Evangelis Perlu Ditangani Secara Konsisten
harakahdaily.net
March 1, 2025

PERTUBUHAN Ekspresi Anak Muda Malaysia (ANAK MALAYSIA) tetap teguh dengan pendirian bahawa gerakan evangelis yang semakin berkembang perlu ditangani dengan lebih tegas oleh pihak berkuasa, seperti yang telah dinyatakan dalam kenyataan ANAK MALAYSIA sebelum ini. Isu ini bukan perkara baharu dan memerlukan perhatian yang lebih serius serta tindakan yang lebih berkesan oleh pihak kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan.
ANAK MALAYSIA merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Dewan Negeri Selangor (ADN) Sungai Panjang, Ustaz Razali Saari, yang telah membawa isu tersebut ke sidang dewan baru-baru ini. Keberanian beliau dalam membangkitkan permasalahan ini mencerminkan kepentingan dan keprihatinan yang seharusnya dikongsi oleh semua pihak, khususnya pemimpin Islam negara ini.
Namun begitu, ANAK MALAYSIA kecewa dengan sikap acuh tidak acuh Kerajaan Negeri Selangor yang tidak memandang serius isu ini. Sikap sambil lewa ini hanya memberikan ruang kepada agenda evangelis untuk terus berkembang tanpa sebarang pemantauan yang sewajarnya.
Sepatutnya, perkara ini diberikan perhatian yang lebih mendalam dan diwujudkan satu jawatankuasa khas bagi menilai serta menyiasat isu ini dengan lebih mendalam.
ANAK MALAYSIA mengingatkan bahawa usaha evangelis ini bukanlah sesuatu yang bermusim atau bersifat sementara. Sebaliknya, ia merupakan agenda yang konsisten dan berterusan. Oleh itu, pihak berkuasa perlu mengambil langkah sama dalam menangani ancaman ini agar ia tidak semakin merebak dan mengancam keharmonian masyarakat Islam negara.
ANAK MALAYSIA turut menggalakkan serta mencadangkan agar lebih ramai Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen mengambil tanggungjawab untuk membawa isu ini ke peringkat legislatif yang lebih tinggi untuk memastikan keseriusan sebagai umat Islam dalam menegakkan prinsip yang termaktub dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan agar isu ini benar-benar diberi penekanan sewajarnya.
ANAK MALAYSIA menyeru semua pihak, terutama pemimpin Islam, NGO, dan badan berkuasa bertindak segera dalam menangani isu ini sebelum ia semakin berleluasa dan menjadi ancaman yang lebih besar kepada kestabilan negara.
MOHAMMAD ROSHARIZAN MOHD ROZLAN
Pengerusi
Pertubuhan Ekspresi Anak Muda
– HARAKAHDAILY 1/3/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2025/03/evangelis-perlu-ditangani-secara.html