Kena Sekat 24 Jam Di Facebook
A Kadir Jasin
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Notis Facebook menyekat akses saya
1. Mulai kira-kira jam 6.30 petang Khamis, 31 Disember, kesampaian (access) saya kepada Facebook disekat (blocked) selama 24 jam seperti notis di atas.
2. Alasannya kerana "didn't follow our community standard" (tidak mematuhi piawaian komuniti kita) dalam tampalan pada 31 Disember dan 26 Jun. Selama tempoh sekatan tersebut, saya tidak boleh sentuh Facebook saya dan Facebook sesiapa pun kecuali untuk baca.
3. Setelah membaca balik empat rencana yang saya siarkan pada dua tarikh tersebut, saya tidak mengesan apa-apa yang luar biasa atau di luar norma tampalan-tampalan saya.
4. Lantas saya maklumkan kepada beberapa orang sahabat dan bertanya jika mereka tahu sebab musabab sekatan dikenakan ke atas saya.
5. Salah seorang yang memantau media sosial memberi jawapan berikut: "It's how Najib's trolls and UMNO cybertroopers work. They group together and all do a report on a comment or post en-masse, which normally could get a person blocked."
6. Dalam bahasa Melayu: "Inilah cara penghasut-penghasut maya Najib dan laskar siber Umno buat kerja. Mereka berkumpul dan semua mereka membuat laporan serentak terhadap sesuatu komen atau tampalan yang selalunya boleh menyebabkan seseorang disekat."
7. Wallahuaklam. Tapi ada lojiknya kerana dalam recana bahasa Inggeris mengenai moratorium pembayaran balik pinjam bank dan pengeluran simpanan KWSP itu, says ada menyebut nama Najib, 1MDB dan SRC International Sdn Bhd. Mungkin ini adalah antara kata-kata kunci untuk menggerakkan tindak balas. Lagi pun Najib sendiri melakukan serangan balas terhadap dengan mengulangi fitnah mengenai Realmild Sdn Bhd. Lojiknya, bila saya tulis dan orang balas, tak perlulah nak sekat-sekat. Kita mainlah cara anak jantan.
8. Selalunya rencana dalam bahasa Inggeris tidak mendapat komen yang banyak. Tapi dalam kes ini, ia mendapat lebih 700 komen yang kebanyakannya jenis "dedak".
9. Saya tidak mahu membuat spekulasi mengenai pihak-pihak yang ada pengaruh ke atas Facebook terlibat dengan penafian hak saya walaupun rencana bertajuk "Dangers of Bleeding Banks and EPF" itu kritikal terhadap sesetengah tindakan kerajaan.
10. Sebagai langkah berjaga-jaga dan saluran alternatif, saya akan siarkan semua atau sesetengah rencana Facebook dalam Blog saya, The Scribe A Kadir Jasin.
11. Saya harap penjelasan sahabat saya mengenai "trolls" dan "cybertroopers" itu tidak betul. Tapi kalau betul, amatlah mendukacitakan kerana orang dari kasta dewa boleh menggunakan kuasa politik dan duit ringgit bagi menafikan hak orang ramai bersuara di alam maya.
12. Akhir kalam, saya ucap selamat tahun baru 2021 kepada semua. Moga-moga tahun ini adalah "Annus Mirabilis".
Sekian. Terima kasih.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://kadirjasin.blogspot.com/2021/01/kena-sekat-24-jam-di-facebook.html