Kenali Calon Calon Prk Rantau
Zikri Kamarulzaman 
 
      KINIGUIDE | Tahun lalu DUN Rantau  sepatutnya menjadi medan pertarungan satu lawan satu antara calon BN  dan PH tetapi pilihan raya kecil kali ini telah bertukar menjadi  pertembungan empat penjuru pada 13 April ini.
DUN Rantau  dikosongkan selepas Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu  memutuskan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang  mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding calon Umno, Mohamad Hasan  sebagai tidak sah dan pemilihan semula perlu diadakan.
Ini  berpunca daripada langkah pegawai SPR menghalang calon PKR Dr S Streram  daripada memfailkan kertas pencalonannya ketika pilihan raya umum 2018.
Kedua-dua mereka kembali ke gelanggang hari ini, tetapi berhadapan saingan tidak terduga daripada dua calon bebas.
Berikut merupakan panduan Malaysiakini mengenai calon-calon PRK Rantau dalam pertembangan empat penjuru ini:
Mohamad Hasan
Lahir  dan dibesarkan di Rantau, Mohamad mula memenangi kerusi Rantau pada  tahun 2004 dan menjadi menteri besar Negeri Sembilan pada tahun yang  sama.
Dikenali penduduk setempat sebagai Tok Mat, beliau berjaya  mempertahankan kerusi itu sehinggalah menang tanpa bertanding pada  PRU14.
Kerjaya politik pemimpin berusia 62 tahun itu bersinar pada  Julai tahun lalu apabila beliau memenangi jawatan timbalan presiden  Umno, sebelum mengambil alih tugas daripada Ahmad Zahid Hamidi sebagai  presiden pada bulan Disember.
Di bawah kepimpinan beliau, jalinan  kerjasama Umno dengan PAS semakin erat, yang membawa kepada kejayaan di  Cameron Highlands dan pilihan raya kecil Semenyih tahun ini.

Dr S Streram
Streram  sepatutnya bertanding di Rantau pada tahun lalu tetapi dihalang  daripada masuk ke pusat penamaan kerana beliau tidak mempunyai pas  daripada Suruhanjaya Pilihan Raya.
Beliau mendapat satu lagi  peluang bertanding di kerusi itu selepas petisyen pilihan rayanya  berjaya di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Seorang  pakar bius dengan lebih daripada tiga dekad pengalaman, Streram berkata  beliau mula bekerja bersama akar umbi di Rantau sejak tiga setengah  tahun lalu.
Ini akan menjadi pilihan raya pertama yang ditandingi beliau.

R Malar
Tidak  banyak yang diketahui mengenai suri rumah berusia 50 tahun ini, tetapi  dia memulakan kempennya dengan mengadakan protes senyap selama dua hari.
Beliau  berkata ini bagi membantah BN yang didakwa tidak membenarkan calon  mereka bercakap di Cameron Highlands, dan PH melakukan perkara yang sama  di Semenyih.
Bagaimanapun, kedua-dua calon itu bercakap dengan media semasa kempen masing-masing.
Menurut The Star,  Malar tinggal di Kanada selama 25 tahun dan sebahagian besar waktunya  disana dihabiskan dengan bekerja sebagai juruhebah radio dan penerbit  program.
Dia dijangka memperkenalkan manifesto beliau dalam beberapa hari akan datang.
Malar menggunakan logo pokok untuk pilihan raya ini.
Mohd Nor Yasin
Anak tempatan Gemencheh berusia 66 tahun itu pernah menjadi orang PAS dan masih mendakwa dirinya ahli parti itu.
Mohd Nor pernah bertanding kerusi parlimen Gemencheh pada tahun 2013.
Bagaimanapun, PAS mengesahkan Mohd Nor bukan lagi ahli parti mereka
Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan Mohamad Taufek Abd Ghani turut mengesahkan Mohd Nor sudah menyertai Amanah
Mohd Nor berkata tujuannya bertanding untuk membawa pembangunan berasaskan Islam ke Rantau.
Dia menggunakan lambang pen sebagai logo bagi pilihan raya kecil itu.
*KINIGUIDE ini disusun oleh Zikri Kamarulzaman.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/kenali-calon-calon-prk-rantau.html