Kongres Maruah Melayu Manifestasi Kegagalan Mahathir Ezam
MALAYSIAKINI
      Bekas Ketua Pemuda PKR, Mohamad Ezam Mohd Nor meminta para pemimpin,  khususnya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk berhenti menjadi  munafik dan hipokrit.
Katanya, “selepas lebih 50 tahun merdeka”  dengan negara sepanjang masa dipimpin oleh orang Melayu tetapi terpaksa  menganjurkan sebuah kongres yang “memalukan” untuk mempertahankan maruah  orang Melayu.
Sepanjang masa itu, Ezam berkata, pemimpin Melayu  yang berkuasa hanya menjaga “anak bini dan kroni”, sedangkan bangsa  Melayu “di bawah pentas” dan “di luar dewan” ramai yang melarat dan  sengsara kehidupannya, termasuk juga rakyat dari bangsa-bangsa lain.
“Buktinya  jelas. Lihatlah yang di atas pentas kongres itu nanti majoritinya  jutawan, anak-anaknya jutawan, rumah dan kereta paling besar dan mewah  di kota-kota besar dunia semuanya ada di atas pentas itu.
Mohamad Ezam Mohd Nor“..  Maka berhentilah jadi munafik dan hipokrit wahai pemimpin-pemimpin  negara. Khusus buat Tun Dr Mahathir Mohamad yang Allah telah beri kuasa  paling panjang dan lama, berhentilah.
“Tun telah gagal. Kongres ini adalah manisfestasi sebuah kegagalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kongres  yang dijadual berlangsung 6 Oktober di Shah Alam itu dianjurkan oleh  Pusat Kecemerlangan Melayu Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya  dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra  Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Selain  Dr Mahathir yang mengesahkan kehadirannya dan akan menyampaikan  “amanatnya”, turut sedia berada di pentas yang sama adalah Presiden PAS,  Abdul Hadi Awang.

Ezam turut menggesa Dr Mahathir untuk melakukan “pembetulan” dalam negara ini, atau sekurang-kurangnya mengambil dua tindakan.
Pertama,  membuang menteri-menteri yang mempunyai perangai sibuk mengumpul harta  buat anak-pinak dan kroni. Kedua, pula, katanya, adalah untuk membuang  menteri yang terang-terang melakuan perbuatan tidak bermaruah, ditayang  di seluruh dunia, namun terus menjadi menteri kerana dilindungi perdana  menteri.
Namun, kata Ezam, dia yakin Dr Mahathir tidak akan  melakukan pembetulan tersebut, kerana katanya, kongres itu sebenarnya  bukanlah untuk bangsa Melayu.
“Menjijikkan. Memang tepat namanya  kongres maruah tetapi bukan maruah Melayu, maruah pemimpin-pemimpin  Melayu yang sudah hilang maruah. 
“Nama yang betul dan sewajarnya ialah Kongres Maruah Pemimpin Melayu,” katanya lagi.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/10/kongres-maruah-melayu-manifestasi.html