Hilang Ketika Tunggu Bas Lenyap Depan Rumah Benarkah Kehilangan Song Sheng Zulaiha Dan Acap Berkait Dengan Alam Ghaib
Hilang Ketika Tunggu Bas, Lenyap Depan Rumah, Benarkah Kehilangan Song Sheng, Zulaiha Dan Acap Berkait Dengan Alam Ghaib? Misteri kehilangan beberapa orang yang belum terungkai sehingga sekarang melibatkan Song Sheng yang telah hilang sejak tahun 1996 dan Zuhaila yang hilang di bawah pokok jambu pada tahun 1998. Terbaru, misteri kehilangan Acap di Gua Tempurung menambahkan lagi persoalan orang ramai mengenai alam ghaib ini. Status keberadaan mereka masih belum dapat dipastikan.
Rata-rata orang berpendapat mereka ini telah dibawa masuk ke dalam alam lain. Mengimbau kembali kejadian-kejadian yang berlaku ini, Zulkarnain Zakaria menerusi postingnya di Facebook menceritakan serba sedikit kejadian yang menimpa ketiga-tiga rakyat Malaysia ini.
GHAIB: Acap, Song Sheng, Zulaiha
========================
Anda ingat lagikah pada Ting Song Sheng? Kalau anda masih ingat, ingin saya beritahu, kalau Song Sheng masih hidup, usianya kini 33 tahun. Namun sampai sekarang, Song Sheng yang hilang pada 15 Januari 1996, masih tidak ditemui. Di mana dia?
Kepada yang tidak tahu, atau sudah lupa, ingin saya ceritakan, Song Sheng hilang ketika menunggu bas di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina), Taman Rasah, Klang untuk pulang ke rumahnya. Ada pihak mendakwa dia telah dilarikan sindiket lalu dijadikan pengemis di Thailand. Tapi kalau benar, mengapa sampai sekarang pihak berkuasa negara berkenaan gagal mengesannya?
Berhabis Wang
Gan Kim Choo dan isterinya, Tin Kuwi Diun telah menghabiskan wang sebanyak RM40,000 untuk mencari Song Sheng, termasuk menggunakan khidmat 80 orang bomoh, namun semuanya hampa.
Apa sebenarnya yang berlaku kepada Song Sheng? Ada yang berteori mengatakan dia telah dibawa ke alam lain. Pelik, bukan.
Kehilangan Song Sheng memang misteri, tapi kes kehilangan seorang kanak-kanak bernama Zulaiha Muhamad di Kampung Gantuk, Mentakab, Pahang, pada 28 November 1998 lebih pelik.
Bermain Dengan Adik
Ketika kejadian umur Zulaiha enam tahun. Pagi itu Zulaiha bermain dengan adiknya, Muhamad Nur Rahman, di bawah pokok jambu mawar di halaman rumahnya. Umur Muhamad Nur 2 setengah tahun. Ibu mereka, Kamariyana Osman pula sibuk menyapu sampah.
Oleh kerana sakit perut, Kamariyana tinggalkan mereka dan pergi ke tandas. Namun sekembalinya ke halaman, Kamariyana dapati Zulaiha tiada.
Mana Hilangnya Zulaiha
Ke mana hilangnya Zulaiha? Muhammad Nur berlari datang dari balik sebatang pokok sambil menjerit-jerit. Dia menangis dan memberitahu bahawa kakaknya itu jatuh di pangkal pokok jambu tersebut.
Kalau setakat jatuh, mengapa Zulaiha tiada di situ? Muhamad Nur tidak dapat berikan jawapan. Kamariayana mencari di sekeliling pokok itu, hampa.
Usaha mencari dilakukan segera. Pihak polis menghantar anjing pengesan, beberapa buah bot dan helikopter untuk menyusuri Sungai Semantan yang terletak 200 meter dari rumah Kamariyana. Namun Zulaiha tidak ditemui. Selepas lebih hampir dua minggu berusaha, operasi itu dihentikan.
Bagaimana Zulaiha boleh ghaib dalam waktu yang begitu cepat? Ada yang mengatakan Zulaiha pergi ke Sungai Semantan dan lemas. Kalau benar begitu, kenapa tiada seorang jiran pun yang nampak sedangkan Zulaiha memerlukan kira-kira 10 minit untuk ke sana. Tambahan pula Zulaiha tidak pernah pergi ke sungai tersebut. Kalau dia ke situ, tentulah bersama Muhamad Nur.
Dia lemas di sungai? Kalau benar, kenapa tidak ada kesan tapak kaki, seliparnya mahupun kesan tergelincir di tebing sungai? Mengapa mayatnya tidak dijumpai? Pihak polis sendiri dalam siasatan mereka menafikan Zulaiha pergi ke Sungai Semantan.
Dia diculik? Soalnya, mengapa ramai jiran yang pagi itu berbual dan mengemas halaman tidak melihat kejadian tersebut. Juga tidak kedengaran langsung suara jeritan, raungan atau kesan pergelutan.
Kedua, kenapa Muhamad Nur tidak diculik sekali? Muhamad Nur malah tidak memberitahu pun ada orang membawa Zulaiha pergi.
Andaian yang tinggal ialah; Ada pihak mengatakan, Zulaiha telah dibawa ke alam lain. Dia telah disedut masuk ke dunia ghaib oleh makhluk halus yang tinggal di pangkal pokok jambu mawar!
Pelik, bukan? Tidak masuk akal. Saya pun sukar hendak terima. Tapi nanti dulu, kita dengar cerita bapanya.
Kata Muhamad Petah, berlaku kejadian-kejadian pelik sebelum Zulaiha hilang. Pertama, anaknya, Siti Rofeah pernah terhidu bau wangi di pangkal pokok tersebut dan bau itu melekat pada badannya selama beberapa hari.
Esoknya, seekor kucing mereka enggan masuk ke rumah dan hanya mahu tidur di bawah pokok berkenaan. Seorang bomoh yang cuba mencari Zulaiha pula tiba-tiba berasa tubuhnya bagaikan ditarik oleh suatu kuasa ghaib ke arah pangkal pokok jambu itu. Puas dia mengelak hingga tubuhnya terpelanting.
Tidak Temui
Bomoh itu percaya, di situlah tempatnya Zulaiha ditarik masuk ke alam ghaib yang tidak dapat kita lihat dengan mata kasar.
Pelik? Misteri? Atau anda rasa semua ini karut?
Sudah 21 tahun Zulaiha ghaib. Adakah sesiapa di kalangan anda yang tahu kisah terbaru mengenai Zulaiha? Kalau ada, kongsilah dengan saya.
Dalam masa yang sama, sudah hampir dua bulan Acap hilang di Gua Tempurung. Adakah Acap juga seperti Zulaiha, disedut masuk ke alam lain? Ada sesiapa yang tahu kisah terbaru mengenai Acap?
Saya ada pandangan. Tapi nantilah. Selepas ini saya akan sambung dengan cerita lain pula yang lebih aneh dan mungkin dapat membantu kita memahami alam ini.
Jumpa lagi…
Sumber: Zulkarnain Zakaria
The post Hilang Ketika Tunggu Bas, Lenyap Depan Rumah, Benarkah Kehilangan Song Sheng, Zulaiha Dan Acap Berkait Dengan Alam Ghaib? appeared first on .
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.apakes.com/hilang-ketika-tunggu-bas-lenyap-depan-rumah-benarkah-kehilangan-song-sheng-zulaiha-dan-acap-berkait-dengan-alam-ghaib/