Jangan Keliru Kita Masih Di Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara
AENDA DAILY	 								 								 											

Seorang wanita kelihatan bercakap dengan anggota tentera di Perumahan Awam Desa Rejang. – Gambar Agenda  						
									 							 					 						Tiga indikator nilai ambang utama dalam Fasa Pertama Pelan  Pemulihan Negara (PPN) belum tercapai, kata Menteri Kanan (Keselamatan),  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sambil mengingatkan orang ramai supaya tidak keliru, beliau berkata  peralihan fasa dalam PPN tidak bergantung kepada satu-satu tarikh dan  negara sekarang ini masih pada Fasa Pertama PPN.
Tiga indikator adalah keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti  berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan  awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU)  dan tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap  menerima dua dos suntikan vaksin.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin sebelum ini memaklumkan  peralihan daripada fasa pertama kepada fasa kedua dibuat selepas purata  kes harian Covid-19 turun di bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam  tidak lagi berada pada peringkat kritikal dan 10 peratus populasi sudah  menerima dua dos suntikan vaksin.
“Masih ramai keliru dan menganggap kita telah beralih ke fasa dua.  Perlu ditegaskan bahawa kita masih berada dalam fasa satu. Peralihan  fasa dalam PPN tidak bergantung kepada satu-satu tarikh. Jika kita sudah  mencapai tiga nilai ambang dalam tempoh singkat, maka peralihan fasa  seterusnya akan dilaksanakan secepat mungkin. 
“Justeru, saya berharap kita bersama-sama mematuhi prosedur operasi  standard (SOP) bagi melandaikan lengkuk kes Covid-19, sekali gus  membolehkan ketiga-tiga indikator itu dicapai dalam masa terdekat,” kata  Ismail Sabri dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama beliau berkata, 600 individu ditahan semalam atas  kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP), dengan 592 individu  dikompaun manakala lapan lagi direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah individu gagal merekod butiran  diri/daftar masuk premis, sebanyak 136, tiada penjarakan fizikal (125),  Rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis (104), tidak  memakai pelitup muka (96), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (70),  membawa penumpang berlebihan (30), premis gagal patuhi arahan (12) dan  lain-lain, 27,” katanya.
Mengenai pemantauan dan penguatkuasaan SOP di sektor perkilangan dan  premis perniagaan semalam, beliau berkata hanya satu premis diarahkan  tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP daripada 1,867  pemeriksaan dijalankan ke atas kilang dan 11,316 premis perniagaan.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/06/jangan-keliru-kita-masih-di-fasa.html