Kami Bercerai 2 Mei Lalu Nazim Othman
KUALA LUMPUR: Detik 2 Mei lalu menjadi sejarah yang terpateri dalam lipatan hidup pelakon, Nazim Othman, 33, apabila bahtera rumah tangganya bersama Bella Dally, 26, karam di lautan.
Hanya mampu bertahan selama hampir dua tahun, pasti ramai peminat mahupun netizen mempersoalkan banyak perkara berhubung perceraiannya dengan bekas isterinya itu.
Pasangan sama cantik, sama padan ini berupaya menyembunyikan kegoyahan hati selama ini, biarpun desas-desus berhubung perkahwinan mereka yang tidak berjalan lancar mula dihidu, sejak beberapa bulan lalu.
Lebih menimbulkan persoalan apabila Nazim kerap bercuti seorang diri, manakala Bella pula dibiarkan pulang sendirian ke kampung halamannya di Kota Kinabalu.
Namun, segala teka-teki berakhir apabila bintang Lara Aishah itu menceraikan Bella atau nama penuhnya Nabila Ali Dally di Mahkamah Syariah Kota Kinabalu, Sabah, pada 2 Mei lalu.
Sehingga ke hari ini, Nazim mahupun Bella masih mengunci rapat mulut masing-masing daripada berkongsi apa sebenarnya berlaku kepada rumah tangga yang dibina atas dasar cinta itu.
Mereka menjalinkan hubungan cinta selama enam tahun, sebelum berkahwin pada 10 September 2016.
Bersama suara yang tenang menyahut panggilan BH Online, Nazim mengakui:
"Saya hanya mahu meneruskan hidup, tiada apa-apa yang boleh dikongsikan. Cukuplah luahan hati yang dibuat di laman Instagram. Saya rasa itulah yang terbaik buat masa ini.
"Bukan saya tidak mahu menjawab persoalan demi persoalan, tetapi hati saya rapuh dan belum bersedia. Tunggulah saya mendapat ketenangan jiwa terlebih dulu.
"Apabila hati dan jiwa sudah tenang, mungkin saya diberikan kekuatan untuk berkongsi cerita. Saya membuat kenyataan di laman sosial hanya untuk memberitahu status kami, bukan menyebarkan cerita rumah tangga."
Nazim berkata, usah diungkit siapa benar atau salah kerana hakikatnya, hanya mereka berdua yang tahu.
"Salah dan silap, biarlah kami simpan dalam lubuk hati yang paling dalam. Kami mempunyai keluarga, yang perlu dijaga hati dan perasaan mereka.
"Saya berterima kasih atas doa yang baik-baik sehingga hari ini. Saya dan bekas isteri tidak mahu ambil kisah dengan persepsi netizen. Apa yang penting, kami mahu hidup dengan tenang," katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama, Terima Aku Seadanya arahan, Eon Suhaimi.
Nazim atau nama sebenarnya, Nushrul Alif Othman berkata, isu panas mengaitkan dirinya bukan perkara baharu dalam hidupnya. Sejak remaja hinggalah sekarang dirinya berdepan dengan banyak kontroversi.
"Apabila rumah tangga saya gagal dipertahankan, isu ini tentunya menjadi bualan ramai. Saya sudah biasa menerima kecaman sejak dulu. Suka atau tidak, hidup harus diteruskan.
"Ujian kali ini mungkin lebih berat apabila membabitkan dua hati. Pengajarannya, saya perlu memperbaiki dan muhasabah diri.
"Inilah petunjuk Allah kepada saya. Selagi tidak diuji, selagi itulah saya tidak pernah belajar. Saya harus mencari salah dan silap saya untuk memperbaiki diri demi masa depan.
"Saya, seorang yang pemikir. Apa yang berlaku membuatkan saya lebih memikirkan kekhilafan diri. Jika salah, saya harus memperbetulkannya," katanya.
Pelakon yang melonjak populariti menerusi drama Dejavu Di Kinabalu, Kau Yang Terindah, Epilog Cinta Khirana dan Sangkar itu berkata, biarpun hatinya terluka dengan perpisahan ini, namun dia reda menerima ketentuan Tuhan.
"Saya dan bekas isteri reda. Jika tidak reda, keadaan tentunya menjadi semakin kusut.
"Sekarang, kami ambil masa bertenang bersama keluarga. Antara kami juga, tiada dendam yang tersemat.
"Doa saya, Bella hidup lebih gembira dan dapat mengejar cita-citanya. Mungkin saya tidak lagi berada di sisinya, tetapi saya tetap memerhatikannya dari jauh," katanya.
Minggu lalu, melalui aplikasi Insta Story, Nazim mengejutkan peminat apabila mengakui bahawa dirinya dan Bella berbincang selama enam jam sebelum mengambil keputusan berpisah.
Nazim juga berkongsi gambar dengan bekas isterinya sehari sebelum memfailkan kes perceraian di Kota Kinabalu.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://postselangor.blogspot.com/2018/05/kami-bercerai-2-mei-lalu-nazim-othman.html