Ibu Tunggal Rugi Hampir Rm400 000 Ditipu Suami Facebook
Seorang ibu tunggal enggan menerima hakikat bahawa dirinya diperdayakan oleh seorang lelaki asing dalam sindiket ‘love scam’ meskipun telah berhabisan duit sebanyak RM380,000 semata-mata untuk menyelamatkan suspek yang sudah dianggap sebagai ‘suami’.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Miss Lee, 50, berkata dia mengenali ‘suaminya’ itu bernama Kenneth Cheung sejak Oktober tahun lepas melalui laman sosial Facebook namun tidak pernah bersemuka dengan suspek.
“Dia (suspek) berjanji untuk menghantar hadiah berupa cincin, gelang, baju dalam, berlian, jam tangan dan dua Iphone berjumlah kira-kira RM800 juta…tetapi pada 6 Nov tahun lepas, seorang ejen kastam telah menghubungi saya memaklumkan suami saya bersama barangan itu telah ditahan dan memerlukan saya membayar sejumlah wang untuk melepas barangan berkenaan.
“Jadi, saya telah memasukkan wang ke dalam beberapa akaun bermula pada hari itu hingga 4 Dis lepas dengan jumlah sebanyak RM380,000. Duit itu saya peroleh dengan menjual rumah saya di Kota Masai, Pasir Gudang dan menggunakan duit simpanan,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Stulang di sini, hari ini.
Miss Lee berkata dia tidak percaya lelaki itu menipunya kerana pernah membuat panggilan video ketika suaminya ditahan dan melihat keadaannya semakin kurus kononnya tidak diberi makan oleh ejen terlibat, selain rambutnya sudah panjang.
“Saya harap mereka (ejen) dapat kembalikan suami saya dan hadiah itu kepada saya,” katanya yang kini tinggal bersama adiknya di Taman Scientex, di sini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang Andrew Chen Kah Eng berkata pihaknya sudah membuat laporan polis di Balai Polis Seri Alam setelah mangsa datang ke pejabatnya untuk memohon pertolongan.
“Saya diberitahu bahawa polis mengklasifikasikan kes ini sebagai ‘love scam’ dan diharapkan masyarakat lebih berhati-hati dalam kes seperti ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Ismail Dollah yang dihubungi Bernama mengesahkan ada menerima laporan terbabit dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sumber: Bernama
The post Ibu Tunggal Rugi Hampir RM400,000 Ditipu ‘Suami’ Facebook appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2019/12/10/ibu-tunggal-rugi-hampir-rm400000-ditipu-suami-facebook/