Haid Tak Putus 21 Hari Apa Pandangan Islam Mengenainya
Ada satu permasalahan, iaitu seperti berikut;
Soalan :
Haid tak putus sampai 21 hari, lalu dia tak solat sebab tak putus haid lagi. Apa pandangan Islam mengenainya?
Jawapan:
Haid merupakan tanda baligh yang semulajadi bagi seseorang wanita. Ianya bermula dalam lingkungan umur sembilan tahun ke atas dan berakhir dengan Iyas (putus haid).
Haid dari segi bahasa ialah (السيلان) yang memberi makna mengalir.
Manakala dari segi syarak pula ialah darah semulajadi yang keluar daripada kemaluan wanita ketika badannya dalam keadaan sihat dalam tempoh-tempoh yang tertentu.
Dalam Mazhab Syafie, tempoh minimum bagi haid adalah sehari semalam (24 jam). Manakala tempoh maksimum bagi haid adalah selama 15 hari.
Kalau darah yang keluar selepas daripada itu, maka ia dihukum sebagai darah istihadah atau darah yang berpenyakit. Darah haid ialah darah yang normal bagi seorang wanita kalau ia keluar ikut tempohnya.
Bila seseorang menyedari bahawa darah yang keluar bukan lagi darah haid tapi darah istihadah, ia hendaklah mandi wajib dan mengerjakan solat sebagaimana wanita yang suci. Ia juga tak wajib menggantikan semula solat yang telah ditinggalkan pada tempoh itu.
Kalau dia mendapati bahawa darah masih lagi keluar, ia hendaklah mematuhi peraturan berikut setiap kali hendak mengerjakan solat:
Kalau darah itu keluar tak berterusan yakni pada ketika-ketika tertentu saja, ia hendaklah menunggu ketika darah berhenti, kemudian bersuci dengan membersihkan faraj terlebih dahulu, kemudian mengambil wuduk dan menunaikan solat.Kalau darah keluar berterusan, ia hendaklah melaksanakan kaedah bersuci sebagaimana berikut:Menunggu waktu solat masuk terlebih dahulu. Wanita istihadah (dan begitu juga orang yang menghidap kencing tak lawas atau masalah seumpamanya) tak harus mengambil wuduk kecuali bila waktu telah masuk kerana toharahnya adalah toharah darurat.Mulai dengan membasuh faraj dengan sempurna.Setelah itu hendaklah ia membalut faraj dengan kain, tuala wanita atau sebagainya untuk membendung darah dari mengalir keluar ketika solat.Kemudian, ia hendaklah segera mengambil wuduk.Ketika mengambil wuduk, ia hendaklah berniat untuk membolehkan solat, bacaan al-Quran atau ibadah-ibadah lain yang disyaratkan wuduk. Contohnya niatkan di dalam hati: “Sahaja aku mengambil wuduk untuk solat kerana Allah Taala”. Tak harus semasa mengambil wuduk ia berniat untuk mengangkat hadas kerana hadas tak akan terangkat selama darah terus mengalir keluar dari faraj kerana perkara tersebut membatalkan wuduk.Setelah selesai wuduk, ia hendaklah segera menunaikan solat tanpa menangguh lagi.Kalau semasa solat itu darah masih keluar, tidak perlulah ia berhenti dari solat, sebaliknya teruskan solat kerana ia dimaafkan disebabkan keuzuran yang ia alami.
Kesimpulannya, darah haid keluar melebihi 15 hari adalah darah istihadah dan perlu kepada pemeriksaan pakar dengan segera.
Ini bertujuan untuk mengetahui dan menjalankan pengesanan awal kalau berlaku sebarang masalah lain. Jadi, adalah wajib bagi wanita tersebut untuk menunaikan solat sekalipun ada darah yang masih keluar.
Moga bermanfaat.
Kredit Penulis Asal.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ciklapunyabelog.blogspot.com/2023/08/haid-tak-putus-21-hari-apa-pandangan.html