Kemenangan Motivasi Jadi Pencabar Utama Liga Perdana 2019
Kemenangan motivasi jadi pencabar utama Liga Perdana 2019
JELIUS ATING
Mengalahkan Sarawak 2-1 untuk kemenangan pertama di tempat lawan adalah tambahan suntikan motivasi kepada skuad Tambadau Sabah menjadi pencabar utama saingan Liga Premier musim ini. Ketua jurulatih Jelius Ating akui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki tetapi yakin bahawa kemenangan itu bukan yang pertama dan terakhir di tempat lawan
Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut Tambadau Sabah selepas kemenangan pertamanya musim ini di tempat sendiri (Stadium Likas), mengalahkan Terengganu FC II 3-1 pada 16 Februari lalu. Sebelum itu, Sabah mengharungi dua perlawanan pertama dengan kekalahan 1-2 di tangan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di Stadium Likas dan seri 3-3 dengan Kelantan di tempat lawan
"Kemenangan kelmarin (Sabtu) adalah yang pertama di tempat lawan dan saya harap ia bukan kemenangan pertama dan terakhir tetapi menjadi pendorong dan motivasi kepada pemain untuk terus berjaya di perlawanan-perlawanan akan datang," kata Jelius ketika dihubungi di sini.
Beliau gembira dengan tiga mata penuh yang dibawa balik kerana ia bukan kemenangan yang mudah walaupun Tambadau Sabah bermula dengan baik dan mencipta banyak peluang terutama di separuh masa pertama. Sabah mendahului 2-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan penyerang utama Rodoljub Paunovic pada minit ke-36 dan pemain sayap tengah Sabri Sahar pada minit ke-39 manakala gol Sarawak dijaringkan Pedro Henrique pada minit terakhir permainan. Jelius percaya pasukan akan bertambah baik jika dapat memperbaiki beberapa kelemahan yang disaksikannya pada perlawanan itu
"Kita memang berpuas hati dengan keputusan tetapi dari segi persembahan, secara keseluruhannya masih banyak kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki terutama sikap pemain apabila kita sudah mendahului...kadangkala pemain sudah rasa selesa dan sedikit leka. Ini memberi kesempatan dan ruang kepada lawan untuk bangkit. "Inilah yang berlaku di Sarawak. Sarawak dibarisi pemain muda yang sangat bekerja keras dan rajin berlari. Selepas ketinggalan pada separuh masa pertama, mereka cuba membuat asakan dan akhirnya mereka menjaringkan satu gol," katanya.Baca: Tipu kontrak, pemain Perlis buat aduanJelius bagaimanapun memuji kemampuan anak didiknya mengekalkan kelebihan untuk keluar sebagai pemenang perlawanan itu
"Bahagian tengah juga perlu dimantapkan. Kita akan mencari jalan macam mana memperbaiki bahagian ini agar lebih kreatif dan dapat memberi lebih banyak hantaran baik kepada penyerang. "Pada masa yang sama, kita juga mengharapkan penyudah akan lebih berkesan. Kelmarin kita lihat banyak peluang dicipta tetapi hanya dua dapat diterjemahkan kepada jaringan. "Satu jaringan juga memadai jika ianya menghasilkan tiga mata penuh. Bagaimanapun, jika kita mempunyai penyudah berkesan, ia adalah satu kelebihan kerana kalau dapat memanfaatkan setiap peluang yang ada, akan lebih mudah untuk mengatasi lawan. "Kami akan terus berusaha memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada ini. Ini perlu kalau kita berangan-angan pergi jauh dalam saingan ini," katanya.
Sabah kini mengumpul tujuh mata dari empat perlawanan yang meletakkannya di kedudukan kedua sehingga kelmarin. Sabah akan meneruskan cabaran menentang pasukan tercorot, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Likas pada Sabtu ini (2 Mac)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://buletinsabahfa.blogspot.com/2019/02/kemenangan-motivasi-jadi-pencabar-utama.html