Catatan Akhir Ramadan
[Catatan hari Khamis, 20 April 2023 bersamaan 29 Ramadan 1444]
Kami memulakan perjalanan balik kampung dari Pulau Pinang ke Johor kira-kira pukul 7.20 pagi dalam hujan renyai. Sebelumnya, pada pukul 5 pagi hujan lebat membasahi bumi PP. Memang asyik melayan mata, tapi perlu gagahkan diri untuk bangun bersahur
Laluan perjalanan kami hari ini :Simpang Ampat, Pulau Pinang ➡️ Rimba Terjun, Pontian, Johor ➡️ Seri Medan, Batu Pahat, Johor
Pukul 9.04 pagi di Lebuhraya Utara - Selatan, Kuala Kangsar, Perak.Syukur Alhamdulillah laluan di Lebuhraya Utara - Selatan lancar tanpa sebarang kesesakan, kecuali sewaktu di Pedas berlaku sedikit kesesakan. Tambahan pula dengan cuaca mendung dan hujan di beberapa tempat, perjalanan terasa lebih selesa bagi kami musafir yang berpuasa
Selain berhenti untuk ke tandas dan menunaikan solat, kami juga berhenti kira-kira 50 minit bagi membolehkan encik suami menghadiri online meeting. Ada sekali lagi kami berhenti untuk melelapkan mata seketika. Entah berapa lama, saya terlupa tengok jam
Pukul 5.33 petang di bandar Pontian, Johor.Kami menuju ke kampung saya di Pontian terlebih dahulu sebab perlu menghantar kuih-kuih raya yang memenuhi ruang tempat duduk kereta. Memasuki daerah Pontian, barulah nampak langit membiru dan cuaca panas. Aliran trafik di bandar Pontian agak sesak. Mungkin disebabkan anak-anak perantau sudah mula pulang ke kampung halaman
Sampai di rumah emak dan selesai turunkan barang, kami terus bergerak menuju ke kampung encik suami di Batu Pahat. Kami berhenti untuk berbuka di Benut. Makan dalam kereta je - burger Mc Donalds yang dah dibeli lebih awal. Selepas itu kami meneruskan perjalanan masuk semula Lebuhraya Utara - Selatan
Pukul 8.52 malam di Seri Medan, Batu Pahat, Johor.Alhamdulillah kami selamat tiba di kampung encik suami. Taburan bintang di langit malam bagai menyambut kepulangan kami. Masya Allah terlalu indah
HARI TERAKHIR BERPUASA - KEHAUSAN!
Oleh kerana esoknya (Jumaat) ‘tak jadi raya’, maka sempatlah kami berpuasa dan berbuka bersama ahli keluarga lain di kampung. Setelah beberapa tahun tak berpeluang berbuat begitu, tahun ini rezeki kami dapatlah berbuka ramai-ramai sebab 1 Syawal diumumkan jatuh pada hari Sabtu
Cuaca panas terik, ditambah pula dengan kerja persiapan menyambut raya membuatkan tekak saya rasa sangat haus! Padahal bukan banyak mana pun kerja memasaknya, semua buat yang mudah-mudah je 😅. Tapi tekak ni sangatlah kering. Asyik tengok jam, berapa lama lagi boleh berbuka. Pertama kali dalam bulan puasa kali ini, saya rasa macam budak kecil yang sibuk nak berbuka 😂
Kami berbuka di beranda rumah, ruang lebih luas dan suasana lebih santai.Juadah berbuka puasa kami - ada yang dimasak sendiri, ada yang diberi oleh jiran dan ada yang dibeli oleh adik ipar. Masing-masing kata, berbuka nak minum air banyak-banyak dan makan tembikai. Lain-lain bukan lagi keutamaan bila dah kehausan. Tiba saja waktu berbuka, memang bercawan-cawan saya minum air kelapa dan air Ribena! Nikmat
———————————————————————————————-
Video perjalanan balik kampung berdurasi 1:48 minit. Seingat saya, inilah perjalanan balik kampung di musim perayaan yang paling lancar dan mudah (atas faktor tiada kesesakan dan cuaca nyaman), walaupun perjalanan mengambil masa kira-kira 13.5 jam. Mungkin kerana ramai yang dah bergerak lebih awal (dengarnya ada yang seawal hari Isnin). Juga paling syok, tol percuma pada 19 - 21 April dan 24 April. Kami jimat RM70.93! Alhamdulillah
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2023/05/catatan-akhir-ramadan.html