Kalau Sebut Nama Saya Lagi Tunggu Surat Saman Ebit Lew
Haslina AR Kamaludin
Ebit Lew ketika sidang mdianya hari ini. KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak yang menggunakan nama saya dalam kenyataan tanpa asas, saya akan saman, demikian menurut pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew.
Keputusan itu diambil selepas beberapa minggu ini namanya terpalit pelbagai kontroversi serta dakwaan yang tidak benar.
“Saya anggap ia keterlaluan. Mana-mana kenyataan yang tidak ada tanda soal, seolah-olah perkara itu benar, saya akan hantar surat saman.
“Itu adalah jalan terbaik untuk saya. Saya tidak mahu perkara sebegini berlaku, kalau ada bukti, sila kemukakan,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di media sosial hari ini.
Sidang media tersebut adalah sebagai penjelasan terhadap beberapa perkara yang melibatkan dirinya ketika berada di Mesir dan Gaza.
“Banyak yang mengaitkan saya dengan perkara salah dengan tidak berasas.
“Saya ada semua bukti-bukti saya ke Gaza dan ia telah diserahkan kepada pihak berwajib,” katanya.
Dalam sidang medianya itu juga, Ebit menyebut dua nama yang pada akhir-akhir ini mengaitkannya dengan perkara yang tidak benar.
“Saya jarang buat ‘live’ sebut nama orang. Tapi Nadir Al Nuri dan Caprice selalu buat ‘live’ bercerita pasal saya.
“Tindakan saya ini adalah langkah menjaga nama saya dan keluarga agar tidak diperlekehkan mana-mana pihak.
“Saya sayang mereka. Saya maafkan mereka, juga kepada sesiapa yang menyebut-nyebut nama saya, tetapi hati saya begitu terasa dengan tindakan mereka berdua,” katanya lagi.
Ebit juga turut menjawab beberapa perkara antaranya mengena pemergiannya ke Gaza dengan membayar sejumlah wang, isu mengambil video Allahyarham ayahnya dan bersikap biadab ketika berada di Gaza. – MalaysiaGazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/kalau-sebut-nama-saya-lagi-tunggu-surat.html