Korban Sarah Suhairi Demi Seni
Pada usia setahun jagung dalam industri, penyanyi genit Sarah Suhairi antara yang dilihat konsisten melakar nama.
Sejurus tamat saingan program pertandingan nyanyian Big Stage dan menjuarai pertandingan tersebut pada tahun lalu, Sarah pantas mengatur langkah memastikan keberadaannya terlihat dinamik dalam liga muzik tempatan.
Biar sukar dan tidak mudah, pelantun Pedih berusia 19 tahun itu cekal menyusun strategi sementelah menyedari masih mentah dengan selok-belok industri.
Impak sokongan bapa, janji kepada ibu dan niat atas dasar berkongsi bakat, Sarah kini beroleh rasa lega. Setakat ini, dia berpuas hati dengan posisinya yang dicapai selaku penyanyi.
“Alhamdulillah, sukar untuk saya menjawab sekiranya ada yang bertanya mengenai kedudukan atau situasi saya dalam industri.
“Rencana seni saya berjalan dengan lancar dan sehingga kini tidak pernah berdepan sebarang masalah,” tuturnya memulakan perbualan.
Tidak menyesal
Kala umum melihat kerjaya seninya dilimpahi sinar populariti, Sarah nyata mempunyai pandangan berbeza.
Tanpa berbasa-basi, dia mengakui pernah melalui musim kejutan budaya.
Tutur Sarah, bapalah yang bertindak selaku penasihat utama, manakala janji kepada ibu menjadi pegangan sepanjang menyusuri laluan seni.
“Saya janji dengan ibu untuk menjaga maruah keluarga. Malah saya tidak mahu bapa dipersalahkan sekiranya saya tersilap langkah,” jelasnya ringkas.
Tatkala rakan seusianya melalui zaman muda-mudi dengan bebas menjadi diri sendiri, Sarah pula terpaksa mengorbankan privasinya demi bergelar penyanyi.
Mendapatkan reaksi Sarah, bintang realiti The House itu tidak pernah menyesal mengorbankan zaman muda demi kerjaya.
“Saya tidak menyesal. Saya tidak menetap di Kuala Lumpur, sebalik tinggal bersama keluarga di Rawang. Jadi, pergerakan saya masih dipantau ibu bapa. Sementelah rakan seusia juga ramai yang masih belajar. Jadi masa untuk saya ‘enjoy’ tidak banyak,” katanya.
Pernah terpalit kontroversi kononnya ada menjalinkan hubungan cinta dengan rakan seangkatan, Ariff Bahran, Sarah akui kini semakin berhati-hati dalam soal berkawan.
Dia enggan lagi terpalit kontroversi membabitkan kisah cinta, apatah lagi hubungan berkenaan tidak pernah wujud.
“Ariff ialah rakan saya. Kami dalam label yang sama. Apabila ada gosip bercinta, saya hanya gelak. Namun, penat untuk saya jawab.
“Apatah lagi perkara berkaitan hubungan antara lelaki dan wanita, tidak manis untuk saya ulas,” jelasnya.
Sarah bagaimanapun mengakui gelaran sebagai selebriti yang disandang mengikatnya dirinya untuk tidak boleh lari daripada terpalit kontroversi.
Sedari awal, kontroversi adalah lumrah dalam liga seni, dia sentiasa bersedia.
“Sejak awal memulakan kerjaya, saya telah bersedia dari segi mental dan fizikal. Saya sedar bukan mudah untuk berdepan dengan kontroversi.
“Saya mengambil pendekatan untuk berterus-terang sekiranya kontroversi tersebut memerlukan saya bersuara. Jika tidak, saya hanya diamkan diri,” katanya.
Rencana kerjaya
Menutup selingan kisah peribadi, Sarah teruja untuk berkongsi naskhah terbaharunya yang menerima sentuhan daripada Mike Chan dan Faizal Tahir bertajuk Rise and Fall.
Bercerita mengenai detik menerima lagu tersebut, Sarah seperti tidak percaya apabila Faizal Tahir menawarkan lagu berkenaan kepadanya.
“Saya rasa mana-mana artis pasti mengimpikan sentuhan Faizal Tahir. Saya juga pernah berangan-angan untuk mendapatkan lagu daripadanya.
“Tidak pernah saya sangka peluang itu datang secepat ini,” luahnya jujur.
Tambah Sarah, momen merakamkan lagu tersebut di studio antara pengalaman yang tidak akan dilupakan.
Bekerjasama dengan individu yang bergelar genius dalam muzik, Faizal ternyata tidak lokek ilmu.
“Dia mahu saya selesa menyampaikan lagu ini. Dia juga sering bertanyakan idea untuk menambah baik lagu Rise and Fall sedangkan jauh dalam hati saya, lagu tersebut telah sempurna,” ulasnya.
Kali terakhir meluncurkan single berentak rancak bersadur elemen muzik K-Pop bertajuk Nyawa dan Raga, Rise and Fall pula mempertaruhkan elemen pop balada.
“Lagu ini boleh dihayati semua golongan. Rise and Fall adalah lagu mengenai semangat,” ujarnya.
Tika Rise and Fall sedang rancak memanjat carta radio tempatan, Sarah tidak sekadar berdiam, sebalik sedang mengusahakan satu lagi buah tangan baharu.
Bakal menyampaikan lagu sentuhan Sharon Paul dan Shah Shamshiri, lagu tersebut disifatkan mencabar vokalnya.
“Saya tidak boleh berkongsi banyak mengenai projek terbaharu ini. Lagu ini sememangnya lain daripada yang pernah dipersembahkan sebelum ini.
“Lagu ini kelak berentak balada. Ini kali pertama saya sampaikan lagu sedemikian,” katanya menutup bicara.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://artismeletop.blogspot.com/2019/07/korban-sarah-suhairi-demi-seni.html