Henti Polemik Kerajaan Perpaduan Di Johor Dap
October 2024
DAP tidak pernah meminta penubuhan Kerajaan
Perpaduan di Johor, apatah lagi mengemis sebarang jawatan dalam kerajaan negeri
itu.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata DAP
menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar Shah yang menitahkan
tiada pembangkang di Johor sebaliknya hanya ada wakil pengimbang.
“DAP tak akan minta untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan di negeri
Johor, kita selesa, kita memainkan peranan dan menjadi pengimbang kepada negeri
Johor.
“BN menang 40 kerusi, PH ketika itu lawan BN menang 12 kerusi
tambah satu kerusi Muda, PN menang tiga kerusi. Jadi BN dengan selesa boleh
menubuhkan kerajaan di Johor dengan majoriti yang kuat. Itu hakikat yang kita
terima.
“Jadi, saya nak menyatakan pandangan dan pendirian DAP bahawa DAP
tidak pernah dan tidak akan mengemis jawatan kerajaan,” katanya ketika berucap
merasmikan Konvensyen Biasa DAP Johor, di Johor, hari ini.
Sebelum ini, beberapa pihak dalam PH termasuk Amanah terus mendesak
supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Johor susulan kemenangan BN pada
Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, dua minggu lalu.
Cadangan itu menerima reaksi beberapa pemimpin BN, termasuk Ketua
Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh yang kemudiannya menimbulkan polemik berterusan
antara PH dan BN.
Mengulas lanjut, Loke berkata polemik kononnya PH Johor mahu
kerajaan Perpaduan ditubuhkan perlu dihentikan.
Katanya dia juga telah memaklumkan kepada Liew Chin Tong yang juga
Pengerusi DAP Johor sejak tahun lalu supaya perkara itu tidak dibincangkan.
“Kepada rakan-rakan Umno, pendirian kita jelas, DAP bukan jenis
nak mengemis jawatan. Kita nak berada dalam kerajaan, kita lawan dalam pilihan
raya, menang dalam pilihan raya, malah apa yang patut kita wakili, kita wakili.
“Itu sebabnya untuk di Johor, nasihat saya untuk ahli-ahli kita
bersabar, kita mainkan peranan kita sebagai wakil rakyat, sebagai ADUN, kita
berkhidmat dan pastikan kita kuat. Kita menang balik sokongan rakyat, kita
pertahankan setiap kerusi kita dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Mengulas kerjasama antara PH dan BN Johor dalam pilihan raya umum
dan PRN16 akan datang, Loke berkata, ia akan dibincangkan bila tiba masanya.
“Soal pilihan raya umum depan, nak bekerjasama apa, apa caranya,
apa modelnya kita akan bincang di peringkat pusat.
“Tak perlu bimbang, tak perlu gusar. Tanggungjawab pemimpin DAP
Johor buat kerja betul-betul, berkhidmat kepada rakyat, jaga kawasan baik-baik,
jaga kawasan kita sehingga kita menang balik semua kawasan kita. Ini mesej yang
saya nak sampaikan,” katanya.
Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/721707
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2024/10/henti-polemik-kerajaan-perpaduan-di.html