Kesilapan Yang Biasa Dilakukan Oleh Pengusaha Bisnes Kedai Runcit
Dari perspektif orang luar, mengurus dan menjalankan bisnes kedai runcit itu nampaknya mudah sahaja.
Ini salah satu bisnes yang cukup senang untuk dilakukan!
Pelanggan akan datang sendiri ke kedai untuk mendapatkan barangan keperluan setiap hari tanpa perlu pemiliknya bersusah-payah untuk buat kerja-kerja pemasaran, pengiklanan dan sebagainya.
Dalam bisnes ini, pelanggan yang akan datang cari kita, bukan kita yang cari pelanggan. Buka sahaja pintu kedai, maka berduyun-duyunlah pelanggan akan datang untuk membeli barangan yang diperlukan.
“Mungkin itulah yang berada dalam fikiran orang luar yang belum pernah ada pengalaman menguruskan bisnes kedai runcit.”
Realitinya, bisnes kedai runcit ini tidaklah semudah yang disangkakan. Kalau anda rajin buat pemerhatian, sebenarnya kat luar sana ada banyak juga kedai runcit yang agak sunyi dan kurang pelanggan. Mereka memilih untuk berbelanja ditempat lain, dan bukannya di kedai runcit berhampiran mereka.
Kalau bagi orang yang berpengalaman memulakan sebarang bisnes sebelum ini, biasa membaca buku-buku berkaitan dengan perniagaan, semua pengetahuan itu sangat membantu dalam menjalankan bisnes kedai runcit.
Tapi bagi orang yang belum pernah ada pengalaman, bisnes ini boleh memberikan satu cabaran yang agak besar.
Perniagaan secara runcit ini memerlukan pemiliknya untuk bekerja keras, rajin, berdedikasi, berdisiplin, berstrategi dan peka terhadap sebarang perubahan yang berlaku pada perniagaan yang dijalankan.
Rasanya tak salah kalau saya katakan, mereka yang sudah berpengalaman dalam bisnes ini, juga ada kebarangkalian untuk melakukan beberapa kesilapan yang boleh menjejaskan kedudukan kewangan dan membantutkan pertumbuhan perniagaan mereka.
Perbincangan kali ini, saya ingin menyentuh beberapa contoh kesilapan yang biasa dilakukan oleh pemilik dan pengusaha bisnes secara runcit ini.
Penting ke untuk tahu tentang kesilapan yang biasa dilakukan oleh pengusaha bisnes runcit ini?
Mestilah penting.
Setidak-tidaknya, bila anda tahu apa kesilapan yang sering dilakukan, atau yang biasa terjadi, anda boleh uruskan bisnes anda dengan lebih berhati-hati, dan dapat mengelakkan diri anda daripada mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh usahawan lain.
Baiklah, tanpa membuang lebih banyak masa, mari kita mulakan perbincangan kita.
(1) Tidak mempunyai business plan
Nama lain bagi business plan ini adalah kertas rancangan perniagaan.
Walaupun pada namanya terdapat perkataan “kertas” namun ia boleh wujud dalam bentuk digital sahaja.
Bisnes yang memiliki pelan perniagaan menunjukkan yang mereka memang serius dengan perniagaan yang dijalankan.
Kertas rancangan perniagaan memuatkan maklumat berguna (dan mungkin agak sensitif) seperti
1. Strategi dan operasi perniagaan
2. Hala tuju perniagaan
3. Kedudukan kewangan syarikat
4. Unjuran pendapatan yang bakal diperolehi
Oleh kerana kertas rancangan perniagaan ini mengandungi maklumat yang agak sensitif, jadi ianya agak jarang dikongsikan untuk tatapan umum. Hanya orang tertentu sahaja yang boleh mendapat akses untuk membaca dan meneliti kertas rancangan perniagaan milik bisnes tertentu.
Lazimnya ada dua golongan yang akan menjadi pengguna dan berminat untuk melihat business plan.
Pertama, pemilik bisnes dan juga pasukan pengurusan.
Dari masa ke masa, mereka perlu merujuk kepada business plan, bagi memastikan mereka sentiasa berada di landasan yang betul dalam menguruskan perniagaan mereka.
Kedua, pihak pelabur dan juga mereka yang ingin memberi pinjaman atau pembiayaan kewangan.
Mereka ingin mengetahui sama ada perniagaan yang anda mulakan ini mampu untuk berdaya saing dan mampan (sustainability) untuk jangka masa panjang.
Sebabnya keupayaan anda untuk membayar balik pinjaman wang atau memberi dividen, semua itu bergantung kepada kekuatan perniagaan yang anda jalankan.
Jadi, perniagaan anda sudah mempunyai pelan perniagaan atau belum?
Kalau masih belum, boleh baca posting saya sebelum ini mengenai cara-cara untuk menghasilkan kertas rancangan perniagaan.
(2) Tidak mempunyai modal yang mencukupi
Bila bercakap soal modal perniagaan, sebenarnya ada beberapa pandangan yang kerap digunakan oleh para usahawan.
Pertama, anda sediakan modal yang mencukupi kemudian barulah mula menjalankan perniagaan tersebut.
Kedua, mulakan perniagaan dengan apa yang ada dalam tangan. Kita bermula dari bawah dan cuba majukan perniagaan secara perlahan-lahan.
Ketiga, jangan mulakan bisnes ini, selagi mana modal dalam tangan masih belum mencukupi.
Kita bukan nak kritik mana-mana pandangan, cuma pada pendapat saya, bisnes ini lebih baik dimulakan hanya setelah anda benar-benar mempunyai modal yang diperlukan.
Persoalannya, berapakah modal yang diperlukan untuk memulakan bisnes kedai runcit ini?
Baca juga: Berapa modal yang diperlukan untuk memulakan bisnes kedai runcit
Jawapan bagi persoalan berapa banyak modal yang perlu disediakan ini, sebenarnya memang tak akan sama antara setiap bisnes dan ada banyak perkara yang mempengaruhi berapa jumlah modal yang diperlukan bagi tujuan memulakan perniagaan ini.
Kalau anda mencari jawapan yang berbentuk satu nilai yang spesifik, mengenai berapa jumlah modal yang diperlukan untuk memulakan bisnes ini, anda mungkin akan kecewa kerana jawapan tersebut adalah berbeza-beza.
Sesetengah bakal usahawan terlalu fokus pada aspek inventori atau stok barangan jualan dan juga infrastruktur.
Sedangkan pada masa yang sama terdapat perbelanjaan lain yang sangat penting dan turut memerlukan modal yang perlu diambil kira, iaitu
Sewa premis perniagaan
1. Gaji pekerja
2. Bil utiliti
3. Kos pemasaran
4. Kos penggunaan sistem
5. Insurans
6. Sistem keselamatan
7. Lesen berkaitan perniagaan
Mari kita buat ramalan, apa yang akan berlaku sekiranya seseorang usahawan itu memulakan bisnes sedangkan dia tidak mempunyai modal yang mencukupi.
Pertama dari aspek inventori atau pengurusan stok.
Anda akan ada masalah untuk mempelbagaikan stok barangan untuk dijual di kedai anda.
Anda juga akan ada masalah untuk beli stok produk secara pukal, dan menikmati margin untung yang lebih besar.
Kedua dari sudut premis perniagaan
Kos untuk menyewa dikawasan yang strategik umumnya adalah lebih tinggi.
Justeru, anda mungkin perlu memilih lokasi yang berbeza yang mana anda mampu untuk menanggung kos sewa disitu.
Ketiga adalah dari aspek pekerja.
Bisnes kedai runcit anda belum layak dikatakan sebagai sebuah bisnes, selagi mana anda masih perlu terlibat secara aktif dalam urusan harian.
Lazimnya, bisnes yang ada isu dengan modal, tak akan mampu untuk membayar gaji pekerja.
Kalau tak mampu bayar gaji pekerja, siapa yang nak uruskan bisnes?
Diri sendiri, atau isteri, atau kadang-kadang anak yang bantu?
Sebenarnya ini bukan konsep bisnes yang betul. Sebaliknya ia lebih mirip kepada konsep kita bekerja sendiri.
Dalam keadaan ini, kita bekerja untuk perniagaan kita sendiri.
Konsep bisnes yang betul adalah apabila anda mempunyai sistem bisnes yang teratur dan ia dapat bergerak sendiri walaupun tanpa penglibatan anda secara aktif.
Anda mempunyai pekerja yang boleh menguruskan urusan harian perniagaan anda. Walaupun anda tak terlibat secara aktif dalam urusan harian, bisnes masih dapat berjalan dengan lancar.
(3) Tak jelas dengan pelanggan sasaran
Memahami dengan jelas kelompok pelanggan yang disasarkan adalah satu perkara yang sangat penting.
Katakanlah, jika kedai anda berdekatan dengan sekolah, dan mudah dikunjungi oleh pelajar sekolah, maka anda mungkin akan sasarkan mereka.
Namun begitu, bisnes yang mensasarkan pelajar sekolah terpaksa berdepan dengan situasi yang mungkin tak begitu memberi kelebihan kepada anda.
Antaranya adalah
(1) Kedai jadi lengang ketika cuti hujung minggu dan cuti sekolah
Ini disebabkan kebanyakkan pelajar tinggal agak jauh dari sekolah. Jika mereka perlu pergi ke kedai, mereka akan pilih untuk ke kedai yang paling dekat dengan kawasan kediaman mereka.
Pelajar yang datang ke sekolah menaiki bas sekolah, datang dengan penjaga, juga biasanya tak akan menjadi pelanggan untuk berbelanja dikedai ini.
(2) Kedai tiada atau kurang pelanggan ketika sesi pembelajaran sedang berjalan.
Kalau hari-hari biasa pun keadaannya agak lengang dan kurang pelanggan. Ini situasi yang agak normal bagi mereka yang mensasarkan pelanggan kategori pelajar sebagai pelanggan utama.
(3) Pelajar sekolah tak mempunyai kuasa beli yang tinggi
Lazimnya golongan pelajar ini tak mempunyai sumber pendapatan sendiri. Mereka hanya bergantung kepada duit belanja yang dibekalkan oleh keluarga.
(4) Margin keuntungan terpaksa letak rendah
Dari segi penetapan harga, ia perlu mengambil kira tahap kemampuan golongan yang anda sasarkan. Oleh kerana golongan pelajar ini tak mempunyai pendapatan sendiri, tak ada kuasa beli yang besar, maka kita tak dapat nak letakkan harga yang agak tinggi. Jika harga agak tinggi, tak ramai pelajar yang mampu untuk membeli di kedai milik anda.
(5) Fokus jual dalam kuantiti yang besar
Kalau tak dapat jual dengan harga yang agak mahal, apa yang perlu dilakukan bagi mendapatkan lebih banyak keuntungan?
Jawapannya ialah, jual dalam kuantiti yang banyak. Letak harga yang sedikit rendah tapi kita sasarkan untuk dapatkan lebih banyak jualan.
Kalau dalam konteks mensasarkan pelanggan ini, apa yang pengusaha bisnes kedai runcit patut lakukan?
Adakah mensasarkan satu golongan tertentu, atau patut target satu kelompok pelanggan yang lebih besar?
Kalau nak puaskan hati semua kelompok pelanggan ia bukanlah satu perkara yang mudah. Pada masa yang sama, ia juga memerlukan modal yang besar untuk berbuat demikian.
Atas sebab itu jugalah, biasanya pengusaha perniagaan runcit ini akan fokus kepada satu kelompok pelanggan yang ada keperluan tertentu sahaja.
Nak buat bisnes kedai runcit, tapi nak fokus kepada barangan yang macam mana? Sebagai contoh mungkin
1. Barangan keperluan dapur
2. Barangan untuk haiwan kesayangan (pet shop)
3. Bisnes alat tulis dan kelengkapan pejabat
4. Barangan kosmetik
Kalau anda mensasarkan untuk menjual segala jenis barangan dibawah satu bumbung, ia dah hampir menyamai konsep bisnes pasaraya besar. Jika anda mempunyai kekuatan modal sedemikian besar, silakan.
Dalam skop perbincangan disini, saya berikan contoh sekiranya anda ingin mensasarkan pelanggan kategori pelajar.
Apa kata selepas ini anda buat analisa, untuk pelanggan dari kategori yang berbeza pula.
(4) Persaingan antara kedai
Kewujudan persaingan dalam perniagaan ini merupakan perkara yang memang lumrah.
Ini merupakan perkara yang perlu diberi perhatian kerana jika persaingan terlalu tinggi, akan membuatkan perniagaan anda sukar untuk menarik pelanggan datang berbelanja dikedai anda.
Tak kanlah anda nak gunakan strategi buang harga, semata-mata untuk dapatkan pelanggan?
Kalau nak buat macam tu sampai bila agaknya perniagaan anda dapat bertahan.
Adakah kewujudan persaingan ini buruk untuk perniagaan anda?
Sebenarnya tak semestinya begitu.
Kewujudan persaingan yang sihat sebenarnya boleh memberi manfaat kepada banyak pihak. Dari golongan peniaga termasuklah kepada pengguna. Apa yang kita cuba elakkan adalah persaingan yang terlalu sengit.
Kalau dari sudut pandang pelanggan, lokasi yang ada banyak peniaga akan menjadi lokasi tumpuan kerana disitu terdapat banyak pilihan.
Selain daripada itu, lokasi yang telah wujud perniagaan lain disitu, kita boleh katakan yang peniaga sebelum ini pernah buat kerja pemasaran disitu, dan mereka sudah ada pelanggan tetap mereka sendiri.
Kita boleh manfaatkan kesemua usaha yang pernah dilakukan oleh peniaga sebelum ini dan seterusnya kita mulakan bisnes kita disitu dengan tujuan memberi alternatif kepada pelanggan sedia ada yang sudah biasa dengan aktiviti perniagaan dikawasan tersebut.
(5) Tak jelas dengan produk sendiri
Apa beza antara pes asam pedas jenama Ayam Brand dengan pes asam pedas Mak Nyonya?
Kalau tanya apa persamaan, kita boleh jawab dengan mudah, iaitu kedua-duanya adalah sejenis pes atau perencah untuk memudahkan pengguna menyediakan sajian asam pedas.
Atau dalam kata lain, kedua-dua ini merupakan benda yang sama.
Tapi yang membezakannya adalah dari segi rasanya. Ada orang lebih suka rasa jenama Ayam Brand, dan ada orang lebih suka rasa jenama Mak Nyonya.
Kalau anda pernah cuba rasa, pasti tahu apa bezanya.
Begitu juga dengan lain-lain produk seperti sardin dalam tin, susu pekat, santan kotak dan sebagainya.
Kalau ikut pada kelaziman, kerja-kerja shopping barangan dapur dan keperluan memasak ni akan dilakukan oleh orang perempuan. Tapi, ada masa-masa tertentu, orang lelaki kena ambil alih kerja tersebut.
Bila kita shopping dekat kedai yang pembantu kedai, atau pemilik kedai serba tahu, itu memang sangat menyeronokkan dan memudahkan. Tapi kalau setiap soalan yang ditanya, akan dijawab dengan
“saya pun tak pasti…”
“saya pun tak pernah guna… selama ni cuma jual je…”
Jawapan seperti itu sangat tak membantu.
Pada peringkat ini, anda wajar menjenamakan perniagaan anda dan memperkenalkan keunikkan bisnes anda.
Saya beri contoh kedai runcit pilihan mesra geng abah.
Apa logiknya?
Golongan bapa yang memilih untuk berbelanja disitu akan sentiasa dibantu dan pasti tak akan tersilap beli barang.
Itu sekadar contoh.
Kalau anda ada idea yang lagi hebat, gunakanlah idea anda tu.
(6) Aspek perundangan dalam perniagaan
Negara kita ini ada undang-undangnya. Setiap orang wajib tahu dan ikuti undang-undang yang ditetapkan.
Sebaik-baiknya, sebelum nak mulakan perniagaan ini, kita ambil tahu dulu berkenaan dengan undang-undang yang berkaitan dengan perniagaan kita. Janganlah tunggu sampai dah kena kompaun atau saman, baru nak ambil tahu.
Waktu itu, ianya agak terlewat.
Pertama sekali, anda perlu daftarkan perniagaan anda di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Kemudian, bila dah mula berniaga tu, janganlah hanya fikir soal keuntungan semata-mata, sampaikan barangan terlarang pun anda nak jual juga.
Memanglah boleh buat untung, tapi kalau kena kompaun, semua tu jadi tak berbaloi tau.
(7) Pemasaran bisnes runcit
Pada pendapat anda, adakah aktiviti pemasaran penting untuk perniagaan runcit anda ataupun tidak?
Jawapannya sudah tentulah ianya sangat penting.
Aktiviti pemasaran inilah yang dapat membuatkan lebih ramai bakal pelanggan sedar dan tahu mengenai kewujudan perniagaan yang anda jalankan.
Sebaliknya, jika anda tak melakukan sebarang aktiviti pemasaran, besar kemungkinan pelanggan anda hanyalah terdiri daripada orang yang memang biasa menggunakan laluan yang berdekatan dengan premis perniagaan anda sahaja.
Bagaimana pula dengan mereka yang jarang atau tak pernah menggunakan laluan tersebut?
Besar kemungkinan mereka ini lambat atau mungkin tak akan tahu mengenai kewujudan perniagaan anda.
Justeru, apa kata anda lakukan langkah yang lebih proaktif dengan melakukan aktiviti pemasaran, supaya orang ramai boleh tahu mengenai kewujudan bisnes anda.
(8) Pengurusan sumber manusia
Perniagaan seperti kedai runcit ini, sebenarnya agak sukar untuk dijalankan secara bersendirian. Pada satu peringkat, anda akan memerlukan bantuan orang lain untuk menjalankan dan menguruskan perniagaan ini.
Kedai anda mungkin akan beroperasi setiap hari.
Adakah anda akan jaga kedai setiap hari? Kalau kerja dengan orang pun, anda perlu cuti at least seminggu sehari, dan ada masa-masa tertentu, anda perlu ambil cuti tahunan.
Kalau bukan ambil cuti tahunan, mungkin anda akan ambil cuti sakit.
Tapi masalahnya, kalau anda tak buka kedai, macam mana income nak masuk?
Pada masa tersebut, siapa yang akan uruskan bisnes anda?
Maka dalam keadaan ini, anda perlu mempunyai pekerja yang dapat menguruskan bisnes anda, semasa ketiadaan anda.
Mendapatkan pekerja yang bagus dan berkualiti ini sebenarnya bukanlah satu perkara yang mudah.
Kemudian, bila dah dapat pekerja yang bagus dan boleh buat kerja, nak pastikan dia akan bekerja dengan kita untuk tempoh yang lama juga satu perkara yang mencabar.
Maklumlah, sebagai pekerja ini, mereka akan ambil peluang apabila ditawarkan peluang kerja dengan bayaran yang lebih tinggi.
(9) Aspek teknologi bisnes
Perasan tak, pada hari ini pemilik bisnes kedai runcit tak hanya bergantung harap kepada pelanggan yang melangkah masuk ke kedainya semata-mata.
Bukan itu sahaja, malahan mereka juga sudah mula menjual barangan runcit miliknya kepada pelanggan yang berada beratus-ratus kilometer jauhnya. Semua ini dapat berlaku dengan adanya teknologi.
Pada hari ini, pemilik kedai dapat menjual barangan runcit secara online, sama ada melalui platform Shopee, Lazada, PG Mall dan sebagainya.
Lihat contoh peniaga yang menjual barangan runcit melalui platform shopee dibawah ini.
Dalam satu pakej, ada barang-barang seperti bawang besar, ubi kentang, mi segera, garam halus, kacang kuda, kacang parpu, barli, bihun, biskut dan kicap. Barang-barang ini boleh ditukar mengikut kehendak pembeli.
Pada waktu screenshot tersebut saya ambil, seller ini dah berjaya membuat jualan sebanyak 239 unit. Kalau nak tahu berapa banyak jualan yang terkini, boleh lihat disini.
Dengan cara ini, anda tak perlu hanya berharap pada pelanggan yang tinggal dalam kawasan anda berniaga sahaja.
Bagi mereka yang familiar dengan platform antarabangsa seperti ebay, mereka boleh gunakan platform tersebut untuk menjual dipasaran luar negara.
Ada juga yang jual melalui Grab.
Pelanggan boleh menggunakan apps ini bagi tujuan membuat pembelian. Anda tak perlu risau mengenai penghantaran produk, sebabnya akan ada rider yang akan datang untuk pick up order.
Kemudian bagi tujuan memudahkan urusan mengawal dan menyemak keluar masuk stok produk, digunakan sistem Point Of Sales (POS) yang bersesuaian dengan bisnes anda.
Berkenaan cara menerima bayaran juga semakin berkembang. Kalau dulu, hanya boleh terima bayaran dalam bentuk tunai sahaja.
Tapi hari ini pelanggan boleh buat bayaran sama ada menggunakan kad debit, kad kredit, ewallet ataupun QR code.
Jika anda tak peka dengan perkembangan teknologi semasa seperti ini, dan hanya bergantung kepada cara operasi secara tradisional, maka sampai bila-bila saiz dan bentuk perniagaan anda akan kekal seperti seadanya.
(10) Khidmat pelanggan
Khidmat pelanggan ini biasa dipanggil sebagai customer service dan ia merujuk kepada kualiti dan mutu layanan yang diberikan kepada pelanggan.
Saya tahu ada sesetengah orang yang tak begitu menitikberatkan aspek layanan yang baik dan mesra kepada pelanggan.
Kalau boleh mereka mahukan interaksi yang sangat minima dengan pelanggan.
Mereka mahu
i. Pelanggan masuk ke premis perniagaan.
ii. Pelanggan pergi ke setiap rak yang berkaitan dan pilih barang yang dia nak beli.
iii. Pelanggan bawa barang ke kaunter dan buat bayaran.
Tetapi hakikatnya situasi yang mungkin berlaku ialah
i. Pelanggan masuk ke kedai dan minta anda ambilkan barang-barang yang dia perlukan.
ii. Ada pelanggan yang ingin berbual kosong dengan anda.
iii. Silap hari bulan, ada pelanggan yang cuba tawar menawar atau minta hutang.
Kalau anda tak bersedia untuk berhadapan dengan situasi seumpama ini, mungkin akan ada dalam kalangan pelanggan anda yang akan melabel anda sebagai seorang yang sombong.
Kadang-kadang pelanggan ini memang pelik-pelik sikit perangainya. Kalau dia masuk pasaraya besar, boleh pula ambil sendiri barang-barang yang dia perlukan. Tapi bila masuk kedai runcit, tiba-tiba tak pandai nak ambil sendiri.
(11) Pengurusan stok
Perkara yang biasa berlaku sekiranya anda tak mempunyai sistem pengurusan stok yang berkesan ialah
1. Restock barangan yang sebenarnya masih banyak lagi.
Situasi yang ideal adalah apabila kita tahu dengan tepat, pada sekian sekian masa, berapa unit stok produk yang masih ada dalam stor. Jadi dengan informasi yang anda ada itu, anda boleh buat keputusan yang betul.
2. Tersilap order
Masalah tersilap order ini boleh berlaku terutama sekali apabila untuk produk yang sama ada pelbagai jenama.
3. Berlebihan order stok barang yang lambat habis
Bila ada banyak sangat barang yang kita jual, kadang kita tak perasan mana satu barangan yang cepat habis dan mana satu yang lambat habis. Setiap produk ada kitaran dia yang tersendiri.
4. Jual produk yang tak ada permintaan
Ada produk yang sebenarnya tiada atau kurang permintaan. Kita tertarik untuk jual produk tersebut mungkin sebab kita terpengaruh dengan kata-kata penjual yang tawarkan harga murah kepada kita.
Alasannya kita boleh dapat untung yang agak besar kalau berjaya jual semula di kedai kita nanti.
(12) Rantaian bekalan produk
Perkara ini sebenarnya berkaitan dengan cara kita berurusan dengan pihak yang menjadi pembekal bagi perniagaan kita.
Apabila kita ingin menjalankan perniagaan runcit, kita perlu tahu siapakah yang akan menjadi pembekal.
Kemudian, kita juga perlu ambil tahu, berapa lamakah masa yang diperlukan untuk anda menerima stok barangan jualan tersebut, setelah anda membuat tempahan.
Sudah tentu, kita mahukan stok barang jualan sampai sebelum kita kehabisan stok barang untuk dijual. Ini bagi mengelakkan kita alami kerugian apabila ada pelanggan yang nak beli barangan tertentu, tapi kita kehabisan stok.
(13) Strategi penetapan harga
Kalau harga dirasakan mahal, pelanggan akan elak untuk datang berbelanja.
Kalau harga murah pula, ia memberikan untung yang kecil dan mungkin akan menyebabkan anda sukar untuk berkembang atau memenuhi komitmen perniagaan.
Justeru, bagaimana cara untuk menetapkan harga untuk barang-barang yang dijual ini?
Ada beberapa kaedah yang anda boleh gunakan.
1. Strategi harga kompetitif
Dalam strategi ini kita akan mengambil kira harga yang ditawarkan oleh pesaing, dan kita akan tawarkan harga yang sama atau sedikit lebih rendah.
Matlamat kita adalah supaya pelanggan tak merasa rugi berbelanja di kedai kita.
Secara semula jadi pelanggan ini akan buat perbandingan harga. Kalau harga kedai kita agak tinggi, pelanggan akan memilih berbelanja ditempat yang lebih murah.
2. Strategi harga dinamik
Maksudnya ialah anda akan sentiasa mengubah harga produk yang anda jual, bergantung kepada faktor seperti permintaan, stok produk, waktu perniagaan, musim dan sebagainya.
Ketika permintaan sedang sangat tinggi, anda naikkan sedikit harga.
Ketika permintaan agak rendah manakala stok barangan masih banyak maka anda tawarkan diskaun untuk merancakkan jualan.
Strategi ini ada kelebihan namun ia boleh menyebabkan pelanggan keliru memandangkan harga sentiasa bertukar.
3. Strategi harga psikologi
Strategi penetapan harga seperti ini, anda mungkin pernah atau biasa nampak diamalkan dipasaraya besar. Strategi ini sebenarnya menggunakan satu trik yang membuatkan pelanggan rasa harga yang ditawarkan kelihatan murah, walaupun sebenarnya ia tak begitu murah.
Anda mungkin pernah lihat ada kedai yang meletakkan harga yang berakhir dengan angka seperti .99
Contohnya dia letak harga RM9.99 dan kenapa bukan letak RM10? Ini sebenarnya bertujuan untuk memberi gambaran bahawa barangan yang dijual harganya tak begitu mahal sebab bawah RM10.
Selain itu, anda juga boleh menawarkan jualan barangan secara pukal dalam satu kotak.
Sebagai contoh, dalam satu kotak, ada pelbagai barang-barang dan harganya ialah RM50 sahaja.
Ini secara tak langsung dapat membantu anda menjual lebih banyak barang-barang.
Kalau barang yang dikategorikan sebagai barangan kawalan ini, kita memang tak boleh nak letakkan harga sesuka hati. Tapi kalau barang yang bukan barang kawalan, kita boleh letakkan harga sama ada mengikut harga yang dicadangkan oleh pihak pengeluar atau satu harga yang anda rasakan sesuai.
Topik mengenai strategi penetapan harga untuk bisnes kedai runcit ini juga sebenarnya adalah antara topik yang agak menarik untuk dibincangkan. Kalau ada masa, mungkin saya akan tulis topik ini.
(14) Pengurusan aliran tunai dan perbelanjaan
Bisnes yang sihat sepatutnya mempunyai aliran tunai yang baik dan lancar.
Apa yang dimaksudkan dengan aliran tunai?
Ia sebenarnya merujuk kepada jumlah duit yang masuk dan keluar dalam satu tempoh masa tertentu.
Anda perlu mempunyai sistem merekod duit keluar masuk yang teratur bagi memudahkan anda mengetahui, berapa jumlah aliran tunai mengikut hari, minggu, bulan dan juga tahunan.
Lazimnya, duit akan mengalir masuk apabila berlaku jualan, manakala ia akan mengalir keluar apabila anda membuat sesuatu perbelanjaan.
Perbelanjaan ini pula, ada perbelanjaan yang tetap dan ada perbelanjaan yang sering berubah-ubah.
Perbelanjaan yang tetap ini adalah seperti perbelanjaan untuk
1. Bayar sewa premis
2. Gaji pekerja
Perbelanjaan yang berubah adalah seperti
1. Kos untuk beli stok barang jualan
2. Bil utiliti
3. Maintenance
Ada beberapa perbelanjaan yang mungkin anda boleh kurangkan dengan melakukan langkah penjimatan.
Mengurus aliran tunai sangat penting dalam mana-mana perniagaan. Kalau dalam konteks bisnes runcit ini, ia sudah semestinya sangat penting, kerana dalam bisnes ini, anda berdepan dengan situasi dimana margin keuntungan anda tak begitu besar dan anda perlu menjual dalam kuantiti yang besar.
Setiap hari wajib ada aliran tunai masuk ke dalam perniagaan kita, menandakan bahawa kita berjaya membuat jualan.
Biasanya waktu perniagaan bermula dari jam 7.00 pagi hingga ke jam 10.00 malam. Kalau dekat tempat lain, mungkin waktu urusniaga perniagaan tak sama.
Kalau buka lebih masa, ia mungkin tak memberi sebarang pulangan, kalau tempat tersebut memang dah mula sunyi selepas jam 9.00 malam. Biasanya untuk situasi perniagaan seperti ini, pemilik kedai patut pertimbangkan untuk menjual secara online juga.
Bisnes yang kurang sihat kebiasaannya ia menghadapi masalah dengan aliran tunai.
Apabila ada stok barang yang habis di rak jualan, pemilik tak ada duit tunai untuk re-stock barangan tersebut.
Kalau yang ada pekerja, mula ada masalah untuk bayar gaji pekerja, ataupun sampai satu masa terpaksa kurangkan jam bekerja untuk pekerja tersebut.
Kemudian disebabkan barang-barang atas rak yang semakin berkurang, menyebabkan pelanggan sudah mula jarang datang. Kalau datang pun tak guna juga, sebab kebanyakkan barang yang pelanggan nak pasti tak ada stok.
Dalam perniagaan runcit ini, aspek pengurusan kewangan mesti diberikan perhatian yang serius. Jangan tertipu dengan jumlah jualan harian, yang anda perolehi, yang mungkin mencecah ribuan ringgit sehari.
Boleh jadi, walaupun sales dia nampak besar, sebenarnya untung bersih tak begitu besar.
Dalam keadaan ini, anda perlu mempunyai sistem rekod yang betul-betul bagus. Jika perlu dapatkan nasihat profesional seperti dari akauntan bertauliah, silalah dapatkan.
(15) Aspek keselamatan perniagaan anda
Premis perniagaan anda perlu dipastikan betul-betul kukuh dan tidak mudah untuk dipecah masuk. Gunakan kunci yang berkualiti tinggi.
Kadang-kadang yang buat masalah ini, bukannya manusia sahaja. Binatang seperti tikus, tupai, monyet, kucing dan sebagainya juga boleh membuat kerosakkan terhadap harta benda dan barang niaga.
Kemudian cuba ikhtiarkan untuk pasang kamera cctv.
Bila ada kamera cctv ni, tak kiralah sama ada pekerja sendiri ataupun pelanggan, biasanya akan jaga kelakuan sebab mereka sedar yang tindak-tanduk mereka dirakam.
Kalau ada orang yang berniat jahat, mereka juga akan cuba elakkan daripada buat masalah di tempat yang mana tindakan mereka akan dirakam.
Sediakan tempat penyimpan wang yang berkunci. Aspek keselamatan ini kalau tak diberi perhatian yang serius, ia ada potensi untuk buatkan anda alami kerugian.
Penutup
Melakukan kesilapan dalam menguruskan sesebuah perniagaan itu merupakan sesuatu yang biasa.
Kadang-kadang, kita melakukan sesuatu kesilapan kerana kita sendiri tak tahu apa yang kita tak tahu.
Apabila saya menulis posting ini, iaitu kesilapan yang sering dilakukan oleh pemilik bisnes kedai runcit ini, salah satu tujuannya adalah untuk memberitahu kepada anda, apa yang anda mungkin tak tahu.
Sudah tentu saya sedia maklum, ada beberapa poin yang saya sebutkan dalam posting ini yang mungkin anda telahpun sedia maklum.
Sesetengah orang akan kata, apa yang saya tulis ini hanyalah perkara yang common sense, atau teori semata-mata.
Jadi beginilah.
Siapa yang rasa apa yang saya tulis ini bermanfaat, maka ambillah manfaat tersebut.
Kalau kebanyakkan yang saya tulis ini, anda dah tahu, anggaplah saya tulis artikel ini bukan untuk anda.
Bagilah peluang kepada mereka yang mungkin belum tahu, untuk belajar sesuatu melalui perkongsian ini.
Setelah anda baca posting ini, apa pandangan dan pendapat anda?
Agak-agaknya, ada tak kesilapan lain yang biasa dilakukan oleh pemilik kedai runcit, yang saya tak senaraikan dalam posting ini?
… atau mungkin, dari pengalaman anda sendiri menjalankan bisnes ini, pernah tak anda merasakan… bahawa memulakan bisnes kedai runcit itu sendiri… sebenarnya satu kesilapan?
Baca juga: Tips menjalankan bisnes kedai runcit
The post Kesilapan yang biasa dilakukan oleh pengusaha Bisnes Kedai Runcit appeared first on Blog Sabree Hussin.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.sabreehussin.com/kesilapan-bisnes-kedai-runcit/