Joe Girard World S Greatest Salesman
Pernah tak kita direject kerana kita terlalu baik atau kita terlalu bagus. Kita dibenci kerana mempunyai bakat atau kemahiran bercakap kita sangat baik, personaliti kita sangat menarik, motivasi kerjaya kita sangat tinggi dan pecah rekod jualan pada hari pertama bekerja?
Perkara ini berlaku pada seorang budak miskin yang tidak habis sekolah tetapi mempunyai cita-cita yang sangat tinggi untuk berjaya. Joe Girard yang berusia 35 tahun dengan poket kosong ketika itu memasuki sebuah cawangan syarikat kereta Chevrolet di Detroit bandar kecil kelahirannya untuk memohon pekerjaan sebagai jurujual apabila bisnesnya sebagai kontraktor pembinaan gagal.
Walaupun pengurus jualan pengedar Chevrolet tersebut agak keberatan menerima permohonan kerja Joe Girard ketika itu, memandangkan jualan kenderaan pada bulan Januari kebiasaannya agak lembap dan perlahan, Joe Girard terus merayu dan akhirnya diterima bekerja dan terus memulakan tugas sebagai jurujual. Pada lewat petang pada hari pertama bekerja, Joe Girard berjaya menjual satu unit kereta. Ini agak mengejutkan kerana ia adalah hari pertama memohon kerja dan hari yang sama diterima bekerja. Pada bulan pertama, 18 unit kereta berjaya dijual. Kerana Joe Girard terlalu agresif dan proaktif dalam menjual kereta, Joe telah dipecat oleh pengurusnya gara-gara perasaan tidak puas hati rakan-rakan jurujual yang lain.
Sejak itu beliau tahu yang beliau mempunyai bakat menjual yang luar biasa. Selepas dipecat Joe Girard telah memohon kerja di cawangan Chevrolet di Bandar Michigan. Bermula di sana, beliau ingin membuktikan pada dunia yang beliau akan menjadi seorang penjual yang terbaik di dunia dalam penjualan kereta!
Selama 15 tahun Joe Girard berada di tahap terbaik dalam penjualan kereta dan trak di Michigan, beliau telah menjual sebanyak 13,001 buah kereta dan trak serta nama beliau direkodkan di dalam buku Guiness Book of Record sebagai penjual kereta paling banyak dalam tempoh setahun iaitu sebanyak 1,450 unit pada tahun 1973.
Pada awal tahun 2018 rekod tersebut telah dipecahkan oleh seorang jurujual kereta yang lain iaitu Ali Reda, penjual kereta Chevrolet dan Cadillac iaitu sebanyak 1,582 unit setahun pada tahun 2017. Ali Reda mengaku yang mana gurunya dan rujukannya adalah teknik jualan dan buku "How To Sell Anything to Anybody" yang ditulis oleh Joe Girard dan ini memberi beliau inspirasi. Persamaan Ali Reda dan Joe Girard adalah kedua-dua mereka adalah jurujual Chevrolet.
Semasa ditemuramah Joe Girard ditanya apakah teknik jualan yang beliau guna sehingga mendapat pengiktirafan Guiness Book of Record? Jawab Joe Girard. “Saya tak pernah menjual kereta sepanjang hidup saya. Apa yang saya jual adalah Joe Girard”. Joe Girard memastikan dia sentiasa berada dalam minda prospek ketika mereka hendak membeli kereta.
Sepanjang kerjaya Joe Girard, beliau telah menghantar 13 keping kad setiap tahun kepada setiap pelanggan. 1 kad pada setiap bulan dan 1 kad Hari Natal menjadikan kesemuanya 13 kad. Apabila dibuka sampul surat, ungkapan pertama yang akan baca adalah “I LIKE YOU” macam orang bercinta pulak ye!. Di dalamnya pula tertulis “Happy New Year, from Joe Girard”. Itu adalah kad yang dihantar pada bulan January.
Jangan terkejut, sebanyak 13,000 kad dihantar setiap bulan secara manual tanpa sistem autoresponder. Tentulah Joe Girard ada dua orang staf yang membantu. Dengan cara tersebut, Joe Girard telah menempatkan dirinya dalam minda separa sedar setiap pelanggan dan prospeknya.
Teori Girard 250 yang dicipta Joe Girard mengatakan “Sekiranya anda memberikan layanan mesra dan bersikap baik dengan pelanggan anda, mereka akan memberitahu 250 orang kenalan mereka berkenaan kebaikan anda dan begitu juga dengan hal yang negatif. Jadi, apa yang Joe Girard jual selain prestasi? Joe jual akhlak yang baik dengan menyantuni pelanggan.
Terdapat satu peristiwa yang berlaku antara Joe Girard bersama seorang pelanggan yang bernama Dominic. Kisah ini ada ditulis di dalam buku Joe Girard yang memberi impak kepada teknik jualannya menjadi lebih baik iaitu kemahiran mendengar, senyum dan sentiasa menjual impian dan kebahagian.
Satu hari Dominic datang untuk membeli seunit trak. Dominic sememangnya sudah membuat pilihan dan keputusan untuk membeli trak dari Joe Girard. Malangnya setelah beberapa ketika di sana, Dominic berlalu pergi dan tidak mahu menurunkan tandatangannya di atas borang yang Joe Girard hulurkan. Perkara ini menjadi igauan buruk dalam hidup Joe Girard sehingga dia menghubungi Dominic untuk mendapatkan jawapannya.
Setelah menghubungi dan bercakap dengan Dominic, rupanya Joe Girard terlupa dan terleka dengan perbuatannya sehinggakan Dominic terasa dan jauh hati. Hanya kerana Joe tidak memberi perhatian kepada cerita Domimic yang merasa seronok menceritakan kisah kejayaan anaknya!
Bermula dari hari itu, Joe Girard mula memberi penekanan kepada hubungannya dengan pelanggan. Bukan sahaja pelanggan baru, tetapi pelanggan sedia ada. Itulah skill jualan yang ada pada Joe Girard ketika itu yang tidak ada pada salesman yang lain. Skill mendengar, menghargai hubungan, database pelanggan yang lengkap kerana Joe Girard ingin berkongsi impian dan kebahagian bukan dengan hanya seorang tetapi bersama sekeluarga.
https://kliksini.my/4uTV4
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.risiyusoff.com/2022/10/joe-girard-worlds-greatest-salesman.html