Kenapa Disamakan Keganasan Ltte Dengan Perjuangan Palestin
Oleh: Syed Azwan Syed Ali/
[email protected]
Kali terakhir penulis masuk ke Gaza adalah Ogos 2014 selepas gencatan senjata dicapai di wilayah konflik itu.
Ketika itu rejim zionis melancarkan Operasi Protective Edge menyerang wilayah dikepung itu menyebabkan lebih 2,200 warga Palestin terkorban dan 85 warga Israel, majoritinya tentera, terbunuh.
Umum tahu perjuangan di Palestin sama ada di Gaza atau Tebing Barat adalah untuk membebaskan tanah jazirah Arab yang diduduki secara haram oleh rejim Israel sejak 1948.
Warga Palestin dibantai dan kerana itu berlaku kebangkitan atau intifada dalam kalangan mereka untuk membebaskan Al Quds dan mencapai kemerdekaan di tanah air yang dirampas zionis.
Jesteru apabila ada pihak di negara ini yang menyamakan perjuangan pembebasan Palestin dengan apa dilakukan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang diharamkan lebih 30 negara, maka ia boleh disifatkan sebagai pandangan tidak sensitif, dangkal dan mengarut.
Pihak terbabit ibarat menegakkan benang yang basah untuk membela LTTE apatah lagi mengatakan yang kumpulan itu sudah berkubur sedangkan hakikat yang berlaku di negara ini adalah sebaliknya.
Ini terbukti apabila Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan wujud transaksi kewangan dalam jumlah besar dipercayai untuk mengaktifkan semula kumpulan LTTE.
Lebih menakutkan apabila pihak keselamatan juga mendedahkan LTTE mempunyai cawangan di setiap negeri. Bala apakah yang menunggu kita jika PDRM gagal mengesan awal ancaman ini?
Persoalannya, kenapa situasi ini bahaya kepada negara dan kenapa tindakan menyamakan LTTE dengan perjuangan Palestin itu bukan hanya salah tetapi menampakkan kenaifan pihak terbabit.
“Kumpulan ini sangat merbahaya,” demikian kata pakar keselamatan strategik UNIMAP, Prof Madya Dr Mizan Aslan yang ditemubual Berita TV AlHijrah semalam mengulas penahanan lima lagi suspek yang dipercayai ada kaitan dengan LTTE pada Sabtu lalu.
Penahanan terbaru itu menjadikan keseluruhan tangkapan berkaitan kumpulan pengganas sejak Khamis lalu ialah 12 orang.
Khamis lalu, tujuh individu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE.
Jadi kenapa rakyat Malaysia harus mengenepikan neraca kaum dan politik dalam isu penahanan suspek yang dipercayai ada kaitan dengan LTTE?
Menurut laporan FBI pada 2008, kumpulan LTTE yang ditubuhkan sejak 1976 dengan misi utamanya menubuhkan negara Tamil Eelam di utara dan timur Sri Lanka, diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas paling berbahaya di dunia.
“Mereka adalah kumpulan pertama menggunakan serangan berani mati, membunuh pemimpin, melakukan penghapusan etnik kepada Muslim dan Sinhalese dan melakukan pembunuhan beramai-ramai,” jelas Dr Mizan.
Bagi yang mengikuti perkembangan geopolitik dunia, kita tentunya tidak lupa dengan pembantaian terhadap umat Islam selama 25 tahun LTTE bermaharajalela sebelum kumpulan pengganas itu dikalahkan Kerajaan Sri Lanka.
Namun apa yang menakutkan, malah menghairankan adalah kenapa terdapat golongan yang meraikan dan memuja kumpulan pengganas ini di Malaysia?
Tentunya kita masih ingat bagaimana pembunuhan 147 orang Islam di Masjid Kattankudy pada 3 Ogos 1990 yang didalangi 30 pengganas LTTE. Mereka menyusup masuk ke masjid dan menembak 300 jemaah yang sedang solat ketika itu menyebabkan sebahagian besarnya terkorban.
Bukan setakat itu, LTTE juga dilaporkan melakukan penyembelihan terhadap umat Islam di Sri Lanka. Di Malaysia pula mereka pernah mencederakan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia, Ibrahim Ansar pada 2016.
Keganasan LTTE dengan perjuangan Palestin adalah ibarat langit dan bumi kerana pejuang di Gaza tidak melakukan pembunuhan besar-besaran atau penghapusan etnik yang jelas menunjukkan kebencian atas dasar ras, bangsa dan agama.
Inilah “rallying point” kenapa rakyat Malaysia harus menyekat anasir ini daripada terus menular dalam kalangan rakyat berbilang bangsa di negara ini, sekaligus menyokong tindakan pihak berkuasa.
Perjuangan Palestin adalah perjuangan pembebasan tanah air yang dirampas dan pejuang-pejuang di Gaza tidak melakukan penyembelihan, pembunuhan dan penghapusan etnik.
Jika mahu disamakan “perjuangan” LTTE itu dengan kumpulan tertentu, barangkali ia boleh disamakan dengan Daesh yang melakukan keganasan.
Kita semua harus bersetuju yang penahanan inidvidu terbabit yang dipercayai menyokong dan menyalurkan dana kepada LTTE (baca cuba menghidupkan semula gerakan LTTE) dibuat untuk kepentingan semua.
Ia langsung tiada kaitan politik atau kaum kerana memerangi keganasan sentiasa mengecualikan latar belakang individu.
Ini terbukti apabila statistik PDRM setakat ini menunjukkan 284 individu terbabit Jemaah Islamiyah, 512 Daesh dan 25 LTTE, ditahan pihak berkuasa.
Sepertimana ditegaskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa penangkapan ini juga dilakukan mengikut peruntukan undang-undang dan tiada campur tangan pentadbirannya.
Jika ada pihak tidak bersetuju bahawa ada gerakan untuk menghidupkan semula kumpulan pengganas LTTE, barangkali mereka boleh membantu polis menjelaskan transaksi kewangan dalam jumlah yang besar itu.
Apa yang pasti mereka yang makan cili akan merasa pedas. Lebih penting kamu kini di bawah “radar” PDRM.
Jika tidak mahu membantu adalah lebih baik diam kerana seluruh rakyat negara ini menolak keganasan dan anasir pengganas ini harus dihapuskan hingga ke akar umbi tanpa mengira warna kulit. Bersihkan kesemuanya atau negara tercinta kita berdepan bahaya. – AlHijrah Online
Penulis adalah Editor AlHijrah Online yang pernah menyaksikan sendiri penderitaan dan perjuangan rakyat Palestin di Gaza pada 2010, 2012 dan 2014 pasca serangan Israel ke atas wilayah yang terkepung sejak 2007 itu.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/10/15/kenapa-disamakan-keganasan-ltte-dengan-perjuangan-palestin/