Kongres Amk Dicemari Pergaduhan
YASMIN RAMLAN, SYAWAN AMIN  NAIMULLAH JAYA   
Kongres Nasional Tahunan Pemuda PKR (AMK) di Melaka hari ini dicemari  dengan pergaduhan antara perwakilan parti yang hadir dengan pemuda  berbaju hitam yang dikatakan hadir sebagai "pemerhati".
Situasi tegang timbul sejak pukul lapan pagi lagi di hadapan pintu masuk dewan.
Beberapa  perwakilan mendakwa tidak dibenarkan masuk sedangkan pemuda berbaju  hitam yang tidak memiliki pas dikatakan dibenarkan masuk.
Sekitar  tengah hari, pergaduhan tercetus sekali lagi di dalam bangunan MITC,  tempat kongres berlangsung, sebelum melarat ke luar dewan.
Seorang  anggota PKR berbaju seragam parti berwarna biru muda dilihat berdarah  di hidung. Ada yang mendakwa kecederaan itu akibat ditumbuk, sementara  dakwaan lain berkata ia akibat batu yang dilempar

Untuk  rekod, dalam perhimpunan sesebuah parti, perwakilan perlu membawa pas  kerana mereka akan terlibat dengan atur acara rasmi seperti pengundian  sesuatu usul.
Sementara pemerhati, biasanya tidak perlu membawa pas kerana sekadar hadir untuk memerhati.
Beberapa pemuda berbaju hitam yang ditemu bual Malaysiakini tidak jelas dengan tujuan mereka menyertai perhimpunan berkenaan
Salah seorang daripada mereka memaklumkan bahawa mereka datang dengan bas. 
Ditanya tentang tujuan kehadirannya, Danial Iskandar, 21, sekadar berkata bahawa dia dimaklumkan ada program 'reformasi'
Danial juga percaya dia akan dibayar selepas kongres tiga hari itu selesai

Ketua  AMK, Akmal Nasir yang bercakap pada sidang akhbar ketika pergaduhan itu  terjadi berkata dia akan meneliti perkara itu dan tindakan akan diambil  tanpa mengambil kira kem yang terlibat.
Ketua polis Melaka Mat Kasim Karim memberitahu Malaysiakini bahawa  mereka mempunyai pegawai di sekitar kawasan itu, termasuk pasukan  antirusuhan yang ditempatkan di sebuah balai polis berhampiran.
Selepas solat Jumaat, pasukan antirusuhan berkenaan dilihat di kawasan berhampiran MITC.
"Kami ada pegawai termasuk yang tidak berpakaian seragam memantau keadaan," katanya.
Polis  juga memaklumkan bahawa jawatankuasa penganjur kongres telah bersetuju  sebelum ini untuk bertanggungjawab berhubung keselamatan di dalam tempat  kongres berlangsung.
*Laporan tambahan oleh Annabelle Lee dan Hariz Mohd
 LIHAT VIDEO DI SINI 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/12/kongres-amk-dicemari-pergaduhan.html