Kl Alternative Bookfest 2021 Acara Yang Mesti Dihadiri Edisi Ke 12 Ini Diadakan Selari Dengan Klwbc 2020
Persatuan Patriots Malaysia (The Patriots), dengan kerjasama Kuala Lumpur World Book Capital (KLWBC) dan Buku FIXI akan menganjurkan Kuala Lumpur Alternatif Bookfest (KLAB) kali ke-12 pada 9–11 April 2021. Acara 3 hari ini akan berlangsung di Tingkat 4, Selera Street, Sunway Putra Mall.
Kuala Lumpur Alternative Bookfest merupakan pameran buku fizikal yang diadakan di Kuala Lumpur sejak tahun 2008 yang menampilkan wajah-wajah terkenal dalam industri penerbitan indie Malaysia. Penggerak utama di sebalik KLAB sejak penubuhannya ialah Encik Amir Muhammad, Ketua Pengarah Eksekutif Buku FIXI.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur KLAB 2021, Encik Syazrul Aqram berkata, “Kuala Lumpur Alternatif Bookfest menyokong penerbit buku kecil dan sederhana di Malaysia. Pesta buku ini ialah usaha untuk meningkatkan produktiviti industri buku negara. Oleh sebab pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan COVID-19, acara tahun ini akan diadakan pada skala yang lebih kecil. Walau apa pun, kami sepenuhnya berusaha untuk mengumpulkan para penerbit, penulis serta pembaca tempatan di satu tempat.”
“KLAB juga bertujuan untuk menarik para peminat buku di sekitar Lembah Klang untuk mendapatkan bahan bacaan secara langsung. Memandangkan tidak terdapat Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur fizikal diadakan sejak tahun lalu, KLAB 2021 ialah satu acara yang tidak boleh dilepaskan. Selain meningkatkan aktiviti ekonomi tempatan sambil mengikuti Prosedur Operasi Piawai (SOP), pengunjung juga dapat melihat buku-buku baharu, jarang ditemui serta edisi terhad. Sejumlah 19 penerbit akan terlibat dalam KLAB 2021, antaranya ialah Patriots Publishing, Fixi, Iman Publication, PTS dan Karangkraf. Penerbit-penerbit mandiri juga dijemput untuk turut sama menjayakan acara ini,” tambahnya.
Penyelaras KLAB 2021, Encik Nadzri Ali Udin berkata, “Kemudahan di lokasi acara ini merangkumi stesen LRT dan KTM yang berdekatan, tempat parkir kereta, medan selera, tandas serta ruang solat. Kami juga akan memastikan bahawa semua pengunjung dan peserta pameran mematuhi SOP dengan ketat. Pengimbas suhu dan pembersih tangan akan ditempatkan di beberapa stesen selain pegawai medik yang akan bertugas. Mendaftar melalui Kod QR MySejahtera, mengimbas suhu badan dan memakai topeng adalah wajib bagi semua orang sebelum memasuki premis acara.”
“Sebagai langkah pencegahan tambahan, kami juga akan menetapkan garis penghadang dan penunjuk arah yang jelas untuk memudahkan urusan keluar masuk para pengunjung dan pempamer. Kaunter pembayaran berpusat tidak akan disediakan bagi mengelakkan kesesakan. Pembayaran boleh dilakukan secara terus di kaunter setiap meja pempamer. Bersama-sama, mari kita menjadikan acara ini selamat, menyeronokkan dan tidak dapat dilupakan,” beliau menambah.
Acara ini akan dirasmikan oleh Tuan Haji Anuar Mohd Zain selaku Ketua Sekretariat KLWBC 2020. Beberapa forum berkaitan buku juga akan diadakan dengan barisan panel seperti Dr Maszlee Malik, Ayman Rashdan Wong, Zamir Mohyeddin dan ramai lagi.
Sekretariat KLWBC dengan slogan “KL Baca – caring through reading” bertindak sebagai penaja bagi acara ini untuk merangsang aktiviti perbukuan sepanjang tempoh berlangsungnya Festival KLWBC 2020 yang bermula pada 18 April 2020 hingga 22 April 2021. Kuala Lumpur telah dinobatkan sebagai World Book Capital bagi tahun 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.suriaamanda.com/2021/04/kl-alternative-bookfest-2021-acara-yang.html