Drama Pn Di Nenggiri
Cikgu Limau Kasturi — drama televisyen terbaik dalam Anugerah Seri Angkasa 1991 — kembali diimbau Perikatan Nasional (PN) menjelang PRK Nenggiri pada 17 Ogos. Kaitan antara kedua-duanya mungkin terlalu kecil hanya daripada segi persamaan tempat tetapi Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin mengeksploitasinya demi keuntungan mereka.
Mengingati menonton drama itu ketika menuntut di Maktab Tentera Diraja (MTD), Radzi harus tahu jalan ceritanya bagaimana seorang guru bahasa Inggeris dari Kuala Lumpur yang baru ditugaskan mengajar di SK Limau Kasturi menghadapi pelbagai kepayahan di kampung pedalaman yang tiada jalan raya mahupun bekalan elektrik dan air. Satu-satunya perhubungan ialah dengan keretapi.
Malah, Cikgu Halim turut berdepan penentangan seorang penduduk kampung bernama Lebai Lazin yang tidak gemar murid diajar bahasa penjajah. Namun, berkat kecekalannya Cikgu Halim kesudahannya menjadi kesayangan murid dan sekolah dalam mendidik anak bangsa yang serba daif daripada terus keciciran.
Tidak jelas hubung kait drama itu dengan kempen PRK Nenggiri tetapi Radzi menokok-nokok jalan ceritanya dalam memanggil pulang pengundi di perantauan untuk memastikan gabungan itu dapat mengulangi kemenangan bagi menghantar satu lagi isyarat kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ditolak rakyat.
Ambo bila dengar nama Limau Kasturi ni teringat cerita Cikgu Limau Kasturi. Sohor (terkenal) cerita ni menceritakan bagaimana Cikgu Halim mari sini mengajar orang putih. Mula-mula berbalah juga dengan tok lebai di kampung (tapi) akhirnya menjadi cikgu kesayangan. Cikgu-cikgu inilah yang melahirkan anak-anak yang hebat di Limau Kasturi dan Nenggiri, katanya dalam Ceramah Pertahan Nenggiri di Pusat Tarbiah Limau Kasturi 2 pada Sabtu malam.
Naib presiden Bersatu itu menambah:
Anak-anak yang hebat ini sedang berada di seluruh pelosok negara dari Perlis sampailah ke Sabah. Mereka ini masih merupakan pengundi di Nenggiri. Sebab itu ambo nak seru kepada emak ayah yang mana ada anak-anak di luar pakat balik mengundi ramai-ramai pada 17 Ogos. Kita nak malam tu, kalau di Sungai Bakap tiga kali ganda (majoriti terdahulu), kita nak Nenggiri pun tiga kali ganda paling kurang.
Ada banyak drama yang mahu dicetuskan gabungan pembangkang itu sebenarnya. Daripada isi ceramahnya PN nampaknya akan meneruskan formula membakar emosi rakyat terhadap kerajaan yang memenangkan mereka di PRK Sungai Bakap untuk memikat hati pengundi Nenggiri. Namun, berbeza dengan Sungai Bakap, PRK Nenggiri akan diadakan selepas wakil rakyat gabungan itu sendiri Mohd Azizi Abu Naim — antara wakil rakyat Bersatu menyokong Anwar — terhenti keahliannya dalam parti hingga mendorong Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah mengisytiharkan kerusi itu kosong 19 Jun lalu.
Dengan mencanangkan Azizi mengkhianati parti itu agar pengundi tidak serik untuk memberi sokongan kepada calon Bersatu yang akan bertanding atas simbol PAS seperti pada PRN 2023, PN mengalihkan tumpuan kepada konon ketidakprihatinan kerajaan yang didakwa membiarkan rakyat menanggung kesusahan daripada kenaikan kos sara hidup — tidak terkecuali daripada penyasaran semula subsidi diesel bermula 10 Jun dan kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada 6% kepada 8% sejak Mac lalu.
Menyindir kemenangan gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dalam PRK Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei sekadar memenangi semula kerusi DUN milik mereka, Radzi tidak pula menyatakan yang sama ketika PN menang PRK Sungai Bakap pada 6 Julai yang asalnya memang milik mereka pada PRN 2023.
Sebaliknya, ia terus diuar-uarkan sebagai kononnya manifestasi penolakan rakyat terhadap kerajaan perpaduan pimpinan Anwar — suatu naratif yang akan dilanjutkan sepanjang kempen PRK Nenggiri mulai hari penamaan calon pada 3 Ogos — berdasarkan ucapan Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan di majlis yang sama.
“Sebab itu ambo kata kerajaan ni kerajaan lembu kenyang… buat bodoh. Itu hakikat kerajaan hari ini tak peduli rakyat susah di bawah sana. Ini kerajaan kayangan, dia dok terbang di atas bercakap pong peng pong peng tak turun ke bumi. Mungkin dah lama jadi pembangkang, jadi bila naik jadi kerajaan, dia bercakap dan dia buat kerja serupa pembangkang juga. Dia umum dulu baru dia fikir.
“Kerajaan hari ini berasa puak dia saja yang cerdik, orang lain tak cerdik. Ada menteri kalau di Sungai Bakap tu mari jumpa rakyat, dia kata bodoh, bahlul ikut sedap mulut. Kerajaan kata ekonomi berkembang, pembangkang saja kata ekonomi tak bergerak. Betul itu data-data rasmi yang dikeluarkan.
Tapi kalau tanya Pak Mat dan Mak Jah di kampung, rakyat di bawah nak rasa nikmat ekonomi. Rakyat nak rasa harga barang terkawal, rakyat nak rasa di Nenggiri ni ada kerja. Balik luar negara, kata kita menerima pelaburan berbilion ringgit, tiap-tiap hari (sebut) berbilion ringgit. Kalau berbilion ringgit, takkan di hujung negeri di Limau Kasturi ni 10 sen pun tak sampai, katanya.
Dalam pada itu, PN juga kelihatan ketandusan isu apabila terus mengulangi naratif ‘hari ini jadi kerajaan, esok minyak turun’ di sebalik sudah diperjelaskan berkali-kali bahawa keadaan dan harga minyak mentah waktu itu dan kini sudah jauh berbeza.
Bulan ni 18 bulan Anwar jadi PM. Janji yang rakyat paling ingat, ‘menang hari ini, esok…’. Lepas menang PRK Kuala Kubu Bharu mungkin dia berasa sedap dah. Mungkin dia rasa rakyat sokong dia. Jadi, harga diesel diumum dinaikkan RM1.20 atau 56%. Dia kata PM sebelum ni semua cakap subsidi bersasar tapi tak ada PM sebelum ni janji harga minyak turun, tambah Radzi.
Ahli Parlimen Putrajaya itu juga mencanang-canangkan bahawa PRK Nenggiri bukan pilihan raya kecil tapi ‘pilihan raya besar’ untuk pengundi menunjukkan kemarahan mereka terhadap kerajaan. Bila rakyat tunjuk marah, katanya, kerajaan akan berasa tergugat dan takut jika ada lebih banyak PRK selepas ini.
“Satu cara saja nak sedarkan lembu kenyang ni — dia takut kalau kalah pilihan raya. Sebab itu ambo tengok balik keputusan speaker DUN Kelantan kata kerusi DUN Nenggiri kosong selesai masalah. Speaker Dewan Rakyat dia tunggu 9 Julai baru buat keputusan. Apakah dia nak tunggu menang ke kalah di Sungai Bakap ambo tak tahu. Sebab itu nak bagi sedar kali ini, (PRK) ini amanah cukup besar bagi pengundi Nenggiri.
Kita perlu pastikan di Nenggiri ini kita menang besar. Isyarat yang orang Nenggiri hantar akan disyukuri seluruh rakyat Malaysia. Kita ingat malam kemenangan di Sungai Bakap yang seronoknya satu Malaysia. Kena pastikan mesej yang jelas dihantar kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kita semua menolak kerajaan ini, katanya lagi.
Umno pula menyandarkan harapan kepada pengaruh besar veteran parti Tengku Razaleigh Hamzah — bekas Ahli Parlimen Gua Musang lebih empat dekad atau 12 penggal berturut-turut sejak 1974 sebelum tewas kepada Azizi pada PRU15 — untuk memikat pengundi memilih Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang sudah dinamakan sebagai calon BN.
Seorang pemerhati politik, Rabi’ah Aminudin dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata aura Ku Li dalam membantu BN kali ini tidak boleh dinafikan untuk sekurang-kurangnya memberi saingan sengit kepada PN. Dalam PRN tahun lalu, Azizi menang kerusi Nenggiri menewaskan calon BN Ab Aziz Yusoff dengan majoriti hanya 810 undi.
Ia juga akan menarik untuk melihat kempen Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh — yang kehadirannya akan membuat pimpinan PH khususnya Rafizi Ramli menjauhkan diri selepas dipersalahkan atas kekalahan di PRK Sungai Bakap. Drama siapa lebih hebat di antara PN dan BN akan dinilai kira-kira tiga minggu saja lagi. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/07/a_19.html