Hari Raya Bon Odori
Jikalau kita melihatkan sambutan Hari Raya, yang merupakan keraian agama Islam selepas sebulan berpuasa, kita akan dapati perayaan ini sudah cair aspek agamanya dan lebih tepu unsur adat budayanya. Mungkin yang sifatnya masih agama hanya pada sembahyang hari raya di masjid.
Selebihnya pesta-pestaan raya itu sudah diserapi resapan-resapan Melayu malah dalam banyak keadaan dimodenkan. Hari Raya kini juga disambut oleh bangsa dan penganut agama lain dan telah menjadi satu hari atau bulan untuk menyatukan sanak saudara, tetangga jiran, dan seisi masyarakat.
Demikianlah pesta Bon Odori yang sudah diraikan di Selangor banyak kali itu. Di Jepun, Bon Odori yang tuanya melampaui 500 tahun, ia sudah berubah dikit-dikit dari sifatnya yang keagamaan menjadi sesuatu yang lebih umum dan kemeriahan. Ia berguna untuk menyukakan ahli keluarga dan kawan-kawan.
Maka apabila jalur agamawan ekstrem melalut dan terburu-buru mengharamkannya, kita jadi kehairanan. Ini kerana sudah hilangkah aspek manusiawi pada diri kita yang inginkan kerehatan dan hiburan, iaitu sifat alamiah yang memberikan ruang untuk diri sendiri melepaskan lelah, bersenang, bersuka, meraikan, dan bertemu individu lain dalam masyarakat.
Mengapa ada agamawan yang nampaknya mahu menyekat bahagian diri kita sebagai insan yang kadang-kala memerlukan kedamaian, kerehatan, hiburan, dan kepestaan? Apakah mereka mahu kita menjadi unta dicucuk hidung semuanya?
Jika mereka berani menghalang Bon Odori, digeruni kelak mereka akan berlebih terhadap Diwali, Natal, Gong Xi Fa Cai, Kaamatan, dan Vaisakhi; kerana bukan susah untuk mereka mencari alasan seperti perayaan anu dan anu itu menjejaskan akidah.
Perayaan Bon Odori memang asalnya mengenai nazar untuk melepaskan seorang ibu yang menjadi korban hantu (semangat atau saka?) atas titah Buddha. Tetapi nazar dan serahan untuk Buddha itu kian mengalami perubahan, sehingga ia menjadi satu acara tahunan yang penuh kerehatan dan keramaian.
Justeru boleh difahami betapa hampanya hati Istana Selangor bahawa Program Bon Odori di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic) yang dijangka diadakan pada 16hb Julai 2022 itu nampaknya sewenang-wenang telah dipermasalahkan.
Padahal ia bukan masalah pun. Padahal ia sudah berlangsung banyak kali. Padahal ia acara meraikan pekerja syarikat, firma, dan kilang milik Jepun di negeri ini. Jika kita biarkan Selangor ini dibaham dan dibahan agamawan jalur keras dan tiada kefahaman manusiawi ini, lama-kelamaan kita akan ikut kehilangan pelabur Jepun yang begitu banyak menyumbang.
Oleh demikian tindakan Sultan Selangor menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor tidak mengambil pendirian dan sikap menyekat program tersebut daripada terus dijalankan serta tidak akan menghalang mana-mana individu menghadirinya adalah titah saran yang waras, bijak, sederhana dan amaran lembut untuk para agamawan yang berkenaan bahawa bukan semua urusan berputar mengikut telapak rehal mereka.
Apa yang ditegur oleh Tuanku bahawa baginda tidak berkenan apa-apa keputusan atau ketetapan tentang perkara seumpama Bon Odori ini disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian yang mendalam itu sangat munasabah. Kita mendapati negara telah mengalami kemunduran dari segi kekayaan budaya di tangan agamawan yang cuai dan tergesa ini.
Pendirian Sultan Selangor bahawa “banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada di dalam budaya” adalah sesuatu yang sangat adil dan merupakan sikap pelbagai mazhab dalam Islam, kecuali fahaman Wahabi yang memang anti melihat orang bersenang-lenang dan mengalami kerehatan.
Tulisan ini bukan berniat mensorakkan juak-juak Jakim, tidak sama sekali, tetapi tulisan ini merupakan satu oda untuk Sultan Selangor yang juga bertegas bahawa mengamalkan sesuatu perkara berbeza dengan perbuatan melihat. Tambah baginda, jika akidah umat Islam kuat dan benar, ia akan mengenepikan sebarang iktikad dan amalan yang bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Di sinilah petua yang baik untuk kita berpegang, yakni “mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat”. Selangor adalah pusat tumpuan pelbagai manusia dengan kepercayaan dan budaya berbeza. Selangor juga tempat mukimnya macam-macam agama dari Sikh, Buddha Siam, Kristian pelbagai jalur sehinggalah menjadi tempat huni umat Islam pelbagai mazhab dan cara fikir, termasuk kalangan Ahmadiah, Bohra, dan Syiah.
Apabila tuanku menyeru agar ‘bersikap adil dalam membuat keputusan dan menentukan sesuatu kedudukan, ditambah dengan kehidupan bermasyarakat dan kepercayaan yang pelbagai di Selangor’; kita percaya baginda juga akan meneruskan petua dan sikap yang sama untuk semua rakyat baginda, yang terdiri daripada pelbagai kepercayaan tadi. Bak kata Tuanku, “mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat”.
Seperkara yang lebih seru ialah apabila baginda menitahkan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke majlis tersebut bagi melihat sendiri apa yang berlaku dalam program Bon Odori. Diharap kaedah “melihat sendiri apa yang berlaku” ini akan turut terpakai dalam acara seperti Jalsa Salana mahupun Asyura kelak.
Tentu sahaja pengalaman Tuanku Sultan Selangor yang pernah menghadiri Bon Odori beberapa tahun lalu dan tidak melihat sebarang perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam, melainkan satu program sosial pekerja industri milik syarikat Jepun yang banyak di Selangor ini terpakai untuk acara budaya lain.
Titah Tuanku perihal hari raya Bon Odori pasti bermakna sekali, dan berkali-kali di masa mendatang. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2022/06/hari-raya-bon-odori.html