Dong Zong Belum Diharamkan Ros Hanya Beri Surat Amaran
Athirah Huda Zalhe PEMBELA kecewa aduan kepada RoS tidak dapat tindakan sewajarnya		  			 			BANGI – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) kecewa kerana aduan  yang dibuat terhadap Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus  Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), tidak mendapat tindakan sewajarnya  dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Ini  berikutan usaha PEMBELA bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  Islam dan Melayu lain yang menuntut Dong Zong diharamkan gagal, setelah  RoS hanya mengeluarkan surat amaran pentadbiran kepada pertubuhan  radikal itu.
Dalam  surat bertarikh 7 Oktober itu, RoS Negeri Selangor menyatakan bahawa  jabatan itu telah menjalankan siasatan ke atas Dong Zong untuk  mendapatkan maklumat lanjut.
Surat yang  ditandatangani Pengarahnya, Nurul Azhar Husin turut menyatakan pihak  jabatan itu telah mengeluarkan Surat Amaran Pentadbiran kepada Dong  Zong, supaya sentiasa mematuhi peruntukan-peruntukan Akta Pertubuhan  1966 serta undang-undang berdaftar pertubuhan.
Sebelum  ini, PEMBELA konsisten mendesak kerajaan dan RoS membatalkan pendaftaran  pertubuhan radikal Cina itu, termasuk melancarkan petisyen bagi  menuntut supaya Dong Zong diharamkan.
Menerusi  aduan yang dibuat PEMBELA menegaskan mengenai siri penentangan Dong Zong  terhadap pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di  sekolah, yang dianggap sebagai satu bentuk pelanggaran kepada  Perlembagaan.
Ini kerana tulisan Jawi dilindungi oleh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.
Selain  itu, aduan berkenaan juga menyenaraikan penentangan konsisten Dong Zong  terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan, termasuk Penyata Barnes 1951;  Ordinan Pelajaran 1952; Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib  1960.
Menurut  PEMBELA, Dong Zong juga menentang Dasar Kebudayaan Negara, Rancangan  Sekolah Integrasi pada 1985 dan lantikan guru tidak berbahasa Cina pada  1987, di mana bertentang dengan peruntukan Seksyen 2A Akta Pertubuhan  1966.
Walaupun  tindakan daripada RoS tidak seperti yang dituntut, PEMBELA menegaskan  pihaknya tidak akan berputus asa menjadi benteng kepada identiti  nasional seperti termaktub dalam Perlembagaan.
“Terima  kasih kepada semua wakil NGO yang sama-sama berganding bahu dalam usaha  ini, terutamanya NGO Armada Malaiu Malaysia yang telah mewakilkan peguam  dari biro undang-undangnya,” kata PEMBELA dalam kenyataan, hari ini.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/10/dong-zong-belum-diharamkan-ros-hanya.html