Jerryrigeverything Skrin Samsung Galaxy Z Flip Masih Lagi Sejenis Plastik Bukannya Kaca
Samsung Galaxy Z Flip adalah peranti dengan skrin boleh lipat generasi kedua Samsung. Ia bukannya Galaxy Fold kedua, tetapi adalah satu pilihan lain untuk sebuah peranti boleh lipat. Menariknya, Samsung mendakwa ia adalah peranti dengan skrin boleh lipat dengan panel yang diperbuat dari kaca. Tetapi adakah ianya benar-benar sejenis kaca nipis yang boleh lipat?
Seperti biasa, Zack Nelson dari JerryRigEverything gemar menguji ketahanan peranti-peranti baharu. Terkini, Galaxy Z Flip telah menjadi mangsa. Ujian asas yang Zack lakukan adalah ketahanan skrin dari calar. Menurut beliau, skrin kaca atau bahan kaca akan benar-benar calar pada tahap 4 ke atas dalam skala Mohs. Tetapi plastik akan mula calar pada tahap 2 atau 3. Ujian Mohs yang Zack lakukan mendapati, skrin Galaxy Z Flip mula calar pada tahap 2 dan calar adalah lebih dalam pada tahap 3. Ini bermakna, skrin Galaxy Z Flip adalah plastik dan bukannya kaca.
Bukan itu sahaja, dengan menggunakan kuku juga – sudah mula terdapat kesan calar yang serius. Ia adalah seperti Samsung Galaxy Fold, tetapi sedikit lebih tahan lasak. Ujian menggunakan pemetik api pula meninggalkan kesan terbakar, yang mana hanya bahan plastik sahaja akan bertindak sedemikian. Zack yang menguji paparan skrin sebegini sejak Samsung Galaxy S6 (5 tahun pengalaman), tidak dapat mengklasifikasikan bahan pada panel skrin ini. Ia mungkin adalah bahan baharu hibrid antara kaca dan plastik.
Untuk skrin kecil di panel hadapan, ia adalah satu-satunya skrin yang diperbuat dari bahan kaca – kerana calar muncul pada tahap 6.
Syukur, peranti ini masih dikira sebagai peranti dengan skrin boleh lipat tahan lasak. Ini kerana, apabila Zack cuba lipat peranti ini keluar – skrin masih berfungsi. Hanya bezel yang melindungi skrin sahaja yang rosak dan panel kaca belakang sahaja yang retak. Pixel pada skrin juga mula mati, jika terkena benda yang tajam. Sedikit kecewa di situ. Namun, jika terkena habuk atau pasir – peranti tidak akan menjadi masalah kerana Z Flip mempunyai sejenis berus nipis terbina dalam engselnya.
Jadi, bahan apakah yang Samsung gunakan pada skrin Galaxy Z Flip? Apa yang pasti ianya bukan kaca dan pengguna yang percaya dakwaan Samsung akan mengharapkan ketahanan skrin adalah baik. Namun, jika terkena kuku yang tajam juga sudah boleh meninggalkan kesan – adakah ia akan mengubah fikiran kepada bakal pembeli? Apa kata anda?
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://penlawak.blogspot.com/2020/02/jerryrigeverything-skrin-samsung-galaxy.html