Isteri Atiq Azman Hamil Anak Sulung Bimbang Kandungan Luar Rahim
“Alhamdulillah, Allah pinjamkan satu nyawa kecil dalam rahim isteri saya…”
Hati mana yang tak berbunga bila dapat tahu isteri hamil anak sulung? Itulah perasaan yang dialami pelakon popular, Atiq Azman, namun di sebalik kegembiraan itu, terselit juga rasa cemas yang sukar digambarkan apabila doktor pernah mengesyaki kandungan isterinya, Alia Natasha, berisiko luar rahim.
“Beberapa hari lepas hati kami diuji dengan ketakutan…” luah Atiq jujur dalam perkongsian di laman sosial miliknya.
Dugaan Awal Kehamilan, Hati Pasangan Ini Hampir Luruh
Menurut Atiq atau nama penuhnya Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah, 25, semuanya bermula apabila isterinya, Alia, melakukan beberapa ujian kehamilan sendiri. Ada masa keputusan menunjukkan satu garisan, ada masa samar-samar. Mana-mana pasangan yang pernah lalui fasa ini pasti faham rasa berdebar yang mereka tanggung.
“Bila isteri saya buat ujian tu, ada masa satu line, kadang-kadang samar je. Kami jadi takut, terus cepat-cepat ke klinik untuk kepastian,” kongsi Atiq yang berkahwin dengan Alia pada 21 Februari lalu di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan.
Namun, sebaik sahaja bertemu doktor, kegembiraan mereka seakan-akan terhenti seketika apabila doktor menyatakan ada kemungkinan kandungan itu luar rahim. Bayangkanlah, dalam hati tengah teruja bakal bergelar ibu dan ayah, tiba-tiba dihujani berita yang cukup meresahkan.
“Jujur, jiwa kami hilang arah dan hanya mampu berdoa serta berharap…” luahnya penuh emosi.
Akhirnya, Berita Gembira Buat Pasangan Ini
Selepas beberapa hari yang penuh debaran, Allah SWT tunjukkan kasih sayang-Nya. Pemeriksaan lanjut mengesahkan kandungan Alia berada dalam keadaan normal dan selamat di dalam rahim.
“Hari ini Allah tunjukkan kasih sayang-Nya. Alhamdulillah kandungan normal. Kami bakal jadi ibu dan ayah. Terima kasih Allah untuk satu nyawa yang kami pernah takut kehilangan sebelum sempat kami peluk,” tulis Atiq sambil berkongsi video momen indah mereka di klinik.
Dalam video yang dimuat naik itu, jelas kelihatan raut wajah syukur dan sebak Atiq yang tidak dapat menahan air mata apabila doktor mengesahkan isterinya kini benar-benar hamil dan kandungan dalam keadaan baik.
Risiko Kandungan Luar Rahim, Ibu-Ibu Wajib Peka
Untuk pengetahuan pembaca Pa&Ma, kandungan luar rahim atau ectopic pregnancy adalah keadaan serius di mana janin melekat di luar rahim, selalunya di saluran fallopio. Ini boleh membawa komplikasi berbahaya jika tidak dirawat segera.
Tanda-tanda awal yang ibu-ibu perlu beri perhatian:
✅ Sakit perut sebelah yang kuat dan berpanjangan
✅ Pendarahan luar biasa atau spotting
✅ Rasa pening, lemah atau hampir pitam
✅ Bahu berasa sakit (tanda pendarahan dalaman serius)
Jika ada simptom-simptom ini, cepat-cepatlah ke hospital, ya ibu-ibu. Usah ambil mudah.
Doa & Harapan Buat Atiq dan Alia
Pa&Ma yakin, ramai pasangan pernah melalui detik cemas sebegini, namun percayalah setiap ujian Allah itu penuh hikmah. Apa yang penting, jangan putus asa, sentiasa berdoa dan ikhtiar mendapatkan rawatan terbaik.
Buat Atiq dan isteri tersayang, Alia Natasha, tahniah diucapkan atas bakal kehadiran cahaya mata sulung. Semoga Alia terus sihat sepanjang kehamilan dan bayi dalam kandungan membesar dengan sempurna, insya-Allah.
The post Isteri Atiq Azman Hamil Anak Sulung, Bimbang Kandungan Luar Rahim appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/isteri-atiq-azman-hamil-anak-sulung-bimbang-kandungan-luar-rahim/