Gadai Hutan Kerana Royalti Buktikan Pemimpin Pas Murahan
PETALING JAYA: Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA) berkata pemimpin PAS Kelantan merupakan pemimpin murahan dan sanggup menggadai masa depan negeri itu hanya kerana tidak mendapat royalti minyak.
PEKA berkata demikian sehari selepas kerajaan Kelantan mengatakan kegiatan pembalakan di negeri itu tidak boleh dihentikan selagi Putrajaya tidak menyerahkan wang royalti minyak seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Presiden PEKA Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, kenyataan tersebut seolah-olah menunjukkan kerajaan negeri pimpinan PAS itu tidak menghormati ciptaan Tuhan.
Katanya, kenyataan itu juga menonjolkan pemikiran PAS yang sempit dan dan tidak mahu memikirkan alternatif bagi mencari sumber kewangan dan peruntukan untuk membangunkan negeri tersebut.
“Kalau pemimpin bijak dan telus serta berfikiran waras, beliau akan cari jalan lain. Cara untuk menjana ekonomi negeri seperti eko pelancongan, pelancongan budaya (cultural tourism) dan membangun sektor agrikultur yang bersifat mesra alam sekitar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Kelantan bersedia menghentikan aktiviti pembalakan jika pembayaran royalti minyak diberikan kepada negeri itu.
Katanya, pembayaran berkenaan dianggarkan bernilai RM700 juta setahun jauh lebih mencukupi untuk pembangunan Kelantan berbanding RM100 juta setahun hasil daripada aktiviti pembalakan.
“Antara punca kita tebang balak kerana hasil negeri terhad. Kalau dapat royalti seperti mana yang sepatutnya, kita mungkin boleh berhenti terus tebang balak, tidak payah buat dah, sebab royalti RM500 juta hingga RM700 juta setahun dapat selesaikan masalah, jadi Orang Asli juga tidak terganggu,” katanya.
Terdahulu, buat pertama kali dalam sejarah, Putrajaya memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan kerana dianggap tidak membela nasib masyarakat Orang Asli di negeri itu.
Dalam pada itu, Sabrina turut mempersoalkan kredibiliti PAS untuk menerima wang royalti minyak.
“Pelantar minyak melebihi 12 batu nautika tidak boleh dituntut oleh mana-mana kerajaan negeri. Ia milik kerajaan persekutuan dan pelantar Petronas di Kelantan, semuanya berjarak 100 batu nautika dari jarak surut laut,” katanya.
Beliau tidak dapat menahan rasa kesal terhadap kerajaan negeri itu dengan berkata, Kelantan tidak akan maju jika ia tidak tahu menilai khazanah alam yang dikurniakan kepada mereka.
“Tapi sedihnya muka bumi Kelantan telah dimusnahkan dengan teruk sekali. Hutan yang hampir habis, sungai yang rosak menyebakan banjir selalu berlaku.
“Sesebuah kerajaan itu tidak akan maju dan berkat, kalau pemimpinnya tidak tahu menilai khazanah alam yang diberikan,” kata beliau. #sumberhttp://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2019/01/gadai-hutan-kerana-royalti-buktikan.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+blogspot%2FLWFdy+%28Pahang+Daily+Online%29