Kenyataan Penuh Pejabat Perdana Menteri Berhubung Isu Pemansuhan Ordinan Ordinan Darurat
Pejabat Perdana Menteri
 						 												 					 						Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara  hari ini, Kerajaan ingin menjunjung kasih di atas titah penghargaan yang  dizahirkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada  Kerajaan kerana telah melaksanakan Mesyuarat Khas Parlimen yang bermula  pada 26 Julai 2021.
Kerajaan sentiasa menjunjung titah pandangan KDYMM Seri Paduka  Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sepertimana yang  dizahirkan susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun 2021  yang antara lain menekankan bahawa darurat tidak perlu disambung selepas  1 Ogos 2021 dan perlunya Parlimen bersidang secepat mungkin.
Berdasarkan titah pandangan ini, Kerajaan telah memutuskan untuk  mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bermula 26 Julai 2021. Sebagai  persediaan Mesyuarat Khas Parlimen ini, Jemaah Menteri pada 21 Julai  2021 telah mengadakan perbincangan yang teliti dan mengambil ketetapan-ketetapan seperti berikut:
Pertama, Mesyuarat Khas Parlimen diadakan setelah mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong;
Kedua, Jemaah Menteri tidak akan menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membuat Proklamasi Darurat baharu setelah darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos 2021; dan
Ketiga, oleh kerana darurat tidak akan disambung, Jemaah Menteri  memutuskan untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan  Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh  Seri Paduka Baginda Tuanku sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa.
Susulan ketetapan-ketetapan ini, Pejabat Perdana Menteri pada 22  Julai 2021 telah menerima deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang  disediakan oleh Jabatan Peguam Negara. Ordinan ini memperuntukkan semua  ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang  di-Pertuan Agong dibatalkan berkuatkuasa pada 21 Julai 2021.
Pada 23 Julai 2021, Perdana Menteri telah mengutuskan warkah kepada  KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum  nasihat Jemaah Menteri supaya ordinan-ordinan darurat berkenaan  dibatalkan dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku  mengenainya.
Pejabat ini mengambil maklum sebagaimana yang dizahirkan di dalam  kenyataan media Istana Negara hari ini, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang  di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda Tuanku perlu  menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang  terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 40 (1) memperuntukkan:
Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau  undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak  mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang  bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang  diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan  Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat  berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh  Jemaah Menteri.
Manakala Perkara 40 (1A) pula memperuntukkan:
Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau  undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki  bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan  nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut  nasihat itu.
Susulan itu, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 24  Julai 2021, telah menitahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri  (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara menghadap untuk  memberikan penjelasan terperinci mengenai nasihat tersebut.
Apabila Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai 2021, semua  Ordinan Darurat telah dibentang (laid) di atas meja Dewan Rakyat  selaras dengan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Namun, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang telah mendesak supaya Dewan  Rakyat mengungkaikan ordinan darurat yang telah dimasyhurkan oleh KDYMM  Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. 
Susulan itu, Menteri Di  Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sebagai Menteri  yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang telah memaklumkan  kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan, iaitu Jemaah Menteri,  telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat  berkenaan.
Ini adalah suatu kenyataan fakta yang bertujuan memaklumkan kepada Dewan Rakyat keadaan sebenarnya secara telus.
Pemakluman oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) telah menimbulkan persoalan mengenai status perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke atas Ordinan  Darurat (Pembatalan) 2021. Oleh itu, Perdana Menteri dan Peguam Negara telah memohon menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 27 Julai 2021 pukul 12.00 tengahari untuk menjelaskan kedudukannya.
Pada sesi menghadap ini, Perdana Menteri telah sekali lagi memberikan  nasihat Jemaah Menteri mengenai pembatalan ordinan-ordinan darurat  tersebut serta membuat penjelasan atas kekeliruan yang cuba ditimbulkan  oleh pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat.
Perdana Menteri juga telah menyembah maklum pandangan Kerajaan bahawa  kesemua ordinan darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen  memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati KDYMM Seri Paduka  Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkannya.
Di samping itu, sidang Parlimen yang berlangsung adalah Mesyuarat  Khas yang diadakan di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang agendanya adalah penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai ordinan darurat.
Oleh sebab itu, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menasihati  KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan  ordinan darurat sebelum Mesyuarat Khas Parlimen bermula.
Kerajaan berpandangan semua tindakan yang diambil ini adalah teratur  dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri menekankan bahawa dalam menjalankan tugas dan  tanggungjawab beliau, adalah penting untuk beliau bertindak mengikut  lunas undang-undang dan perlembagaan. Justeru, beliau menasihatkan  rakyat supaya sentiasa bertenang dan insyaAllah isu ini akan dapat  diselesaikan mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan. ( AGENDA  DAILY )
Pejabat Perdana Menteri
Putrajaya
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/kenyataan-penuh-pejabat-perdana-menteri.html