Kaabah Alami Kerosakan
Pada tahun 591 Masihi, Kaabah mengalami kerosakan. diceritakan,
seorang perempuan telah menyalakan api untuk membakar kemenyan bagi mewangikan
Kaabah.
Tiba-tiba bara api yang dibakarnya telah tercampak atau terpercik mengenai
kelambu Kaabah dan menyebabkan berlakunya kebakaran ke atas Kaabah. Akibat
kebakaran itu menyebabkan binaannya menjadi tidak kuat lagi.
Selepas itu, berlaku pula banjir yang melanda Kaabah yang menyebabkan berlaku
keruntuhan pada sebahagian Kaabah.
Selepas berlakunya peristiwa itu, para pemimpin Quraisy telah bermesyuarat
untuk membina semula Kaabah yang telah runtuh sebahagiannya. Kebetulan pada
masa yang sama, sebuah kapal dagang kepunyaan saudagar Rom telah pecah di
lautan Jeddah.
Bersama mereka ada seorang tukang kayu yang mahir bernama Yaqum. Quraisy telah
membeli kayu dari kapal tersebut untuk dijadikan binaan atap dan tiang Kaabah.
Pihak Quraisy telah berazam untuk meruntuhkan semua binaan yang tinggal dan
membinanya semula dengan asas yang baharu kerana asas yang dibina oleh Nabi
Ibrahim telah terlalu lama.
Menurut al-Sinjari jarak masa antara binaan Nabi Ibrahim dengan binaan Quraisy
ialah 2645 tahun.
Di dalam Kaabah, terdapat sebuah telaga yang di dalamnya tersimpan harta-harta
yang dihadiahkan kepada Kaabah.
Dalam telaga itu, ada seekor ular berbisa yang berwarna hitam di atas
belakangnya, putih di bawah perutnya dan berkepala seperti kepala seekor
kambing.
Ular ini telah berada di situ selama lima ratus tahun iaitu sejak zaman Jurhum
lagi. Ular tersebut bertindak sebagai pengawal harta Kaabah kerana banyak
berlaku kecurian ke atas harta Kaabah pada waktu itu.
Ketika kaum Quraisy berada dalam ketakutan untuk meruntuhkan Kaabah, ular itu
sentiasa keluar menzahirkan dirinya.
Oleh itu, mereka pun berkumpul di makam Ibrahim dan salah seorang pemimpin
Quraisy bernama al-Walid bin al-Mughirah telah menyampaikan khutbah kepada
kaumnya.
“Bukankah kamu semua mahukan kebaikan untuk membina Kaabah” Mereka
menjawab: “ya!”
Kata al-Walid: “Allah tidak akan membinasakan orang yang ingin melakukan
kebaikan. Tetapi ingatlah, jangan sekali-kali kamu memasukkan perbelanjaan
untuk membina rumah Tuhan kamu ini kecuali harta yang baik hasil usaha kamu.
Jangan kamu masukkan harta riba, judi, pelacuran dan semua yang tidak baik dari
harta kamu kerana sesungguhnya Allah tidak menerima kecuali harta yang baik.”
Kemudian mereka pun berdoa: “Wahai Tuhan, sekiranya apa yang kami lakukan ini mendapat
keredaan Engkau maka jauhkanlah ular ini daripada kami.”
Selepas itu datang seekor burung dari langit menuju ke arah ular yang sedang
berada di atas dinding Kaabah dan menyambar kepalanya serta mencampaknya ke
arah kawasan Jiyad.
Namun, perasaan takut akan dimurka dan ditimpa azab oleh Allah masih menebal
dalam diri mereka sehingga al-Walid sekali lagi berkata: “Aku akan mula
meruntuhkannya. Aku telah tua. Sekiranya aku mati maka ia disebabkan ajal yang
sudah tiba.”
Beliau pun mengambil pemukul dan mula meruntuhkannya. Tetapi dengan tiba-tiba
batu di bawah kakinya bergerak. Lantas beliau pun berdoa: “Wahai Tuhan,
janganlah engkau menakuti kami, sesungguhnya kami ingin membaikinya dan kami
tidak melakukannya kecuali untuk kebaikan.”
Kemudian beliau terus meruntuhkan Kaabah di bahagian dua rukun pada hari itu.
Manakala orang lain hanya memerhatikan sahaja dan tidak menyertainya, bahkan
mereka terus menunggu apakah akibat yang akan menimpa ke atas al-Walid pada
hari itu.
Setelah tidak ada apa-apa yang berlaku, pada keesokan harinya ramailah yang
bersama-sama meruntuhkan binaan Kaabah yang masih tinggal, sehingga sampai
kepada asas yang dibina oleh Nabi Ibrahim yang berupa sebuah batu besar yang
berwarna hijau yang berbentuk bonggol-bonggol unta. Untuk mengangkat seketul
batu tersebut, memerlukan kekuatan kira-kira 30 orang lelaki.
Al-Walid pun memasukkan cangkulnya di celah dua batu lalu menggoncangkannya
hingga tercabut seketul batu dan dengan pantas Abu Wahab al-Makhzumi cuba
mengambilnya tetapi batu itu terlepas dari tangannya dan terus kembali ke
tempat asalnya.
Tiba-tiba suatu cahaya seperti kilat terpancar dari bawah batu tersebut dan
bumi Makkah terus bergoncang. Mereka serta-merta berhenti memecahkan batu
tersebut dan menjenguk ke bawahnya mereka dapati asas Kaabah terletak di situ.
Setelah itu, mereka pun mengumpulkan bahan binaan asal lalu mengeluarkan harta
yang mereka kumpul untuk membina Kaabah tetapi ia tidak mencukupi untuk
membiayai pembinaannya mengikut binaan asal.
Oleh itu mereka pun berbincang dan membuat keputusan akan membina mengikut
kadar perbelanjaan yang mereka mampu dengan mengecilkan binaan asal Kaabah
sepanjang enam hasta sejengkal (3 meter) di bahagian Hijr Ismail. Ia ditanda
dengan lingkungan separa bulatan supaya orang ramai melakukan tawaf di bahagian
belakangnya sahaja. Tempat ini dikenali dengan nama “Hijr Ismail” atau “Hatim”.
Mereka menambah ketinggiannya sebanyak sembilan hasta menjadi 18 hasta, dan
membina siap dengan enam batang tiang. Pintunya pula dijadikan satu sahaja dan
diangkat untuk menahan daripada dimasuki air ketika banjir dan untuk
mengawalnya daripada dimasuki oleh orang yang mereka tidak sukai.
Semasa pembinaan ini, Rasulullah SAW menyertainya dengan mengangkat batu bata
untuk binaan Kaabah. Pada waktu itu, Rasulullah SAW berumur 35 tahun. Setiap
kabilah diberikan satu bahagian daripada penjuru Kaabah.
Apabila tiba masa untuk meletakkan Hajarulaswad, mereka mula berbantah. Setiap
kabilah mendakwa mereka lebih berhak meletakkannya sehingga sebahagiannya
bersumpah untuk berperang sekiranya mereka tidak dapat meletakkannya.
Bani ‘Abd al-Dar telah membawa satu bekas darah dan mereka bersumpah bersama
Bani ‘Adi akan mepertahankannya sehingga mati. Darah itu dinamakan “La’aqah
al-Dam”. Puak Quraisy menangguhkan pembinaan selama empat atau lima hari.
Kemudian mereka berkumpul di masjid dan bermesyuarat.
Orang yang paling tua dalam kalangan Quraisy iaitu Abu Umayyah Huzaifah bin
al-Mughirah al-Makhzumi berkata: “Orang yang akan memutuskan perkara ini ialah
orang yang pertama memasuki masjid dari pintu Bani Syaibah.” (Ia salah satu
pintu Masjidilharam di kawasan rumah orang Quraisy, terletak di belakang Makam
Ibrahim).
Mereka pun bersetuju di atas perkara tersebut. Orang yang pertama memasuki
pintu tersebut ialah Rasulullah SAW. Setelah melihatnya mereka pun bersetuju
untuk menjadikan Baginda hakim dan mereka memberitahu masalah tersebut kepada
Nabi SAW yang pada ketika itu berumur 35 tahun, dan terkenal dengan gelaran
“al-Amin”.
Rasulullah SAW mengambil sehelai kain dan meletakkan Hajarulaswad di atasnya.
Kemudian Baginda mengarahkan setiap kabilah melantik seorang wakil untuk
mengangkatnya hingga ke tempatnya. Lalu Rasulullah SAW mengambilnya dengan
tangannya yang mulia dan meletakkan Hajarulaswad di tempatnya.
Dalam al-Rahiq al-Makhtum disebutkan: “Kaabah yang dibina oleh Quraisy adalah
berbentuk empat persegi, tingginya 15 meter, lebar di bahagian Hajarulaswad dan
yang bertentangan dengannya 10 meter.
Hajarulaswad tingginya dari lantai 1.50 meter, bahagian pintu dan yang
bertentangan dengannya 12 meter. Tinggi pintunya dari lantai 2 meter,
dilingkungi tapak bawahnya dengan binaannya dengan batu setinggi 0.25 meter dan
lebarnya 0.30 meter dan dinamakan dengan Shazarwan, ia dari tapak asal (binaaan
Nabi Ibrahim) tetapi Quraisy mengeluarkannya kerana kekurangan belanja.”
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://biroteguhnegara.blogspot.com/2025/05/hbu.html