Kluster Sivagangga Cetuskan Panik Di Kedah
Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID 

 DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAHPUTRAJAYA: Pengesanan kontak rapat secara aktif membabitkan kluster  pesakit bawah siasatan (PUI) Sivagangga giat dilaksanakan di  pejabat-pejabat kesihatan daerah (PKD) untuk mencegah penularan Covid-19  di Kedah yang didapati semakin meningkat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata,  kementerian turut menjalankan aktiviti pembersihan dan nyah kuman di  semua premis termasuklah sekolah yang terlibat dan rumah-rumah kes yang  dikesan positif.
“Sebanyak 313 orang telah disaring sehingga pukul 12 tengah hari ini.  Daripada jumlah itu, 20 kes dikesan positif, 280 negatif dan 13 kes  masih menunggu keputusan ujian.
“Daripada 20 kes yang dikesan positif, kesemua kes adalah aktif.  Tiada kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kematian  dilaporkan,” katanya dalam laporan harian perkembangan terkini Covid-19  di sini hari ini.
Kluster Sivagangga menular akibat jangkitan import selepas seorang  pemilik kedai nasi kandar di Napoh yang juga pemastautin tetap pulang ke  Malaysia dari India pada 13 Julai lalu.
Dia dilaporkan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan  Kementerian Kesihatan dengan tidak menjalani kuarantin di rumah  sebaliknya ke premis perniagaan berkenaan sebelum penularan jangkitan di  kawasan itu berlaku.
Tambah Noor Hisham, daripada kes positif yang dilaporkan, sebanyak  15 kes adalah warganegara Malaysia dan lima kes adalah bukan  warganegara.
“Sebanyak 11 kes positif dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan.
“Sebanyak lapan kes merupakan kontak rapat kepada kes positif  ke-8,975 iaitu termasuk juga satu kes pelajar sekolah berumur tujuh  tahun sementara kes-8,975 merupakan kes generasi pertama,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata Noor Hisham, sebanyak tiga kes merupakan kontak  rapat kepada kes positif ke-8,976 yang merupakan kes generasi pertama  iaitu termasuk juga satu kes pelajar sekolah berumur 10 tahun.
“Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan menerima rawatan,” ujarnya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/08/kluster-sivagangga-cetuskan-panik-di.html