Kes Pembunuhan Pelajar Vaksional Lahad Datuu Akhirnya Dihukum
Mohamad Naiim.

Tertuduh dalam kes pembunuhan pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu akhirnya dibuktikan bersalah. Walaupun wujud pelbagai “sensasi” yang mengatakan mangsa dibelasah, ditolak, dan mayat diletakkan di atas katil, salah seorang tertuduh tetap mendakwa bahawa mangsa berjalan sendiri pulang ke bilik. Namun, hakikatnya mangsa ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dengan kesan kecederaan yang jelas menunjukkan unsur jenayah. Malah, pengakuan beberapa pelajar yang terlibat dalam kejadian memukul mangsa telah membuka jalan kepada penangkapan. Hasil bedah siasat pula mengesahkan bahawa kecederaan akibat pukulan tersebut berpotensi membawa maut.
Perjalanan kes ini boleh dikatakan agak mudah kerana bukti jelas, saksi utama tampil, dan hasil siasatan yang lurus tanpa plot tambahan. Semua ini memudahkan kes dibawa ke mahkamah sehingga sabitan kesalahan dapat dibuat.
Dalam kes adik Zara, situasinya berbeza. Kes ini sedikit termasuk dalam kategori kelabu. Nak dikatakan putih tidak, nak dikatakan hitam pun tidak.
Menteri KDN mengatakan bahawa ada elemen buli yang berkemungkinan membawa kepada kejadian yang mengakibatkan kematian. Tapi, tangkapan tidak dapat dibuat kerana tiada bukti kukuh dan dapatan kecederaan tidak secara jelas menyokong ke arah kes pembunuhan. Sebab itu, pendakwaan yang dapat dibuatpun dibuat bawah akta yang sangat ringan beban pembuktiannya iaitu 507C
Ketika kejadian, hampir semua pelajar sedang tidur. Namun, ada saksi yang masih berjaga mendengar bunyi sesuatu jatuh, walaupun saksi tidak pasti bunyi apakah itu? Kemudian, seorang saksi menemui mangsa terbaring di tepi longkang dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disyaki mengalami kepatahan anggota lalu memaklukan kepada pengawal keselamatan dan kemudiannya cikgu. Tiada saksi yang melihat arwah dipukul atau dicederakan secara fizikal sebelum kejadian. Ketiadaan bukti langsung ini menjadi faktor mengapa tangkapan tidak dapat dilakukan. Malah, arwah disahkan masih bernyawa ketika ambulans tiba di sekolah dan membawanya ke hospital.
Keesokan paginya, polis menjalankan siasatan di sekolah. Di sinilah berlaku kesilapan awal pihak polis apabila terlalu cepat menutup kemungkinan wujud unsur jenayah. Mungkin kerana mereka cepat berpuas hati apabila corak kecederaan dilihat selari dengan jatuh dari ketinggian. Setelah mangsa meninggal dunia keesokan hari dan punca kematian dikeluarkan, polis bersetuju melepaskan mayat kepada keluarga tanpa meminta bedah siasat dilakukan.
Saya cuba meletakkan diri saya di tempat polis ketika itu. Mungkin mereka tahu siasatan lanjut masih diperlukan untuk menjawab persoalan mengapa mangsa jatuh. Namun, mungkin juga mereka berpandangan bedah siasat tidak akan memberikan petunjuk baharu dan berpuas hati dengan hasil pemeriksaan doktor. Maklumlah, segala macam scan telah dibuat dan kecederaan pun dah direkodkan. Atas dasar itu, mereka bersetuju melepaskan mayat untuk dikebumikan.
Hak meminta bedah siasat adalah di bawah kuasa Pegawai Penyiasat Polis. Tapi kes ni juga ada kaitan dengan kematian yang mungkin disebabkan kejadian yang berlaku di institusi. Kalau ada keraguan, patut buat ja bedah siasat sekalipun waris menangis meraung atau mengamuk tak nak. Waktu saya handle kes sebegini, memang biasa berlaku kejadian sampai waris serang staf forensik sebab tak nak post mortem. Sampai laporan polis terpaksa dibuat kerana melibatkan unsur keganasan pada staf.
Okay, selesai pengkebumian. Namun, apabila ibu mangsa kemudian teringat akan lebam pada tubuh anaknya ketika memandikan jenazah, beliau membuat laporan polis baharu. Ketika ini, halatuju siasatan berubah, cuba mencari semula elemen jenayah yang mungkin terlepas pandang pada awalnya.
Ramai yang bertanya mengapa tiada tangkapan dibuat walaupun nama-nama tertentu disebut dalam rakaman audio. Polis sebenarnya telah bertindak mengikut prosedur dengan merampas telefon waris untuk mengesahkan rakaman tersebut. Kita sendiri tidak tahu konteks dan kandungan sebenar audio itu. Saya yakin, sekiranya rakaman tersebut benar-benar cukup kukuh untuk membuktikan wujud komplot membunuh adik Zara, sudah tentu tindakan penangkapan akan dilakukan. Mustahil polis akan sewenang-wenangnya membiarkan pelaku bebas tanpa tindakan.
Sehingga kini, walaupun pasukan khas (task force) dari Bukit Aman telah turun menjalankan siasatan, tiada tangkapan dibuat. Malah, peguam keluarga masih merayu agar saksi tampil ke hadapan. Ini menunjukkan bahawa bukti yang ada ketika ini masih belum mencukupi untuk membuktikan kes ini sebagai pembunuhan.
Perlu difahami, hujah yang mengatakan jenazah mangsa yang utuh atau berbau wangi sebagai bukti pembunuhan adalah satu falasi dan tidak boleh digunakan sebagai asas dalam menegakkan keadilan.
Kini, inkues akan dijalankan untuk menentukan punca sebenar kematian arwah. Dalam proses ini, saksi akan memberi keterangan, dan semua bukti termasuk dapatan bedah siasat akan dinilai secara menyeluruh. Halatuju kes ini sepenuhnya bergantung pada hasil inkues tersebut. Kita tidak tahu, mungkin ada dapatan baharu yang boleh mengubah status kes ini. Sama-sama kita nantikan.
Oleh itu, marilah kita sama-sama berdoa agar keadilan dapat ditegakkan, bukan hanya buat adik Zara tetapi juga buat individu lain yang difitnah, dituduh tanpa bukti, atau dihina dengan kata nista dan maki.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/08/kes-pembunuhan-pelajar-vaksional-lahad.html