Kontrak Md Nor 3 Tahun Lagi Kenapa Tergesa Gesa Tinggalkan Tabung Haji
agendaily.com17/10/2021
Tabung Haji pada Khamis mengumumkan peletakan jawatan Tan Sri Md Nor Yusof sebagai Pengerusinya berkuat kuasa pada hari sama.
Berbaki tiga tahun lagi untuk berkhidmat sebagai Pengerusi Tabung Haji (TH), tiba-tiba kelmarin TH mengumumkan Tan Sri Md Nor Yusof telah melepaskan jawatannya serta-merta, sedangkan tempoh kontraknya belum tamat.
Adakah Md Nor ‘dipaksa’ meletak jawatan untuk memberi laluan kepada ahli politik? Adakah kontrak perkhidmatannya ditamatkan? Atau untuk mengelak ‘pemecatan’ beliau dinasihat meletak jawatan?
Semuanya mencetuskan persoalan kerana tidak semena-mena, tanpa ‘angin bertiup’ tokoh korporat itu membuatkan tumpuan massa kini beralih ke institusi kewangan terbesar umat Islam.
Namun, semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata peletakan jawatan itu tiada kaitan dengan isu politik.
Benarkan demikian halnya? Tiada tekanan politik, tiada ‘tangan-tangan ghaib’ yang telah membuka mata seluas-luasnya melihat kerusi Pengerusi TH itu setelah kerajaan Malaysia kini diterajui orang UMNO?
Ahmad Marzuk tidak boleh menjadikan alasan jika hendak ditukar Pengerusi TH itu sudah pun dilakukan apabila Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah, kerana Md Nor dilantik ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu tidak boleh menyamakan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Bersatu dan PN, dengan pentadbiran Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sekarang.
Untuk rekod, Md Nor dilantik sebagai Pengerusi TH sebaik PH menyingkirkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan kerajaan diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang turut bertanggungjawab ke atas TH.
Setelah PH tumbang tahun lalu, PN menjadi kerajaan dengan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, yang turut mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen UMNO.
Muhyiddin mengekalkan Md Nor di kerusi Pengerusi TH, walaupun – Agenda Daily difahamkan – ‘tangan ghaib’ dari UMNO berterusan mendesak beliau menggantikan Md Nor dengan orang lain, khususnya pemimpin UMNO.
Malah, usaha melobi supaya Muhyiddin melantik individu tertentu menjadi Pengerusi TH turut melibat ‘mak bapak’ mereka, namun Muhyiddin dengan lembut menolaknya, dan terus mengekalkan Md Nor, yang sememangnya tidak terlibat dengan politik.
Md Nor, 74, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan daripada Universiti Otago, New Zealand, dilantik sebagai Pengerusi TH pada 10 Julai 2018, menggantikan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
Untuk rekod juga, Azeez menjadi Pengerusi TH berkuat kuasa 1 Julai 2013, menggantikan Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor yang berkhidmat sejak Ogos 2007. Abi Musa sebelum itu adalah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Pelantikan Azeez ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri mencetuskan kontroversi, khususnya berhubung tahap pendidikan dan kelulusan beliau, yang diizinkan untuk menjaga berbilion-bilion wang umat Islam Malaysia.
Namun, atas kapasitinya sebagai pemimpin kanan politik, apa lagi rapat dengan Najib, Azeez kekal sebagai Pengerusi TH sehinggalah UMNO/BN kalah pada PRU14 lalu.
Tidak sampai dua bulan, menyusul peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan digantikan oleh Ismail Sabri pada 21 Ogos lalu, kini syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terbesar umat Islam pula, kembali menjadi perhatian.
Peletakan jawatan Md Nor yang dibuat tanpa ada ‘angin yang bertiup’ dilihat sebagai tergesa-gesa, menyusul keputusan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi TH.
Penubuhan RCI mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) diumumkan Ismail Sabri ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri bertujuan membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadap perkara berbangkit dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan TH.
TH dalam pengumuman peletakan jawatan itu semalam memaklumkan sepanjang menjadi Pengerusi TH, Md Nor memacu usaha penyusunan semula, memperkukuhkan tadbir urus serta kedudukan kewangan agensi itu sebagai organisasi Islam bertanggungjawab menguruskan simpanan umat Islam untuk melaksanakan rukun Islam yang kelima.
“Jumlah deposit pada 30 Jun lalu ialah RM81.14 bilion, tertinggi sejak TH ditubuhkan 58 tahun lalu. Ini mencerminkan tahap kepercayaan dan keyakinan lebih tinggi pendeposit,” kata TH.
Namun, kita percaya bukan sahaja Md Nor yang bertanggungjawab terhadap kejayaan TH sepanjang tempoh beliau memegang jawatan itu, sebaliknya semua pengurusan TH juga terlibat.
Cuma yang menjadi persoalannya ialah jika sudah melihat kejayaan yang diusahakan beliau – apa lagi beliau berkelulusan dalam bidang berkaitan perdagangan – kenapa harus ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang cemburu dan berhajat sangat kepada kerusi Pengerusi TH itu.
Atau apakah benar Md Nor tidak selesa dengan sikap kerajaan hari ini yang tidak memberi pengiktirafan kepada usaha pemulihan TH, sebaliknya mengikut telunjuk UMNO menubuhkan RCI bagi mencari kesalahan pihak tertentu.
Apa-apa jua yang hendak dicari oleh RCI itu, Perdana Menteri perlu membuktikan beliau tidak mengikut telunjuk pihak tertentu, terutama UMNO, dalam memilih Pengerusi Lembaga Pengarah TH.
Tidak sewajarnya pemimpin politik sama ada daripada UMNO, PAS, atau Bersatu – walaupun memiliki ijazah dalam bidang ekonomi, kewangan atau perbankan, atau yang ada PhD bidang apa pun – menjadi pengerusi TH.
Jawatan itu mestilah diisi oleh tokoh korporat yang berkelulusan dan difikirkan layak, kerana Lembaga Pengarah TH merupakan kuasa tertinggi dalam agensi itu yang berhak membuat sebarang keputusan, termasuk diberi kuasa mentadbir berbilion-bilion wang umat Islam
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2021/10/kontrak-md-nor-3-tahun-lagi-kenapa.html