat dan penduduk Kampung Melayu Sempalit, merasakan sangat berbesar hati dan bersyukur serta rasa bertuah dengan kunjungan Kebawah Duli Tuanku Pemangku Sultan, buat julung kalinya ke Kampung Melayu Sempalit ini. Baginda Pemangku Sultan sempat bertegur sapa dengan mesranya kepada semua mangsa banjir, dan juga bertanya khabar sewaktu Baginda menghulur sumbangan wang bantuan mangsa banjir.
Baginda juga sudi mencemar duli minum air kelapa muda yang disumbangkan oleh pengusaha kebun kelapa pandan terkenal di Sempalit, Abu Samah Juah. Setelah hampir setengah jam Baginda Pemangku Sultan beramah mesra dengan rakyat yang dikasihi, Baginda bersama rombongan berangkat ke kawasan lain, sempat Baginda bertitah; “Saya nak pergi kampung lain pula yer…,” sambil mengukir senyuman manis Baginda. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://pahangdaily.blogspot.com/2021/01/kunjungan-pemangku-sultan-pahang-tengku.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+blogspot/LWFdy+(Pahang+Daily+Online)