Kos Hantar Anak Ke Pusat Jagaan Membebankan Puteri Umno Mohon Perhatian Kerajaan
UMNO ONLINE

KUALA  LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menggesa kerajaan  mengambil perhatian serius mengenai kos menghantar anak ke pusat jagaan  yang semakin membebankan.
Ujar Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan, bagi bersama-sama menangani masalah tersebut pihaknya mengutarakan beberapa cadangan.
“Wujudkan pusat penjagaan anak-anak bagi  penjawat awam di kementerian-kementerian, dan staf di semua syarikat  berkait kerajaan (GLC).
“Menggalakkan sektor swasta wujudkan pusat yang sama di dalam bangunan atau berhampiran mengikut kesesuaian.
“Perkenalkan pakej bantuan khas kepada  ibu bapa yang terpaksa menghantar anak kepada pengasuh jika majikan  tidak dapat menyediakan kemudahan tersebut,” ujarnya dalam satu  kenyataan.
Begitu juga tambah Zahida, pihak  kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat diminta memberi  bimbingan dan mempermudahkan pendaftaran bagi pusat-pusat jagaan  kanak-kanak mengikut standard yang ditetapkan.
Ulasnya juga, pada 6 Ogos tempoh hari  Puteri UMNO ada membangkitkan masalah hilang pekerjaan yang dihadapi  oleh wanita dan ibu tunggal yang menjadi ketua isi rumah.
“Seperti dilaporkan sebelum ini golongan  wanita antara yang terkesan teruk apabila dilaporkan 72.2% daripada  bilangan hilang pekerjaan sehingga hari ini.
“Di zaman serba mencabar ini ramai  wanita terpaksa bekerja bagi membantu suami menampung kos sara hidup dan  perbelanjaan keluarga,” katanya.
Hal tersebut katanya membuatkan ramai  yang perlu menghantar anak ke pusat jagaan atau Taska berdaftar, dan ada  juga yang terpaksa menghantar ke pusat jagaan tidak berdaftar untuk  mendapatkan harga lebih murah.
“Ramai para ibu mengadu kepada kami  berkenaan kos yang tinggi bagi menghantar anak ke pusat jagaan sebagai  contoh ‘baby’ RM350 hingga RM450, RM300 bagi anak berusia 1 hingga 3  tahun, RM280 bagi anak berusia 4 hingga 6 tahun dan RM150 untuk setengah  hari bagi anak bersekolah,” jelasnya lagi.
Justeru, Zahida berharap pihak kerajaan  mengambil perhatian semua pandangan dan cadangan yang dikemukakan bagi  mengurangkan beban tekanan sekali gus dapat mengekalkan kesejahteraan  rakyat berpendapatan rendah (B40). – UMNO ONLINE
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/08/kos-hantar-anak-ke-pusat-jagaan.html