Jatuh Basikal
Faisal Tehrani -December 31, 2020
Saya suka mengarang pojok, seperti yang anda sedang bacakan ini. Saya sudah menulis ruangan pojok di majalah dan akhbar sejak beberapa lama, malah saya menulis sejak 1992 iaitu ketika masih di bangku sekolah. Saya juga mencatat secara berkala untuk beberapa penerbitan. Ada majalah dan akhbar yang saya gulati itu bahkan sudah terkorban seperti Detik, Tamadun, dan Dunia Islam, manakala ada yang masih berdenyut seperti Harakah, Eh! dan In-Trend.
Tulisan atau rencana saya itu memang aneka macam. Ada yang mengenai hal-hal kebiasaan hidup seperti dikumpulkan kemudiannya dalam sebuah buku berjudul Kitab Ramalan Hidup (2017) terbitan Dubook. Ada yang lebih sarat politik, agama, seni, dan budaya sepertinya dalam ‘Aku__, Maka Aku Ada’ (2015) juga terbitan Dubook, yang kemudian diwartakan sebagai karya haram oleh Kementerian Dalam Negeri pada 28 September 2017. Pengalaman diharamkan (tujuh kali) itu kisah pahit saya sebagai seorang seniman. Ia jauh lebih menyakitkan dari insiden jatuh basikal.
Saya berkenal-kenal dengan seni pojok menerusi kerja-kerja Salleh Ben Joned, Amir Muhammad, Sheryll Stothard, dan Kam Raslan di News Straits Times, The Sun, Star, dan Men’s Review. Tulisan pojok Amir seperti yang dipenakannya pada 1994 dengan judul “A Khinzir’s Eye View of the World” bukan sahaja menggelikan hati tetapi juga merupakan satu tamparan komedi hitam yang menghiris.
Tulisan Sheryll lebih tajam di mana saya masih ingat beliau menulis pada 1996 mengenai “Law and Order”, sebuah nukilan telus tentang keadilan dan penghakiman. Manakala catatan Kam seperti “3000 Weddings and a Rendang” terbit 1996 sangat sinis. Itu belum lagi catatan Salleh Ben Joned yang menurut saya, setiap satunya adalah kanun, baik pada muatan mahupun bentuk.
Jadi saya dibesarkan oleh tulisan mereka. Kemudian sempat berkawan dengan beberapa orang dari mereka. Itu kisah manis saya sebagai seorang seniman. Ia jauh lebih mendebarkan dari insiden jatuh basikal.
Jika tiada aral, 2021 ini sebuah lagi buku yang menghimpunkan tulisan pojok saya akan diterbitkan oleh Gerak Budaya dengan judul Sastera Adalah Makanan Anjing. Saya percaya ia akan menggemparkan meskipun belum pernah ada lagi satu kerja sastera menjadi lebih geruh atau sensasi dari kejadian jatuh basikal.
Sebahagian besar tulisan puncak saya yang tular dan dibincangkan orang ada termuat dalam Sastera Adalah Makanan Anjing. Saya berani mengatakan ia merakam detak nubari bangsa Malaysia (bukan Melayu sahaja ya) sebelum dan selepas pengkhianatan di Sheraton. Ia adalah rakaman dan rekod tahun-tahun tipu daya, putus asa, kebangkitan rakyat, dan kemudian kembali mandat rakyat dicabul dengan leluasa. Saya layangkan lembaran keluhan nestapa dan sakit saya sebagai seorang seniman. Ia jauh lebih menggeramkan dari insiden jatuh basikal.
Saya sebetulnya bukan sangat ingin memperihalkan mengenai Sastera Adalah Makanan Anjing. Yang saya ingin babadkan adalah perihal tulisan pojok. Gabriel Garcia Marquez penerima Hadiah Nobel 1982 pernah memberitahu pembaca; “Saya tidak mahu dikenang kerana ‘One Hundred Years of Solitude’, apatah lagi kerana Hadiah Nobel, tetapi lebih baik dikenang kerana tulisan saya di surat khabar.”
Padahal “One Hundred Years of Solitude” itu adalah karya fenomenal mendiang. Pun, Marquez lebih mahu dikenang sebagai penulis pojok. Tahun 2019, kumpulan tulisan pojok Marquez yang dihimpun dari akhbar-akhbar El Heraldo (1950), El Spectador dan Cronica (1954), Elite (1957), Momento (1958) dan Revista de Casa de las Americas (1977) diterjemahkan ke bahasa Inggeris dan diterbitkan sebagai koleksi tulisan “The Scandal of the Century and Other Writings”.
Sebetulnya Marquez bermula dengan pojok. Malah Marquez tahu, tidak semua orang betah membaca karya seni seperti novel. Apatah lagi jika novel itu sesukar “One Hundred Years of Solitude”. Akan tetapi, dengan pojok Marquez dapat merakyat. Marquez dapat menyusur ke akar-akar masyarakat. Pojok adalah nyawa setiap sasterawan. Saya bersyukur diberi banyak kesempatan berkincah di pojok. Peluang menulis pojok ini jauh lebih membara dari insiden jatuh basikal. Pojok adalah ibarat berlari maraton.
Saya kira bukan Marquez sahaja tersohor dengan tulisan pojok, atau berkala. Sasterawan dan jurnalis terkemuka Indonesia, Goenawan Mohamad juga berkuku dengan ruangan atau pojok. Itu beliau lakukan di majalah Tempo. Ruangan beliau yang berkepalakan Catatan Pinggir hadir satu halaman, ringkas-padat; dan lebih mempesonakan ia menyuguhkan sasterawi.
Pojok Goenawan itu begitu menggoda dan dengan alat seperti sejarah, seni-budaya, serta kadang-kala agama. Goenawan bebas menghakimi juga memberi pendapat kepada masyarakat, malah penguasa. Jika kita membaca tulisan Goenawan kita akan menemukan beliau menguasai ilmu sosial, atau ilmu kemanusiaan, dengan begitu utuh sekali. Goenawan tidak sekali pernah lelah menitipkan catatannya. Membaca Goenawan menyebabkan kita terlupakan sakit jatuh basikal.
Esei-esei Goenawan yang lebih tajam terdapat bertaburan, dan semua karya eceran itu ada dihimpunkan di sana sini. Antara yang saya miliki ialah himpunan esei beliau dengan tajuk Setelah Revolusi Tak Ada Lagi (2001). Dalam esei Sebuah Catatan Lain saya misalnya belajar menulis seperti Goenawan, kata dia; “Jangan-jangan kita cenderung melupakan bahwa batas rasialisme negara dan rasialisme orang ramai sering kabur, atau, seperti penyakit, saling tular-menular.”
Saya jadi lebih tersihir oleh esei-esei Arundhati Roy seperti ditampilkan dalam “My Seditious Heart” (2019) hadir dengan pelbagai kisah dan ceritera dari benua India. Isi atau muatannya hampir sama yang kita temui di negara ini; iaitu tipu daya, putus asa, kebangkitan rakyat dan kemudian kembali mandat rakyat dicabul dengan leluasa.
Saya juga semakin berpendapat, Roy lebih dikenali dan jauh lebih berwibawa dalam benak pembaca atau masyarakat negaranya menerusi esei dan kadang pojok pendek nukilannya. Dia akan diingati dengan rencana yang menghasut berbanding kisah perit-pahit seperti dalam karya sasteranya “The God of Small Things” dan “The Ministry of Utmost Happiness”. Agenda kiri jauh lebih langsung dan tidak bertapis dalam kerja esei dan pojok Roy. Kita memahami gagasan dan niat luhurnya sebagai pengarang menerusi karya non-fiksinya ini.
Roy boleh mengungkapkan setiap insiden kecelakaan dalam kalangan masyarakat India sehingga kita merasakan peristiwa jatuh basikal dek terperosok lubang begitu enteng.
Esei atau tulisan kontot yang dihimpunkan dalam “Sastera Adalah Makanan Anjing” ada yang merupakan karya paling diingati di portal ini, iaitu di Free Malaysia Today di mana antara lain diketengahkan semula tulisan seperti Jawi, dan Maruku Ikan Popo Thien Cheong, Awang Selamat Mati Tersenyum Kambing, Cina Gemuk Belakang Rumah, dan Kami Mahu Negarawan, Bukan Abah. Bezanya kali ini, tulisan pojok saya ini telah mengalami satu proses pengarcaan, di mana kurator atau editor yang baik di rumah penerbitan Gerak Budaya telah mengkategorikan, memberikan ia tema, serta menyuluh dengan lebih teratur gagasan dan idea-idea saya sejak kebelakangan ini.
Terima kasih pembaca kerana mengekori saya di kolum. Penguasa hari ini bisa mengharamkan semua novel saya, tetapi jangan ambil pojok daripada saya, dengan pojok saya dapat menjadi bendera negara ini. Sebagai bendera, kita berkobar justeru berkibar lagi dihormati.
Buat masa ini, sehingga hari ini, Sastera Adalah Makanan Anjing amat mewakili siapa saya, dan watak penulisan saya. Ia bukan sekadar rakaman rasa dan resah, tetapi juga detak keperluan memahami sejarah, menyanggah feudalisme yang sakit, memberi rasio kepada kehidupan beragama dan memuhasabah iklim politik mahupun seni. Saya berusaha mendatangkannya dengan penuh sasterawi dan inderawi.
Saya yakin kesaktian membaca Sastera Adalah Makanan Anjing kelak akan jauh lebih memuaskan berbanding pengalaman seseorang itu jatuh basikal. Demikian saya memasuki 2021, dengan harapan dan keinginan yang menggebu-gebu. Saya ingin sekali, menerusi Sastera Adalah Makanan Anjing untuk menawarkan kemanusiaan kepada manusia. Saya tahu itu susah sekali, kerana manusia hari ini sudah berwatak anjing belaka.
Pun, siapa tahu sastera dapat memujarabkan manusia supaya lebih manusiawi, dan supaya manusiawi lebih dimengerti.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2020/12/jatuh-basikal.html