Inilah Doa Yang Kerap Dibaca Oleh Nabi Muhammad Selepas Solat
Apabila kita melihat hadis atau dalil-dalil sahih yang dicatatkan, pasti ada disebutkan mengenai anjuran berdoa.
Ada yang menyebutkan bahawa Nabi Muhammad SAW sentiasa menyuruh sahabat-sahabatnya berdoa dengan doa yang pelbagai seperti doa untuk istiqamah berada di jalan Allah, doa untuk menzahirkan rasa syukur, doa untuk dilindungi daripada bahaya dan malapetaka serta banyak lagi.
Doa-doa yang ditinggalkan inilah yang sentiasa menemani kita setiap hari dan menjadi panduan untuk menjalani kehidupan ini.
Namun, dalam banyak-banyak doa, pernahkah anda tertanya, apa agaknya doa yang paling kerap dibaca oleh Baginda SAW?
Ada sebuah doa yang sering dibaca oleh Baginda dan tidak pernah ditinggalkan setiap kali berdoa terutamanya selepas menunaikan solat.
Dari Anas RA, beliau berkata:
كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksud: “Doa Nabi SAW yang paling sering diucapkan ialah اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (Ya Allah, ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa api neraka.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 6389)
Hadis ini dinukilkan sahih oleh jumhur ulama kerana mempunyai sanad yang thiqah (dipercayai).
Jika kita mengamati, sebenarnya doa ini sering dibaca pada penghujung doa-doa yang sering kita ungkapkan.
Imam Muslim menyebut dalam riwayatnya yang bermaksud:
“Apabila Anas hendak berdoa dengan satu doa, maka dia berdoa dengan doa tersebut. Apabila dia hendak berdoa dengan banyak doa, maka dia akan menyertakan doa tersebut di dalamnya.”
Maksud doa ini adalah menyeluruh, iaitu meminta perlindungan Allah bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat.
Justeru, setiap kali berdoa, selitkanlah doa ini dalam doa anda agar Allah sentiasa memberi perlindungan kepada anda dan dalam masa yang sama anda juga boleh mengamalkan sunnah.
Wallahu a’alam.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan via tzkrh.com
The post Inilah Doa Yang Kerap Dibaca Oleh Nabi Muhammad Selepas Solat appeared first on Islam Itu Indah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.islamituindah.my/inilah-doa-yang-kerap-dibaca-oleh-nabi-muhammad-selepas-solat/