Kedah Mula Program Vaksinasi Ahad Ini
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi
Muhammad Sanusi (kiri) menjadi tetamu pada program Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas, \Hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
PETALING JAYA: Kedah akan memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula Ahad ini, kata Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.
Katanya, beliau menjadi individu pertama yang akan disuntik vaksin COVID-19 pada hari berkenaan, diikuti barisan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO).
"Program kita akan mula 28 Februari (Ahad ini). Saya orang pertama disuntik, kemudian EXCO diikuti anggota barisan hadapan, RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia), petugas jabatan kesihatan, APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) dan lain-lain.
"Jumlahnya saya tidak ingat, tetapi esok akan ada mesyuarat untuk menyusun perjalanan program," katanya ditemui media ketika mengadakan kunjungan ke Media Prima Berhad (MPB) di Sri Pentas, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Dr Syed Hussian Syed Junid; Pengarah Eksekutif Kumpulan MPB, Rafiq Razali dan pengurusan kanan MPB.
Selain menjadi tetamu pada program Malaysia Hari Ini (MHI), Muhammad Sanusi juga dibawa melawat ke konti radio serta studio A dan bilik berita TV3 bagi melihat operasi penyiaran harian di MPB.
Beliau berkata, setakat ini, kes penularan COVID-19 di Kedah terkawal dengan kes harian dicatatkan terutama membabitkan rakyat tempatan adalah rendah.
"Kedah kelmarin ada 15 kes sahaja. Kes mula meningkat (di Kedah) ini apabila kita mula buat saringan di kilang dan tapak binaan.
"Saya ucap terima kasih pada orang Kedah yang patuh kepada SOP (posedur operasi standard) yang menunjukkan penularan dalam kalangan warga tempatan sangat minimum," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, tumpuan kerajaan negeri ketika ini adalah untuk menarik pelabur luar bagi melaksanakan pelbagai projek berimpak tinggi yang boleh mendatangkan manfaat termasuk peluang kerjaya kepada rakyat tempatan.
"Kedah sudah terlalu bergantung pada sektor pertanian, apabila tujuh, lapan tahun lalu dibuat bengkel untuk mencari sumber pendapatan baharu.
"Saya teruskan ilham yang digagaskan oleh pemimpin dulu, bukan sahaja pemimpin tetapi pegawai kerajaan," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/02/kedah-mula-program-vaksinasi-ahad-ini.html